Thursday, May 12, 2011

Apa Terapi Terbaik Anda?

Dalam minggu ini, saya banyak berfikir tentang terapi. Terapi membawa maksud rawatan. Ia juga biasanya dikaitkan sebagai percubaan untuk merawat pelbagai penyakit dan kesakitan. Terapi lebih banyak tertumpu kepada bidang kesihatan, dimana terapi adalah sesuatu yang amat penting dalam proses pengubatan dan penyembuhan penyakit fizikal atau emosi. 

Terapi boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antara yang paling meluas ialah terapi didalam dunia perubatan yang menggunakan ubat-ubatan. Sebenarnya, terdapat banyak lagi jenis terapi yang memulihkan, bergantung kepada jenis penyaakit dan situasi yang dialami. Ia juga bergantung kepada tahap atau kondisi penyakit yang dialami. Kenapa saya bercakap mengenai terapi? Tiba-tiba sahaja seperti ingin menukar genre penulisan kepada bidang perubatan kah? 
Tidak! Saya hanya ingin bercakap sesuatu yang boleh menjadi suatu bentuk terapi kepada kita dan membawa anda untuk berfikir tentang apakah bentuk terapi yang anda sukai.

Rawatan atau terapi, secara keseluruhannya boleh dijalankan dengan melihat kepada bentuk permasalahan, menggunakan tenaga, interaksi dengan manusia atau proses meditasi. 

Secara ringkas, terapi yang dibuat mengikut permasalahan biasanya menggunakan:

Terapi menggunakan tenaga pula adalah seperti tenaga elektrik atau electrotherapy, radiasi eletromagnetik (electromagnetic therapy) dan tenaga magnetik (terapi magnet). Terdapat juga terapi menggunakan cahaya (phototherapy), mekanikal  atau manual therapy seperti massotherapy dan terapi melibatkan latihan seperti physiotherapy. Selain itu, bunyi juga digunakan sebagai terapi sebagai contoh, cymatic therapy dan  music therapy. Radiasi dan suhu juga boleh digunakan sebagai sumber untuk merawat penyakit dan merupakan terapi yang efektif untuk melawan pelbagai jenis penyakit. 


Interaksi sesama manusia seperti kaunseling dalam bentuk psychotherapy dan psychoanalysis juga merupakan bentuk terapi mental yang kerap digunakan. Pendidikan, senaman, urutan atau pengubahsuaian gaya hidup juga mendatangkan kesan penyembuhan dalaman dan luaran yang boleh membantu mengurangkan penyakit seperti kegemukan, kurang ilmu pengetahuan dan sebagainya. Kaedah bermeditasi seperti penyembahan dan penumpuan juga membantu dalam penyembuhan penyakit kerohanian yang kesannya juga memberi impak perubahan yang besar dalam kehidupan manusia.

Apa yang saya cuba sampaikan adalah kesesuaian jenis terapi bergantung kepada jenis penyakit, keadaan dan tahap serta potensi kesembuhan yang datang bersama rawatan itu. Pada saya, menulis adalah satu terapi yang baik buat diri saya untuk merasa lebih tenang dan bersemangat. Apa pula terapi yang anda rasakan melegakan kesakitan emosi anda? Jika anda merasa diri anda tidak sihat, emosi terganggu dan terbelenggu dalam masalah yang anda sendiri tidak ketahui, carilah terapi yang boleh membantu anda untuk merasa lebih sihat. Mungkin anda juga patut fikirkan kos yang terlibat dalam terapi yang anda perlu serta merujuk kepada pakar. Namun,setiap sesuatu masalah itu ada jalan penyelesaiannya. 

Jika anda mengalami kesakitan fizikal, dapatkanlah rawatan sesuai dengan penyakit anda.
Jika anda mengalami kesakitan emosi, carilah terapi penyembuhan emosi yang terbaik. 
Jika anda tidak tahu apakah terapi terbaik buat anda, cuba senaraikan simptom yang anda alami dan buatlah sesuatu yang anda rasakan mampu menghilangkan kesakitan yang anda alami. Usah biarkan diri anda buntu kerana jalan keluar pasti ada. Anda lebih mengenali diri anda berbanding orang lain, jadi sudah semestinya andalah yang paling arif tentang apa yang anda mahukan. 
P.S: Bercakap dengan Tuhan adalah masih terapi terbaik untuk segala jenis penyakit berbanding segalanya. 

Thursday, May 5, 2011

Bosan Bekerja?

Jika anda rasa bosan dan malas untuk pergi ke pejabat setiap pagi, anda bukan keseorangan! Berjuta pekerja di seluruh dunia mengalami perkara ini: Tidak bersemangat dan kurang motivasi. Saya juga adakalanya merasa perkara yang sama. Bila saja bangun pagi, rasa malas sangat untuk pergi kerja. Ada ketikanya, rasa seperti sangat 'down' atau tidak bersemangat. Anda pun pastinya pernah mengalami perkara yang sama. 

Masalah yang biasanya dihadapi oleh setiap pekerja adalah sama. Cuma, cara menghadapinya berbeza-beza. Ada yang merasakan seolah-olah mahu berhenti kerja. Ada juga yang merasakan bekerja sendiri dengan mempunyai perniagaan sendiri adalah perkara yang lebih baik daripada kerja yang mereka lakukan sekarang. Apapun yang kita fikir sebenarnya bergantung kepada pilihan dan pendapat masing-masing.

Pada pandangan saya, masalah-masalah yang biasanya dialami berkaitan dengan kerja yang boleh melemahkan semangat adalah seperti:

1. Bebanan dan agihan kerja yang tidak adil
2. Konflik dan politik di pejabat
3. Waktu bekerja 
4. Perbezaan status dan kedudukan
5. Pendapatan yang tidak memadai
6. Perhubungan dengan rakan sekerja
7. Gosip di tempat kerja
8. Keadaan persekitaran pejabat yang tidak kondusif
9. Peluang memajukan diri 
10.Tekanan dan kekangan lain yang tidak bersesuaian dengan kehendak, minat dan kepuasan diri

Kebanyakan pekerja mengalami tekanan akibat perkara yang disenaraikan di atas. Ini boleh mengurangkan produktiviti dan semangat untuk bekerja semakin lama semakin kurang. Akhirnya, pelbagai perkara negatif yang bakal terjadi sekiranya tiada lagi semangat dan motivasi untuk bekerja. Sebagai contoh, perkara yang paling kerap mengundang masalah kepada kita adalah gosip di tempat kerja serta harapan yang terlalu tinggi dari orang lain. Perkara ini bukan sesuatu yang baru. Kebanyakan pekerja baru juga mengalami masalah kurang motivasi disebabkan masalah ini. 

Apabila seseorang pekerja mula berkhidmat, semangat mereka biasanya luarbiasa hebat. Ini mungkin disebabkan mereka merasa gembira mendapat sesuatu pekerjaan. Namun setelah beberapa ketika, mereka mula mengalami tekanan dari pelbagai aspek. Mereka mula sedar bahawa tanggapan awal mereka tidak tepat dan mengakibatkan mereka merasa kecewa. Lama-kelamaan, mereka tidak lagi berminat untuk bekerja. Hanya kerana keterpaksaan dan desakan hidup, mereka harus mengharungi hari-hari duka sepanjang karier mereka. 

Jika anda mengalami masalah ini, apakah yang perlu anda lakukan?
Cuba lakukan perkara dibawah ini.

1. Ingat kembali kesusahan anda sewaktu cuba mendapatkan pekerjaan anda sekarang.
Berapa ramai orang di luar sana yang tidak bernasib baik mendapat pekerjaan seperti anda. Kehidupan anda jauh lebih baik pada pandangan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Anda juga mengalaminya sewaktu anda mula-mula mencari pekerjaan sehingga anda berjaya mendapat pekerjaan anda sekarang. Jadikan kesusahan itu sebagai satu peringatan bahawa anda cukup bertuah kerana mempunyai sumber pendapatan berbanding mereka yang terpaksa hidup tanpa pendapatan tetap. Sentiasa ingat perkara ini dan anda akan menjadi orang yang sangat bersyukur kerana kehidupan anda tidak sesukar mereka yang masih 
tercari-cari pekerjaan.

2. Fikirkan orang-orang yang memerlukan anda.
Anda mempunyai tanggungjawab terhadap suami, isteri, anak-anak, ibubapa serta keluarga anda. Anda mempunyai komitmen setiap bulan untuk menyediakan segala keperluan keluarga anda. Fikirkan tentang mereka yang penting di dalam hidup anda. Pastinya anda akan sedar bahawa pekerjaan anda adalah satu perkara yang penting untuk anda terus bertahan dalam kehidupan ini. Lagipun, anda tidak akan merasa begitu sedih dengan masalah di tempat kerja jika dibandingkan dengan tidak mempunyai wang untuk menampung kehidupan anda dan keluarga. 

3. Anda bukan bersendirian.
Jika anda berasa sangat tertekan dengan pekerjaan anda sekarang, ingatlah, anda bukan bersendirian. Berjutaan manusia di dunia ini merasa tertekan dengan pekerjaan mereka. Anda bukanlah satu-satunya manusia yang tidak gembira dengan pekerjaan anda. Banyak sekali forum, bahan bacaan serta badan-badan yang boleh membantu anda menghadapi hari-hari suram dalam perjalanan karier anda yang boleh anda sertai. Banyakkan membaca forum motivasi di internet, majalah atau dapatkan nasihat kaunselor sekiranya anda sudah terlalu tertekan. Pastikan anda mempunyai satu saluran untuk berkongsi dan meluahkan perasaan anda.

4. Cari seorang sahabat baik.
Dikalangan rakan sekerja, bukan semua yang memahami anda. Namun, tentu ada seseorang yang rapat dan boleh anda percayai. Seseorang yang anda selesa bersama dan boleh menjadi tempat anda meluahkan perasaan anda. Bina hubungan baik dengan semua orang tetapi sentiasa batasi pergaulan dan perkongsian anda. Cari seorang sahabat baik yang sama-sama memahami untuk berkongsi masalah dan bertukar-tukar pendapat. Anda tidak mampu bersendirian. Maka, seorang sahabat yang baik adalah sesuatu yang paling anda perlukan. sekurang-kurangnya anda mempunyai seorang penyokong yang boleh membantu anda untuk lebih merasa bersemangat untuk bekerja.

5. Tahu membezakan antara profesionalisma dan peribadi.
Walaupun anda mungkin rapat dengan beberapa rakan anda ditempat kerja, anda harus tahu meletakkan batas profesionalisma dan peribadi. Jangan sesekali mencampur adukkan hal peribadi dan profesionalisma. Bila anda d ipejabat, anda adalah seorang pekerja. Cuba bersikap profesional. Tidak perlu berkongsi semua hal peribadi anda dengan setiap rakan sekerja. 

6. Kawal kemarahan dan bersikap tenang.
Apapun masalah yang anda hadapi ditempat kerja, samada peribadi atau melibatkan kerja, anda harus tahu bersikap tenang dan mengawal emosi. Usah burukkan nama anda dengan bersikap keanak-anakan serta terlalu mengikut emosi. Sekiranya anda terlalu marah terhadap rakan sekerja, majikan atau pekerja anda, cari penyelesaian yang terbaik. Tidak salah jika anda menyatakan pendapat terhadap sesuatu perkara serta berterus-terang dengan mereka. Cuma, gunakan pendekatan yang terbaik untuk menyatakan pendapat anda. 

7. Cari hobi dan libatkan diri dengan aktiviti yang menggembirakan anda.
Carilah sesuatu hobi yang anda minati. Kerja bukanlah segala-galanya sehingga anda terpaksa melupakan sesuatu yang anda suka lakukan. Jika anda minat untuk menulis seperti saya, jadikan ia sebagai satu terapi untuk anda terus bersemangat. Jika anda mempunyai hobi seperti menjahit, berkebun serta melukis, siapa tahu ia boleh menjadi sumber pendapatan tambahan selain membuatkan anda gembira. Ada banyak perkara yang boleh menggembirakan anda. Carilah kegembiraan anda dimana-mana. Anda pasti bakal menemuinya!

8. Buat perubahan.
Jika anda tidak suka sesuatu ditempat kerja ada, cubalah buat perubahan. Jika susunan meja anda tidak menarik, ubahkan susun atur persekitaran anda. Jika anda merasa anda seorang yang tidak menarik, cuba ubah penampilan anda. Sekiranya anda tidak begitu berpengetahuan, tambahlah pengetahuan anda dengan pembacaan atau menyambung pengajian secara sambilan untuk meningkatkan kompetensi, kemahiran atau pengetahuan. Mungkin anda akan lebih gembira dan dipandang tinggi. Jika anda masih tidak gembira, buatlah perubahan. Jika suasana dan orang lain tidak berubah, mungkin anda yang perlu berubah. Mungkin sudah tiba masanya untuk anda berubah dan mencari pekerjaan lain sekiranya anda sudah terlalu tepu dengan suasana dan kerja anda sekarang. 'If everything doesn't change, you change!'

9. Pilihan ditangan anda!
Gembira atau bersedih, ia adalah pilihan anda. sekiranya anda memilih untuk gembira, andalah yang mempunyai sepenuh kawalan terhadap kehidupan anda. Anda boleh membuat keputusan untuk menghiburkan hati anda dengan pelbagai perkara. Sekiranya anda memilih untuk bersedih, pastinya anda jua lah yang mempunyai suis kawalannya. Anda pasti akan menjadi seorang yang sentiasa bersedih dan terkurung dalam kesedihan anda selamanya. Buatlah pilihan terbaik untuk hidup anda. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Sekiranya anda fikir anda seorang yang hebat, maka anda akan menjadi hebat. Untuk menjadi hebat, anda perlulah mempunyai kekuatan untuk membuat pilihan dan keputusan terhadap hidup anda sendiri!

10. Sentiasa bersedia dan mengemaskini pencapaian anda.
Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali maut. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Anda tidak seharusnya berhenti mencari peluang. Sentiasa lengkapkan diri anda dengan perkara baru dan mengetahui apa kehendak sesuai dengan kebolehan anda akan menjadikan anda seorang yang berani mencuba sesuatu yang baru. Walaupun anda mempunyai pekerjaan sekarang yang cukup baik, jangan lupa untuk selalu menyemak dan mencatat pencapaian anda. Anda hendaklah sentiasa mengemaskinikan resume anda walaupun anda tidak bercadang untuk menukar pekerjaan anda. Pengemaskinian terhadap pencapaian anda adalah sangat penting untuk melihat perkembangan pencapaian anda didalam karier. Peluang untuk sesuatu yang lebih baik kadangkala dtaang tanpa diduga. Siapa tahu anda layak untuk berada ditempat yang lebih baik dengan kedudukan yang lebih baik! Jadi sentiasa kemaskinikan pencapaian anda untuk menghadapi dunia yang penuh kemungkinan ini.

Tips yang saya kongsikan adalah apa yang saya lakukan di dalam perjalanan karier saya selama ini. Walaupun baru bekerja, saya telah mengalami pelbagai cabaran dan pengalaman. Saya percaya anda juga mampu untuk menentukan yang terbaik untuk diri anda. Semoga berjaya dan selamat maju jaya!


Friday, April 29, 2011

Sudah Semakin Moden kah Kita?

Aku sering terfikir sendiri bahawa semakin tinggi pendidikan seseorang itu, seharusnya lebih merendah diri dan merasa diri masih terlalu kecil. Tetapi kini yang sering berlaku adalah semakin tebal kesombongan dan rasa angkuh. Kadangkala aku tertanya sendiri, apakah mempunyai gulungan ijazah itu membuktikan diri semakin lupa kepada lunas-lunas dan kehalusan budi? Apakah sekeping kertas yang tertera pengiktirafan pencapaian itu adalah penyebab menagapa manusia semakin kasar bicaranya, semakin tinggi hidungnya dan semakin tidak berpijak di bumi nyata bila melangkah?

Sejujurnya aku berpendapat, kejayaan itu bukan terukur dengan hanya sekeping kertas itu sahaja. Kertas itu hanya sekeping kertas, yang bisa terbakar jika dinyalakan api keatasnya. Bisa juga lumat lebur diramas keras. Bila hilang begitu sahaja dimakan anai-anai. 

Kejayaan dan kepandaian itu adalah dua perkara yang sangat subjektif dan luas. Betapa ramai manusia yang berjaya menjadi manusia ulung dan hebat walau tanpa sekeping kertas pengiktirafan yang semata-mata bersifat duniawi. Masih banyak skop kepandaian yang masih belum diiktiraf. Kepandaian verbal adalah satu-satunya yang paling tinggi diangkat pengiktirafannya. Bagaimana pula dengan kepandaian lain seperti kepandaian fizikal, visual atau emosi?
Berapa ramai yang pandai mengawal kebolehan fizikal seperti atlet yang berjaya mencipta kekayaan luar jangkaan?
Bagaimana pula dengan kepandaian melihat sesuatu dari pelbagai sudut yang indah dan menghasilkan karya seni visual yang mampu melonjakkan nama mereka sebagai artis atau pelukis yang terkenal?
Berapa ramai pula yang sangat hebat dalam mengawal emosi dan kepandaian itu tidak pula mendapat pengiktirafan padahal ia adalah sesuatu yang amat perlu dilihat secara teliti dan diiktiraf seadilnya?




Tuesday, April 26, 2011

24th April 2011, 8.20pm

Never will I forget this beautiful day.
Never will I forget what happened today.
It's like the best guilty pleasure I have ever done in my life.
I will remember this room, the smell, the dark sight of it.
I feel alive again.
Head over heels.
I was not standing on my feet.

I will never ever forget it, never!

Sunday, April 17, 2011

Cepatlah besar, Nazneen!

Masa yang ada sepatutnya digunakan sebaiknya.
Sekarang ni, aku dah tak punya banyak masa. Maklumlah, sudah bergelar seorang ibu.
Dulu, waktu petang pasti terisi dengan aktiviti yang sihat dan tidak sihat..hehe...
Aktiviti sihat sebagai contohnya ialah memasak untuk suami, mengemas rumah, dan membasuh pakaian serta memastikan semuanya tersusun. Antara contoh aktiviti tidak sihatku pula ialah berFacebook dan online hampir 10 jam, tidur diwaktu petang lepas kerja, menonton Desperate Housewives episod demi episod tanpa henti serta menulis di blog ini tentang pelbagai perkara serta meneroka setiap aplikasi yang berguna untuk blog. Kadangkala, sampai tak tidur!!!!

Sejak bergelar ibu, aku tidak punya banyak masa untuk melakukan semua itu.
Nak pergi shopping pun tak sempat, apatah lagi membuang masa untuk menonton filem.


Anak yang masih kecil menghalang segalanya. Kejap-kejap dia nangis, buat susu...bila hampir terlelap, tiba-tiba dia akan menangis lagi kerana lampin dah basah...kena tukar dulu...
Bila dah agak selesa, dia pasti merengek minta didukung...kenalah dukung dan memujuk sampai dia tertidur...
Kalau nak beraktiviti sihat seperti memeriksa kertas jawapan peperiksaan pelajar pun takde masa, apatah lagi menghadap komputer untuk Facebook dan chatting...Lagilah tak de masa!!!!

Teringin pula nak memanjakan diri dengan mandi lama-lama atau ke spa merawat wajah dan badan, tapi semua itu tidak kesampaian sehingga ke hari ini...
Mungkin bila Nazneen dah besar sikit, dah boleh berjalan, bolehla heret dia sekali ke mana-mana...
Bolehlah dia menemani Mamanya yang suka beraktiviti ini dan jadi penasihat Mama, kan kan kan?

Walau apapun, aku sangat bahagia dengan kehadiran seorang anak yang karenahnya tak larat dilayan ni...
Cepatlah besar wahai Nazneen, sebab Mama punya terlalu banyak rancangan untuk Nazneen!!

Tuesday, March 29, 2011

Dunia Sudah Sampai Penghujungnya....

Sejak kejadian tsunami yang melanda Jepun, ditambah dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di banyak tempat, saya selalu berfikir. Bila saja saya memandang ke langit, atau bila saja angin sepoi menyapu pipi, juga bila hujan turun, saya akan terfikir "Sampai bilakah keindahan ini akan dapat ku kecapi? Selama mana lagi ia akan kekal?". 

Bila pulang kerja setiap hari, saya pasti kagum melihat keindahan awan di langit. Di kaki langit, ada sawah padi yang terdampar. Dahulunya luas sekali sawah itu. Fikiran saya pasti terkenang saat datuk membawa saya dan adik-adik beberapa petang di tahun 1989, melihat-lihat padi yang hampir menguning serta menangkap ikan di parit kecil di tepi sawah. Di parit kecil itu, saya pernah duduk dan merendam kaki. Ada juga tali air yang besar, tempat adik-adik lelaki saya mula belajar berenang. Malah, lebih menyeronokkan, pernah juga kami menangkap lala yang kemudiannya dibawa pulang untuk dimasak. Indahnya saat itu. Sudah 22 tahun berlalu!! Apa yang tinggal kini hanyalah sebuah pondok tempat kami berehat setelah kepenatan!

Rasa sayu bila mengenangkan kejadian yang melanda dunia kita sekarang ini. Cuaca begitu pelik kini. Seolah-olah kita hidup dalam kegelapan. Apakah yang akan terjadi bila satu persatu harta benda dan insan tersayang pergi kerana bencana yang melanda bumi?Bersediakah kita untuk menghadapi saat kemusnahannya dan saat kita semua akan kaku menemui Tuhan untuk menjawab segala persoalan tentang kerosakan yang telah kita lakukan di Bumi? 

Monday, March 28, 2011

Sekularkah membaca buku mat salleh?


Seorang kawan saya bertanya, 
"Kenapa you suka sangat baca buku-buku mat salleh? Baik you baca Al-Quran". 
Saya terdiam seketika. 
Dalam hati saya tertanya, "Dia ni baca Al-Quran ke tak?" 

Saya memang penggemar bahan bacaan ilmiah. Jika dulu, corak bahan bacaan saya hanya berkisar kepada novel cinta, kisah misteri dan tips-tips. Semakin menginjak usia, saya gemar membaca buku-buku yang memberi banyak pengetahuan dalam segala bidang. Sebagai pendidik, saya harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan memandangkan para pelajar kini lebih banyak capaian kepada sumber pengetahuan dan ilmu. 

Al-Quran adalah kalimah Allah yang lengkap dengan segala pengetahuan. Di dalam kitab suci tersebut terkandung pelbagai jawapan kepada peraturan hidup, hukum agama malah mencakupi segala bidang. Ia sememangnya sebuah karya agung yang tidak akan hilang malah sentiasa dijaga kesuciannya. Membacanya membuat seseorang tenang. Ia juga sebuah karya terulung yang tidak akan dapat ditandingi dari sudut bahasa serta isi kandungannya. 

Banyak kajian yang dilakukan oleh pemikir-pemikir, pengkaji serta penganut agama lain tentang isi kandungan di dalam Al-Quran. Banyak juga buku-buku yang ditulis mengenainya. Malah kebanyakan penulis juga menggunakan Al-Quran untuk menulis tentang pelbagai aspek serta mengkaji sedalam-dalamnya tentang setiap ayat yang terkandung didalamnya. Mereka menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang lengkap untuk menghasilakan sesuatu hasil tulisan yang akhirnya mampu melonjakkan hasil jualan karya mereka berdasarkan pengetahuan dan penemuan yang mereka dapati melalui Al-Quran. Malah, saya tidak hairan sekiranya mereka lebih memahami Al-Quran berbanding umat Islam sendiri. Jika tidak, masakan mereka hidup berpandukan apa yang terkandung didalam kitab suci kita sehinggakan mereka mampu menjadi kaum yang hebat, malah lebih berjaya daripada umat Islam sendiri walaupun mereka tidak menganut agama Islam.

Pembacaan buku-buku yang dikatakan bercorak sekular atau 'terlalu mat salleh' adalah sama sekali tidak wajar. Saya membaca buku-buku tersebut untuk menambah pengetahuan tentang pelbagai bidang. Saya juga ingin mengkaji corak pemikiran penulis tersohor yang selalunya berjaya menulis buku bestseller! Membaca buku sedemikian bukan bermakna saya tidak membaca Al-Quran. Melalui pembacaan segala jenis bahan bacaan, saya rasakan semakin besar mukjizat yang terkandung didalam Al-Quran sehingga menjadi sumber rujukan yang paling agung.

Dalam salah satu hadis juga berkata "Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China". Lihat saja pada perkembangan negara China sekarang, sungguh menakjubkan! Banyak sekali judul-judul ditulis tentang kehebatan China. Jadi jika kita sempitkan minda dengan tidak membaca dengan anggapan tidak mahu menjadi terlalu sekular, bagaimana kita boleh maju di abad yang mencabar ini?

Apa yang dapat saya simpulkan boleh diibaratkan seperti perumpamaan yang tiba-tiba tercetus di kepala saya saat menulis entry ini. Jika kita sentiasa hidup di kampung, kita pastinya agak gerun untuk hidup di kota kerana menyangka kehidupan di kota itu penuh tipu daya. Jika kita sudah biasa hidup di kota, pastinya kita tidak mahu berhijrah ke kampung kerana menyangka kehidupan di kampung penuh kekolotan.

Begitulah juga sekiranya jika kita terbiasa hidup didalam kegelapan, pastinya kita akan sentiasa merasa takut untuk keluar ke tempat yang terang kerana menyangka kegelapan itu tidak apa-apa. Padahal, kegelapan itu boleh membuat kita buta dan tidak mengerti apa-apa tentang cahaya. Malahan, jika terlalu lama mata kita tidak melihat cahaya, kilauan cahaya yang sedikit pun sudah tentu menyakitkan mata. 

Biarlah hanya mata yang buta tidak nampak cahaya, jangan biarkan hati hitam kerana kegelapan. 

Peraturan Hidup

Adakah anda mempunyai peraturan hidup sendiri? Adakah sesuatu sistem yang anda gunakan dalam hidup untuk mencapai cita-cita anda?


Peraturan adalah sangat penting dalam kehidupan. Tanpanya, kita tidak mungkin akan berjaya didalam apa jua yang kita tempuhi. Peraturan seringkali dianggap sesuatu yang menyusahkan malah ada yang berpandangan bahawa peraturan dibuat untuk dilanggar. "Rules are made to be broken" selalunya digunakan oleh orang-orang yang tidak kuat untuk menghadapi kehidupan. Mengapa demikian?


Dalam kehidupan seharian, kita terikat dengan pelbagai peraturan. 
Sebagai seorang hamba, kita wajib mengikuti lunas-lunas agama dan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Sebagai pekerja pula, kita juga terikat dengan pelbagai peraturan organisasi, kerajaan serta undang-undang. Kita tidak boleh melanggar peraturan sewenang-wenangnya untuk terus mandir didalam kehidupan ini. Begitu juga halnya dengan pelajar, anak, sahabat. Sebagai pemegang watak tersendiri dalam kehidupan, kita harus mengikuti peraturan tersendiri yang tersedia.


Sebagai seorang manusia, pastinya kita punya peraturan hidup kita sendiri. Apatah lagi dalam kehidupan ini, kita berdepan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Sudah tentu kita hidup didalam perhubungan kekeluargaan, persahabatan, perkahwinan, percintaan dan hubungan sesama rakan sekerja. Pastinya kita menetapkan sesuatu peraturan untuk mengekalkan hubungan yang terjalin. 


Sebagai contohnya, kita mungkin pernah berkata ayat-ayat seperti, 
"Aku paling tidak suka menunggu lama", 
"Aku tidak suka ditipu", 
"Aku ada pegangan tersendiri mengenai hal ini", 
"Aku tidak suka suasana bising, berselerak, tidak tersusun"
"Aku tidak suka menjadi hipokrit",
 "Aku tak suka berkawan dengan orang yang seperti itu dan ini". 
Jika kesemua ayat-ayat seperti itu biasa kita dengar atau sebut, itu bermakna kita punya peraturan kehidupan yang tersendiri. Malah, untuk orang lain terus dekat dengan kita, mereka perlu mengikuti peraturan-peraturan yang kita sediakan jika mahu terus kekal didalam perhubungan. Begitulah juga sebaliknya. Setiap orang yang kita dampingi juga pastinya ada tetapan peraturan mereka sendiri.


Apakah peraturan hidup anda? Jika boleh, kongsikanlah dengan penulis dan pembaca-pembaca semua untuk sama-sama fikirkan tentang peraturan kehidupan yang sepatutnya kita tetapkan dalam kehidupan kita.





Thursday, February 17, 2011

Puteri Nurul Atiqah Nazneen


Tanggal 31 Januari 2011, seorang permata telah lahir ke dunia, bersedia untuk menghadapi segala cabaran mendatang  yang bakal mengisi seluruh kehidupannya. 

Ku berikan nama yang indah buat dirinya ~ Puteri Nurul Atiqah Nazneen. 
Nama yang mempunyai maksud yang indah. 

Ku namakan dia Puteri kerana dia adalah puteri yang menceriakan kehidupanku dan suami yang telah lama menanti kehadiran cahayamata. Puteri merujuk kepada satu gelaran yang istimewa, dan bagiku Puteri ini sememangnya sungguh istimewa dalam kehidupanku. 


Ateeqah bermaksud yang terpuji, yang mulia, yang suci.
Nazneen membawa maksud cantik.
Ku gabungkan semuanya menjadi suatu nama indah yang seindah diri anak yang suci bersih ini, Puteri Nurul Atiqah Nazneen.

Semoga anak ini mempunyai pekerti terpuji dan mulia seperti namanya. Semoga dia cantik bukan sahaja diluar malah dalamannya juga.

Kehidupan aku ternyata lebih indah dengan kehadiran puteri kecil ini. 
Wajahnya adalah wajah yang paling ku rindui setiap kali aku berjauhan dengannya walaupun sebentar.

Inilah wajah Puteri yang telah 4 tahun aku nantikan kemunculannya. Semoga Allah memberkati dan merahmati kelahiran ini dengan sejuta rahmat dan memayungi kami dengan  limpahan kasih sayangNya yang Maha Luas.



Melihat sepasang mata yang bersinar ini, hatiku pasti akan diresapi suatu rasa bahagia sehingga seringkali airmata gugur penuh kesyukuran kerana dikurniakan dirinya sebagai penyeri hidupku

Lihatlah ke dalam matanya, penuh sinar yang mendambakan kasih 

Gambar sewaktu berumur 10 hari. Agak berisi kan?

Pandangan lucu dengan kening berkerut. Si comel buah hati Mama.

Cantiknya anak Mama!!

Sayangggggg baby Mama!

Si Tua Berbaju Hijau

17 Februari 2011, 7.30 pagi

Pagi ini kelas bermula 8 pagi. Mulalah aku terpaksa berkejar-kejar untuk ke tempat kerja. Jalan pula sesak dengan kenderaan. Sebelum ke universiti, aku singgah untuk menghantar adik bongsu di sekolahnya.Nasib baik belum ditahan pengawas bertugas. 

Aku meneruskan perjalanan ke universiti. Pelajar-pelajarku pasti tidak sampai tepat pada masanya juga. Sewaktu berada di traffic light berhampiran dengan universiti, aku teralih pandangan ke arah seorang lelaki tua berbaju hijau. Lelaki tua tersebut sedang duduk di sebuah bangku di hadapan sebuah kedai yang masih tertutup pintunya.

Bajunya telah berubah warnanya dari hijau muda kepada warna hijau tua gelap. Butang bajunya telah tertanggal di bahagian atas dan bawah. Seluarnya ketat dan singkat. Tangannya memegang tongkat dan kepalanya sesekali terhantuk kerana mengantuk. Janggutnya jelas menunjukkan usianya yang telah lanjut. Tangannya yang kotor sempat mengangkat kopiah putih yang sudah keperangan kerana daki dan ditatapnya kopiah itu dengan pandangan lesu sambil mengelus-elus rambut nipis dan penuh uban. 

Semalam yang dingin, entah dimana dia tidur. 
Entah dimana rumahnya.
Entah apa yang dimakannya. 
Entah siapa anak-anaknya.

Lelaki tua berbaju hijau itu mengisi waktu dua minit penantian lampu hijau di lampu trafik pagi ini. Ia membuat aku berfikir sepanjang hari ini tentang nasib kebanyakan orang yang tidak berumah dan nasib orang tua yang tidak dipedulikan anak-anak.

Suatu hari nanti aku juga akan tua sepertinya. 
Malah setiap hari, usia ini bukan semakin remaja..tetapi semakin menginjak usia.
Lelaki tua berbaju hijau lusuh itu membuat aku sedar bahawa aku begitu bernasib baik dapat tidur bertilam dan berbantal empuk, malah tidak perlu memeluk tubuhku sendiri kerana kesejukan, atau berpanas dengan keringat melekit sepanjang malam.
Lelaki tua berbaju hijau itu membuat aku berfikir bahawa tiada sesiapa yang sudi berhenti untuk bertanya tentang untung nasib insan malang sepertinya.



Monday, February 7, 2011

Instinct / Naluri

Salam penuh kebahagiaan buat semua teman yang sudi singgah membaca catatan hati Tia. 

Kesibukan menghalang Tia untuk menulis dengan kerap walaupun pada dasarnya, menulis di blog ini menjadi salah satu azam tahun baru 2011. Begitu banyak sekali catatan yang belum mampu di paparkan di blog ini kerana masih dalam proses untuk memperkemas bahasa tulisan.

Tahun 2011 sememangnya sedang berlalu dengan pantas. Sekarang sudah hampir pertengahan Februari. Bermakna Tia sudah menjalani kehidupan baru di tempat kerja baru sudah lebih sebulan. Amat pantas waktu berlalu.

Sebenarnya, sebelum pulang ke Kelantan, Tia sering dapat merasakan bahawa kehidupan Tia di sini akan benar-benar berubah. Bukan percaya kepada naluri hati, tetapi kebanyakan masanya gerak hati Tia selalunya betul. 

Banyak sekali gerak hati Tia memberi isyarat yang akhirnya menjadi kenyataan. Tahun lalu, satu kejadian yang buruk telah terjadi terhadap seorang kawan sekerja Tia. Sebelum kejadian, Tia telah dapat merasakan sesuatu yang tak kena bakal terjadi. Waktu itu Tia dan suami merancang untuk pulang ke Kelantan. Seorang rakan Tia yang berasal dari Kelantan juga mahu mengikuti kami pulang tetapi dengan memandu keretanya sendiri. Awalnya Tia tidak mengetahui hal tersebut sehinggalah suami pulang dan memberitahu bahawa rakan Tia itu mahu mengikut sama dalam perjalanan tersebut. Mungkin kerana telah merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku, Tia memarahi suami dengan tidak semena-mena. Marah kerana apa pun Tia tidak pasti, tetapi waktu itu Tia benar-benar rasa tidak sedap hati. Tia juga menyatakan kepada suami, sekiranya apa-apa berlaku, Tia tidak mahu bertanggungjawab. Suami hanya mampu menenangkan Tia dan berkata bahawa tiada apa-apa yang buruk bakal terjadi.

Semasa dalam perjalanan, Tia dilanda rasa berdebar-debar yang teramat. Hati memang tidak senang. Perjalanan ke Kelantan melalui hutan dan bukit bukau di Gerik sememangnya amat merbahaya terutama kepada pemandu yang baru pertama kali melalui jalan tersebut. Kebetulan pula, kawan Tia baru pertama kali memandu secara sendirian melalui jalan itu.

Sewaktu hampir Maghrib, hati Tia semakin berdebar. Tiada apa-apa yang buruk berlaku sepanjang perjalanan sehinggalah kami berhenti di kawasan rehat dan rawat di Puncak Titiwangsa. Ada sekelumit perasaan yang menyuruh Tia menemani kawan Tia yang memandu sendirian, tapi sedikit lagi perasaan melarang Tia berbuat demikian. Sejurus selepas itu, kami meneruskan perjalanan pulang. Suami memandu dihadapan meninggalkan kawan Tia di belakang dengan jarak yang tidak begitu jauh. 

Tiba-tiba, telefon bimbit Tia berdering. Panggilan daripada rakan yang sedang memandu di belakang. Tia berasa hairan, bagaimana dia boleh menelefon smabil memandu di kawasan bukit yang memerlukan kawalan rapi. Tia menjawab panggilan dan suara kedengaran putus-putus meminta kami memusing kenderaan kerana dia telah mengalami kemalangan. Tia dan suami terus bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan kenderaannya yang telah berpusing 360 darjah ke atas. Tayar kenderaan berada di atas dan barang kelengkapan perkahwinannya bertaburan di jalan. 

Sebaik sampai, dia terus berlari memeluk Tia. Sungguh terkejut melihat kenderaan yang baru beberapa bulan di beli sudah remuk dan mengalami kerosakan yang sungguh teruk. Sambil menenangkannya, hati Tia berdetik lagi, rupanya amaran kejadian inilah yang telah membuat hati Tia begitu resah sepanjang hari. 

Apa yang berlaku sewaktu kemalangan itu tidak dapat dipastikan. Kenderaannya berpusing ke arah bertentangan dengan keseluruhan bahagian kenderaan berpusing ke atas sebelum melanggar tembok batu penghadang hakisan di tepi bukit. Syukur kawan Tia cepat-cepat keluar dari kenderaan melalui tingkap. Namun, akibat hentakan kuat di kepala, dia terpaksa di bawa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

Malam itu, sepatutnya kami telah selamat sampai sekitar jam 8.30 malam. Kerana kejadian tersebut, kawan Tia telah mengalami hentakan teruk di kepala dan pinggang dan sehingga sekarang sering mengalami kesan akibat hentakan kuat tersebut. 

Sememangnya kita dianugerahkan Tuhan dengan perasaan yang berbeza-beza. Tia dapat merasakan bahawa adakalanya Tia harus menilai gerak hati Tia sebelum melakukan sesuatu. Bukan kejadian itu sahaja yang membuktikan kekuatan naluri, malah sewaktu adik Tia sendiri mengalami kemalangan di Puncak Alam, Selangor pada bulan Ramadhan tahun lalu, Tia turut mengalami perasaan yang tidak enak sebelum kejadian. Syukur adik selamat dan hanya mengalami luka ringan. Tetapi, kesan ketakutan akibat kemalangan benar-benar menghantui Tia.

Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Tia yakin dan percaya bahawa Allah mengurniakan sesuatu perasaan kepada setiap hambaNya supaya kita berfikir tentang kekuasaanNya Yang Maha Agung dan Maha Luas supaya kita akan benar-benar yakin dan beriman kepadaNya.

Wallahualam.


Saturday, January 15, 2011

Menangis :"(

Malam ini airmata tidak berhenti mengalir.
Malam ini suamiku kembali ke Kedah setelah aku berpindah balik ke Kelantan.
2 minggu lamanya Abang bersama disisi sejak pulang ke Kelantan, malam ini Abang terpaksa pulang ke Kuala Nerang untuk kembali bekerja dan menguruskan AF Prints.

Petang tadi Abang ambil aku dari Pusat Tuisyen Al-Amin dan kami terus ke kaunter tiket Transnasional di Jalan Langgar, Kota Bharu. Hatiku dah mula terasa sayu. Tapi aku masih tidak menangis. Tiba di rumah,kami makan keropok lekor, popia sambil tengok kartun Hagemaru. Lepas tu, Abang makan lagi makaroni sup yang aku masak pagi tadi. 

Pukul 6.30 petang, Abang balik ke rumahnya untuk jumpa ibu mertuaku sebelum pulang. Aku tertidur di bilik dan terjaga waktu maghrib. Bila aku mandi, Abang dah siap kemas baju dah. Satu beg besar. Aku solat Isyak dan berdoa semoga perjalanan Abang selamat. Kalaulah ada direct flight ke Kedah dari Kelantan, tak lah aku akan risau sangat. Kenapalah MAS dan AIR ASIA tak sediakan penerbangan terus ke Kedah dari Kota Bharu? Kan senang dan lebih cepat. Paling aku risau tentang naik bas ialah tentang keselamatan sepanjang perjalanan. Aku betul-betul fobia bila Abang terpaksa menaiki bas untuk ke Alor Star. Abang kata taknak bawa kereta sehingga Tahun Baru Cina sebab Abang nak balik raya cina ni.

Pukul 9 malam, aku dan Amy hantar Abang ke stesen bas. Hatiku sangat-sangat sayu dan takut. Tak putus-putus hatiku berdoa semoga perjalanan Abang selamat. Bukan apa, Abang mudah sangat tertidur dalam bas dan kalau tidur, susah nak jaga.Apatah lagi nak dengar bunyi telefon! Bila abang dah hampir bertolak, dan aku lihat Abang melambai tangan, aku dah mula menangis. Tapi aku sembunyikan perasaan sedihku di depan Amy. Aku tak nak dia tengok aku nangis. Bila bas Abang dah bergerak, airmataku mengalir dengan laju :"(
Masa tu jugalah Abang menelefonku, dan aku tak dapat tahan sebak, terus menangis :"(
Abang pujuk dengan suara tersekat-sekat.
Ini kali pertama kami berjauhan. Ini kali pertama aku dan Abang bakal tinggal berasingan. Tak tahu sampai bila. Ini pengorbanan yang paling sukar buatku.
Aku di sini, Abang di sana, di mana kehidupan?

Sekarang baru sejam setengah Abang berjauhan denganku, aku dah menangis tanpa henti. Bilik terasa kosong dan sunyi. Biasanya Abang akan main game sebelahku. Biasanya Abang akan baring di sebelahku. Dan Abang juga yang akan uruskan dua ekor kucingku sebelum tidur. 

Malam ini aku tinggal sendirian..dan malam ini aku menangis kerana sudah terlalu rindukan Abang... 

:"( 



Thursday, January 13, 2011

PERJALANANKU MENUJU KEHIDUPAN BARU

Kehidupan baru di tahun 2011 telah benar-benar bermula bagiku. Kini aku telah kembali menetap di negeri kelahiranku, Kelantan. Setelah 2 tahun 9 bulan aku tinggal di Kuala Nerang dan berkhidmat sebagai pendidik di Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN), aku kini berkhidmat di tempat baru iaitu di Universiti Malaysia Kelantan.

Kehidupan kerjayaku yang pertama bermula pada 3 Mac 2008 apabila aku mula berkhidmat di KMKN. Banyak pengalaman yang ku timba di sana yang menjadikan aku lebih dewasa dan mengerti kehidupan sebagai seorang pendidik, isteri dan juga anak. Di Kuala Nerang aku mendapat pengalaman baru yang amat berguna sebagai landasan untuk aku menghadapi hari-hari mendatang. Memang cabarannya terlalu banyak, tapi aku adalah antara orang yang diberikan kekuatan untuk menghadapi segalanya.

Aku mencari peluang untuk membaiki dan mencabar diri apabila aku mula memohon untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan pada bulan Oktober 2010. Selang beberapa minggu selepas aku memohon, aku mendapat satu panggilan temuduga yang dijadualkan pada 17 Oktober 2010. Namun atas sebab tertentu, sesi temuduga itu terpaksa ditangguhkan walaupun aku telah berada di Kota Bharu bagi tujuan tersebut. Pada 3 November 2010, aku sekali lagi dipanggil untuk menghadiri temuduga tersebut. Aku sangkakan aku tidak berjaya mendapat tempat memandangkan semua calon yang datang untuk temuduga tersebut mempunyai kelayakan serta pengalaman yang lebih baik. Aku hanya berserah dan tidak merasa kecewa sekiranya permohonan aku tidak diterima kerana sekurang-kurangnya aku belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut.

Sebelum aku memohon untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan, cabaran pertama yang aku terpaksa lalui ialah untuk menghasilkan satu ‘resume’ yang baik. Setelah hampir tiga tahun tidak mengemaskinikan ‘resume’, aku rasakan terlalu banyak perkara yang aku perlu lakukan. Aku mula sedar bahawa rasa terlalu selesa membuatkan diriku menjadi lemah dan tidak kisah, malah yang paling menakutkan, aku alpa kerana tidak lagi peru untuk melengkapkan diriku secukupnya untuk cabaran hidup yang lebih besar. Aku merasa tidak perlu untukku mengemaskini segala kemahiran kerana aku telah mempunyai pekerjaan yang baik pada waktu itu. Untuk apa lagi aku perlu keluar mencari pekerjaan lain? Namun, proses menghasilkan resume yang baik merupakan cabaran pertama yang terpaksa aku tempuhi. Terasa diri sangat kekurangan pada waktu itu.

Selepas mengetahui yang aku bakal di temuduga, cabaran keduaku bermula apabila aku menghadapi rasa ketakutan dan keyakinan diri yang rendah. Aku takut untuk berhadapan dengan panel-panel yang bakal menemudugaku. Mereka pastinya orang-orang yang hebat dan berkelayakan tinggi, dan dugaanku tepat kerana aku ditemuduga oleh para pentadbir universiti, dekan serta Naib Canselor sendiri. Aku mempersiapkan diriku dengan mencari bahan bacaan sebagai persiapan menghadiri temuduga. Banyak buku-buku yang aku muat turun daripada internet tentang soalan-soalan yang sering ditanya dalam sesi temuduga. Aku juga merangka jawapan yang bakal ku utarakan sekiranya ditanya soalan-soalan tersebut.

Pada hari temuduga, aku tidak terlepas daripada perasaan takut dan gementar. Semua calon temuduga diarahkan untuk menduduki satu ujian bertulis dan ujian aptitude melalui komputer sebelum melalui proses temuduga bersama para panel. Soalannya berkisar tentang isu semasa di dalam sistem pendidikan dan perjawatan. Syukur aku dapat menjawab soalan yang dikemukakan walaupun aku sendiri tidak pasti dengan jawapanku. Dalam hatiku cuma berharap segalanya akan berakhir dengan cepat.

Sewaktu berada di dalam bilik temuduga, aku dan 3 orang lagi calon di temuduga secara berkumpulan. Aku dipanggil bersama tiga orang calon lain yang sememangnya sangat berkelayakan dan mempunyai pengalaman luas serta sudah memegang jawatan yang baik di institusi masing-masing. Aku merupakan calon yang paling muda diantara mereka. Aku cuba untuk kelihatan tenang walaupun sebenarnya aku terlalu gementar sehingga kaki dan tanganku menggigil dan terasa sejuk.

Soalan dikemukakan secara terbuka dan kami menjawab mengikut giliran masing-masing. Terasa bodoh pula aku pada waktu itu. Kerana terlalu berdebar-debar, aku memulakan kata-kata dengan agak panik dan tergagap-gagap. Setelah beberapa minit, barulah aku dapat meneruskan jawapan dengan tenang. Tapi aku yakin semua panel menyedari kegugupanku. Tidak banyak soalan yang panel ajukan kepadaku. Itu membuatkan aku bertambah yakin bahawa aku telah melakukan kesilapan dan tidak akan diterima untuk berkhidmat. Dalam kotak fikiranku, aku hanya berserah dan tidak terlalu berharap sekiranya aku gagal. Aku teruskan juga sesi temuduga itu walaupun pada satu ketika, aku seperti mahu meminta izin dan keluar dari bilik temuduga dengan segera. Tapi, aku memujuk diri dengan mengatakan bahawa segalanya akan berakhir dengan cepat dan sekiranya aku gagal sekalipun, sekurang-kurangnya aku gagal dengan maruah dan telah berjaya menepis ketakutan dan rasa tidak yakin yang ada pada diriku. Sekiranya aku tidak di terima sekalipun, sekurang-kurang aku tidak gagal sebelum mencuba. Setidak-tidaknya, aku telah berlaku adil terhadap diri sendiri, jujur dan berani untuk gagal.

Sesi temudugaku tamat selepas hampir 45 minit. Aku tidak sedar masa berlalu begitu pantas kerana aku terlalu sibuk merencana jawapan dan berlawan dengan ketakutanku. Keluar saja dari bilik temuduga, aku rasa bagaikan mati hidup semula. Terasa seperti mataku kembali melihat setelah buta, terasa darahku kembali mengalir setelah tersekat dan rasanya juga seperti aku kembali dapat bernafas setelah lemas didalam air. Agaknya, sepanjang 45 minit tadi, aku benar-benar telah mati. Sejuk dan pucat kulitku. Setelah mengambil semua dokumen dan beg, aku keluar dari bangunan itu dengan berjuta perasaan yang berkecamuk. Bagaimana sekiranya semua panel tadi mentertawakanku dan jawapanku yang tidak tersusun? Bagaimana sekiranya permohonanku ditolak? Apa pula akan terjadi sekiranya aku diterima dan bagaimana bakalku hadapi cabaran di sini? Soalan terakhir itulah yang paling ku takuti. Selama dua minggu aku berfikir mengenainya dan kehidupanku sungguh tidak keruan.

Aku kembali ke Kedah dan meneruskan tugasku sebagai pendidik seperti biasa, tapi dengan perasaan yang sungguh berbeza. Selepas temuduga itu, kehidupanku terasa begitu cemas. Banyak aku fikirkan. Adakalanya aku berfikir bahawa sekiranya aku diterima berkhidmat, aku akan menolaknya dan meneruskan sahaja kehidupanku di Kedah. Aku tidak tahu mengapa, tapi aku seperti dapat merasakan yang aku tidak lagi berada di Kedah. Fikiranku mengatakan bahawa aku tidak akan berjaya, tapi hatiku pula mengatakan yang sesuatu bakal berlaku dalam kehidupanku.

Ternyata rasa hatiku begitu kuat dan betul apabila aku menerima satu panggilan menyatakan bahawa aku bakal menerima surat tawaran melalui pengawal pusat (pengarah) dalam tempoh beberapa hari lagi. Aku benar-benar buntu dan ketakutan sekali lagi melanda hidupku. Terlalu banyak yang perlu aku uruskan dalam masa yang singkat. Aku harus menguruskan perpindahanku dan dengan barang yang teramat banyak, aku juga perlu memikirkan tentang bagaimana untuk memindahkan semuanya pulang ke Kelantan. Aku juga perlu memikirkan tentang jawatanku sekarang dan proses yang aku harus lalui untuk meneruskan perkhidmatan di UMK.

Syukur yang teramat, segalanya berjalan lancar. Pertama, aku telah menulis notis berhenti penamatan perkhidmatan di kolej tempat aku berkhidmat. Prosesnya mengambil masa sebulan, dan hanya apabila masaku hampir tamat barulah aku mendapat surat mengatakan yang permohonan perletakan jawatanku diterima. Selama tempoh itu, aku menguruskan perkara lain seperti pemeriksaan kesihatan, melakukan proses mengangkat sumpah di Pesuruhjaya Sumpah untuk berkhidmat di jabatan kerajaan, mengemaskini akaun bank untuk proses bayaran gaji, mengemas pakaian dan semua barang-barangku kedalam kotak, menyewa lori serta membayar segala kos yang perlu aku langsaikan sebelum berhenti kerja, memastikan semua urusan kerjaku tidak terbengkalai dan memudahkan urusan pihak yang bakal mengambilalih tugas serta banyak lagi cabaran lain yang terpaksa aku lalui.

Aku amat bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan mudah. Aku tidak perlu menunggu lama untuk semua urusan terutamanya urusan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan yang biasanya mengambil masa yang lama, tetapi Tuhan ternyata memudahkan segala urusanku. Aku juga bersyukur yang teramat sangat kerana suamiku sentiasa berada bersamaku dan tidak pernah meninggalkanku untuk menguruskan segalanya bersendirian, malah dialah yang paling banyak bersabar disaat-saat aku telah benar-benar lemah dan hampir berputus asa. Tanpa dirinya serta kesabarannya yang amat tinggi, tidak mungkin segalanya akan mudah.

Kini, sudah hampir dua minggu aku meneruskan hidupku di tempat baru. Cabarannya juga sudah ku rasakan. Lebih banyak lagi yang bakal mendatang. Apa yang aku pelajari sepanjang perjalanan ini, tidak mudah untuk mencapai kejayaan. Jalannya terlalu berliku dan menakutkan. Laluannya rumit dan menguji kekuatan. Rasanya pahit dan bisa mematikan jiwa yang lemah. Pengorbanan yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita dan kebahagiaan ini bukan sedikit, tetapi menuntut kerelaan yang tidak ada perkataan mampu menceritakan segala rasa yang terpaksa ditelan.

Ketakutan, kesabaran dan pengorbanan adalah perkara yang perlu dilalui dalam kehidupan. Namun, bukan semua ketakutan itu bersifat negatif. Ketakutan itu adakalanya mempersiapkan diri kita ke arah kebaikan. Ketakutan kepada larangan agama dan takut kepada Yang Maha Kuasa adalah sesuatu yang menghalang kita melakukan kesalahan dan menghalang kita daripada pembalasan atas kesilapan kita. Syukur aku ada rasa takut yang mempersiapkan aku untuk menerima cabaran dan seterusnya mengecap nikmat yang aku dapati kini. Segalanya bertukar menjadi manis selepas berjaya mengharungi kepahitan sekian lama.

Teringat aku dengan kata-kata yang pernahku baca, “Sabar itu pahit tetapi hasilnya cukup manis”. Kerana aku telah sanggup menelan kepahitan yang aku telah lalui selama ini dan bersabar dengannya, aku kini sedang menghirup sedikit kemanisan yang begitu nikmat dan asyik. Jika masih banyak lagi kepahitan yang harus ku telan di hari muka ku, aku rela menelan kesemuanya kerana kemanisan itu pastinya milik sesiapa yang menunaikan kesabaran akibat kepahitan hidupnya. Bukankah sabar itu separuh daripada iman? Doaku semoga Allah juga mengurniakan aku kemanisan iman yang maha hebat dan indah.

Wednesday, December 29, 2010

Surat Buat Sahabatku

Assalamualaikum WBT.

Buat semua sahabatku yang disegani..

Tia harap kalian semua sentiasa dibawah perlindungan Allah SWT.

Sedih utk meninggalkan semua SAHABAT baik disini..
Tia panjatkan doa semoga kalian akan selalu kuat menghadapi dugaan dan rintangan yang ada didalam meniti kehidupan.
Tia sayang kalian semua seperti saudara sendiri..

Syukur alhamdulillah atas pertemuan kita di bumi Kuala Nerang dan Kolej MARA ini adalah sebenarnya tapak pertemuan kita...yang telah diatur oleh Ilahi..

Semuanya terkandung hikmah yang amat besar kerana pertemuan singkat kita mewujudkan ikatan yang amat rapat dan tidak mungkin akan terputus buat selamanya..Disetiap pertemuan itu pastinya telah tertulis satu detik perpisahan, samada berpisah sementara ketika masih hidup atau setelah Tuhan kembali menjemput kita pulang ke sisiNya. Bila kita bersedia untuk menerima sebuah pertemuan , kita juga seharusnya lebih bersedia untuk menerima sebuah perpisahan walau bagaimana berat sekalipun untuk kita menghadapinya. Sesungguhnya amat berat menghadapi perpisahan ini, tapi yang pasti persahabatan, kegembiraan, perkongsian suka duka kita kan selalu Tia kenang sampai mati.

Sahabatku,
Hadapilah setiap cabaran dengan sabar kerana sabar itu sangat pahit tetapi hasilnya cukup-cukup manis :) Orang yang sabar itu sentiasa ada bibawah kasih sayang Allah..dan kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaannya... Tia tahu, kita semua adakalanya merasa lemah semangat dan tidak berdaya...Itu semua adalah pengalaman yang setiap orang akan lalui dalam menuju kedewasaan dan itulah sebenarnya membuat kita lebih kuat.

Ingatlah kembali apa yang telah kalian lalui selama ini dan jadikan asas untuk kalian lebih berani mengorak langkah untuk maju, bukan sahaja di dunia malah paling penting di akhirat sana...Kehidupan ini hanya sementara, jadi usah takut untuk mencuba sesuatu yang baru walau kita gagal berkali-kali..kerana kita sentiasa ada peluang untuk berjaya jika kita berani dan tidak takut gagal. Segala apa yang mencabar kita, atau setiap manusia yang mencuba untuk menghalang kita tidak akan mampu memudaratkan kita jika Allah sentiasa bersama kita dan tidak mengizinkan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Itulah yang Tia pegang selama kehidupan Tia yang masih setahun jagung ini.

Jika kalian berasa lemah dan lemas dengan kehidupan di tempat kerja, ingatkan diri kalian bahawa niat dan tujuan sebenar kita bekerja adalah demi mencapai redha Allah SWT.
Jika niat kita baik, setiap jalan akan dipermudahkannya. Ramai manusia yang terlupa bahawa tujuan mencari rezeki adalah kerana Allah, malah mereka sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan sesuatu yang nyata hanya sementara. Bulatkan tekad dan ikhlaskan niat pada Allah, pasti akan ada jalan keluarnya. Jika kalian tidak sukakan sesiapa, atau berasa sakit hati..Simpanlah rasa marah itu dengan sabar. Ingat kembali wajah-wajah orang yang baik terhadap kita dan kenang kembali segala kesusahan yang kita hadapi untuk sampai ke tahap ini. Manusia semua sama sahaja, cuma kita perlu tahu bagaimana mengawal diri kita. Kita tidak berkuasa untuk mengawal atur segala benda. Cukuplah kita atur diri sendiri dan fokuskan kepada diri dan keluarga kita sahaja.

Kita tidak dapat lari dari tanggapan manusia terhadap kita. Abaikan sahaja tanggapan orang kerana apa yang penting adalah pandangan Allah terhadap kita. Jika manusia tidak sudi memandang kita, tidak mengapa. Tapi jika Allah sudah tidak memandang kita, maka hancurlah kehidupan kita..jauhlah rahmat dari kehidupan kita. Setiap hambaNya yang mendapat ujian itu bermakna Allah memandang mereka dengan kasih sayangNya yang Maha Agung..dan tidak lain tujuanNya hanyalah untuk mengangkat darjat kita serta menghapus dosa silam kita...Bila tidak diuji, maknanya kita ini sudah terlalu jauh dariNya.. 

Sahabatku,
Jika kita mengadu pada manusia tentang apa jua masalah kita, manusia tidak mampu berbuat apa-apa utk membantu kita..Tapi jika kita mengadu kepada Allah, Dialah pendengar Yang Maha Mengetahui setiap apa yang tidak mampua kita luahkan dengan kata-kata.

Dalam setiap yang berlaku kepada kita, pasti ada sebabnya..Adakalanya, ia bakal menjadi satu turning point untuk kita memulakan kehidupan baru yang lebih baik. Janganlah kita terlalu merasa takut dengan perkara kecil yang belum berlaku, dan terlalu memikirkan perkara yang tidak pasti. Berpijak dibumi nyata dan kawal emosi dengan penuh kematangan. Orang yang hebat ialah orang yang tahu apa yang dia mahu dan melakukan tindakan untuk mengubah kehidupannya. Orang yang hebat juga ialah orang yang mampu bertenang dan berfikir positif dengan melihat setiap perkara dari sudut pandangan yang baik. Tidak perlu bersusah hati sangat dengan kesusahan kita, kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangan dipenghujungnya. Tidak perlu takut yang teramat dengan dunia, tapi takutlah kepada apa yang kita bakal kehilangan sekiranya terus hidup dalam ketakutan.

Sahabatku,
Dalam diri setiap dari kita ini ada sesuatu yang berbeza dan unik yang tidak dimiliki oleh orang lain, iaitu X-Factor yang tersembunyi didalam diri kita. Carilah ‘sesuatu’ itu dengan bersungguh-sungguh, pasti kalian akan menemuinya. Jika kalian sudah menemuinya, gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya dan semaksima mungkin. Allah itu Maha Adil dan jangan menyangka kita ini tidak punya apa-apa yang istimewa.

Usahlah membuang masa mencari-cari cinta dan sanjungan manusia. Mereka tidak akan selamanya mencintaimu kerana mereka juga sama sepertimu. Nikmatilah hidupmu seperti kamu mahukan tetapi sebelum kamu dapat menikmatinya, terimalah segala yang tertulis dalam kehidupanmu dengan hati terbuka dan maafkanlah setiap yang buruk yang berlaku ke atasmu. If you are at peace with yourself, you will live in peace for the rest of your life.
Akhir sekali, selamat maju jaya dan semoga kalian bertemu dengan kebahagiaan didunia dan diakhirat.

P.S: Even the strongest men think they are weak. True strength comes from the belief that you are strong and it’s all in your brain. Everything shall pass. Every time you encounter problems, look at the bright side of them and say to yourself, 
“This shall pass too…” 

and everything will be just fine.