Friday, October 29, 2010

Mencari Anak Angkat

Aku dan suami diijabkabulkan hampir 4 tahun yang lalu. Tapi sehingga kini, kami masih belum dikurniakan zuriat. Pelbagai usaha yang kami lakukan untuk cuba mendapatkan, namun masih belum berhasil.
Apa saja produk yang disarankan, aku telah mencuba. Bila orang tanya itu ini, aku rasa penat untuk menjawab persoalan. Bila pulang ke rumah mertua, lebih sakit rasanya. Kakak-kakak ipar sering menyindir dan bergurau tentang anak. Bukan aku tidak faham maksud mereka, tapi tidakkah mereka faham perasaan hatiku? Setiap kali pulang ke sana, suamiku pasti akan turut bersedih dan memujukku yang pastinya menangis dan terluka.

Siapa yang tidak mahukan zuriat sendiri? Wanita mana yang tidak mahu menjadi seorang ibu, merasakan kehadiran bayi didalam rahim sendiri saat sepanjang kehamilan, mengasuh dan mendidik anak dan melihat anak mereka berjaya? Soalan tentang anak memang amat sensitif padaku.Jika diawal perkahwinan aku tidak begitu kisah, tapi sekarang, aku mudah tersentuh.Terasa seperti diriku tidak berguna.

Bila aku mendengar saja berita tentang pembuangan bayi, hatiku jadi cukup sayu. Aku diselubungi pelbagai persoalan..
"Kalaulah mereka berikan anak itu kepadaku.."
"Bagaimana aku ingin dapatkan seorang anak yang ditinggalkan itu.."
"Apakah aku mampu melahirkan anak..?"
"Apakah ujian ini..?"

Aku benar-benar berharap, jika ada insan yang sudi memberikan bayi mereka kepadaku, akan ku jaga dia sebaik mungkin seperti anak sendiri.Aku cukup-cukup kesunyian dan ingin sekali memeluk seorang anak kecil..dan melihat telatahnya..
Jika ada sesiapa yang terlanjur dan tidak tahu kemana harus dituju, dan bagaimana nasib bayi yang dikandung, aku harap sangat agar mereka dapat menghubungiku..

Semoga Allah berikan aku dan suamiku seorang zuriat buat penyeri hidup kami. Amin.


Jangan Takut

Kita sering berdepan dengan ketakutan. 
Tentu ada sebabnya kenapa kita takut.
Tapi ada ketikanya, kita sendiri tidak tahu kenapa kita takut, dan apa yang kita takuti. Mungkin kita hanya takut dengan bayang-bayang sendiri dan bisikan hati yang bukan-bukan yang sudah pastinya datang dari syaitan yang berjanji akan selamanya menyesatkan anak Adam.

Minggu lepas, seorang rakan sejawatan saya yang bertaraf seorang kakak meluahkan rasa hatinya kepada saya. Pada hemat saya, dia menjalani satu proses ketakutan yang dialami sekian lama di tempat kerja. Jika diperhatikan dari luaran, semuanya nampak sempurna dan tidak ada apa-apa masalah atau bebanan yang ditanggung. Tapi, dilubuk hati setiap manusia, pastinya tersimpan sejuta rahsia.

Bila beliau meluahkan perasaan tertekan yang dialaminya, terlintas dibenak saya bahawa ramai lagi selain saya yang mengalami tekanan perasaan dan kebimbangan. Kebanyakannya lebih senang berdiam diri dan menyimpan segala ketakutan dan tidak berani tampil untuk mencurahkan perasaan.  Ada juga yang sangat selesa mencurahkan segala masalah kecil yang langsung tidak layak dipanggil masalah sehingga membuat orang lain jemu. Itulah perbezaan antara orang yang kuat emosi dan orang yang terlalu lemah mengawal perasaan. 

Bila saya memberikan kata-kata semangat pada rakan sekerja saya itu, tiba-tiba sahaja beliau menitiskan airmata akibat bendungan perasaan yang amat berat ditanggung. Tak sangka, seorang yang lebih muda seperti saya boleh memberi sedikit kata-kata semangat kepadanya.

Sebenarnya, ketakutan itu biasa. Setiap manusia mempunyai perasaan takut. Tapi, perlu diingat, selagi hidup kita tidak harus takut kepada segala cabaran yang mendatang, atau takut kepada perkara yang belum terjadi.Malah, kita juga tidak perlu takut kepada manusia lain yang mengancam kedudukan kita dengan ugutan-ugutan yang tidak munasabah. Teringat saya kepada satu kata-kata perangsang, "The thing that won't kill you, will make you stronger" dan "Selagi sesuatu itu tidak mengancam nyawa, ia bukanlah satu masalah yang perlu dirisaukan".

Berpegang kepada dua kata-kata inilah, saya bangkit melawan ketakutan dan menjadi lebih kuat setiap kali ditimpa masalah. Masalah itu hanya ada bila kita fikirkan. Jadi, usahlah takut menghadapi segala cabaran. Usahlah takut dengan masa hadapan. Usahlah takut dan berfikir sangat tentang perkara yang belum terjadi. Jika Allah telah menetapkan sesuatu buat kita, kita pasti akan mengalaminya. Jika Allah telah menetapkan rezeki kita, kita pasti mendapatnya.

Apa yang membuat saya lebih kuat ialah kata-kata nasihat ibu saya yang merupakan doa seharian yang diamalkan beliau  iaitu "Tiada kuasa dan daya upaya melainkan kuasa dan daya upayaMu, Ya Allah. Bersama-samaMu aku menghadapi musuh-musuhku."

InsyaAllah, sama-samalah kita amalkan dan semoga kita menjadi lebih kuat, berani serta tabah menghadapi dugaan serta melawan ketakutan.







Thursday, October 7, 2010

Pernahkah kau terfikir kalau-kalau suamimu mempunyai perempuan lain selainmu?

Sejenak terhenti fikiran ku dari memikirkan tentang perkara yang berlaku sepanjang hari ini apabila seorang teman rapat bertanya :
" Pernahkah kau terfikir kalau-kalau suamimu mempunyai perempuan lain selainmu?"


Tersirap darah dan meremang bulu romaku.
Apa tidaknya, soalan begitu menyentap kalbu! Tidak sanggup untuk ku fikirkan situasi sedemikian.
Tapi, sedikit sebanyak aku terkesan dengan persoalan tersebut.
Sehingga lewat malam, aku masih belum dapat melelapkan mata kerananya.


Pernahkah aku terfikir kalau-kalau suami mempunyai perempuan lain dibelakangku?
Jawapannya, sudah tentu aku pernah memikirkannya.


Dan lagi, sudah tentu aku tidak mahu terus memikirkannya.


Tapi, akhirnya aku terus juga hanyut dengan persoalan yang bermain di fikiran:


1. Kalaulah Encik Suami benar-benar ada perempuan lain dibelakangku, apakah tindakan yang perlu aku lakukan?


2. Kalaulah Encik Suami berpura-pura dibelakangku, apakah sebabnya?


3. Kalaulah Encik Suami nekad menduakan aku, kemana harus ku bawa hati ini?


4. Kalaulah aku sudah mempunyai anak dan Encik Suami pula mempunyai wanita lain, apakah yang akan terjadi?


5. Adakah aku akan bersedih hati dalam tempoh waktu yang lama jika Encik Suami ternyata mempunyai insan lain?


6. Bagaimana pula dengan perceraian?


7. Jika bercerai, bagaimana pula dengan anak-anak?


8. Jika sudah tidak sehaluan dan berpisah, bagaimana dengan hak anak-anak dan hak aku sendiri, serta harta sepencarian?


9. Apakah yang sepatutnya aku lakukan jika tidak lagi mempunyai Encik Suami disisi?


10. Bagaimana kehidupanku selepas ini?


Argh!
Aku sudah mula berfikir yang bukan-bukan kerana satu persoalan yang nyata mengganggu hatiku.
Rupanya banyak juga perkara yang perlu difikirkan.
Susahnya hidup bersendirian...

Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti berfikir.