Wednesday, December 29, 2010

Surat Buat Sahabatku

Assalamualaikum WBT.

Buat semua sahabatku yang disegani..

Tia harap kalian semua sentiasa dibawah perlindungan Allah SWT.

Sedih utk meninggalkan semua SAHABAT baik disini..
Tia panjatkan doa semoga kalian akan selalu kuat menghadapi dugaan dan rintangan yang ada didalam meniti kehidupan.
Tia sayang kalian semua seperti saudara sendiri..

Syukur alhamdulillah atas pertemuan kita di bumi Kuala Nerang dan Kolej MARA ini adalah sebenarnya tapak pertemuan kita...yang telah diatur oleh Ilahi..

Semuanya terkandung hikmah yang amat besar kerana pertemuan singkat kita mewujudkan ikatan yang amat rapat dan tidak mungkin akan terputus buat selamanya..Disetiap pertemuan itu pastinya telah tertulis satu detik perpisahan, samada berpisah sementara ketika masih hidup atau setelah Tuhan kembali menjemput kita pulang ke sisiNya. Bila kita bersedia untuk menerima sebuah pertemuan , kita juga seharusnya lebih bersedia untuk menerima sebuah perpisahan walau bagaimana berat sekalipun untuk kita menghadapinya. Sesungguhnya amat berat menghadapi perpisahan ini, tapi yang pasti persahabatan, kegembiraan, perkongsian suka duka kita kan selalu Tia kenang sampai mati.

Sahabatku,
Hadapilah setiap cabaran dengan sabar kerana sabar itu sangat pahit tetapi hasilnya cukup-cukup manis :) Orang yang sabar itu sentiasa ada bibawah kasih sayang Allah..dan kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaannya... Tia tahu, kita semua adakalanya merasa lemah semangat dan tidak berdaya...Itu semua adalah pengalaman yang setiap orang akan lalui dalam menuju kedewasaan dan itulah sebenarnya membuat kita lebih kuat.

Ingatlah kembali apa yang telah kalian lalui selama ini dan jadikan asas untuk kalian lebih berani mengorak langkah untuk maju, bukan sahaja di dunia malah paling penting di akhirat sana...Kehidupan ini hanya sementara, jadi usah takut untuk mencuba sesuatu yang baru walau kita gagal berkali-kali..kerana kita sentiasa ada peluang untuk berjaya jika kita berani dan tidak takut gagal. Segala apa yang mencabar kita, atau setiap manusia yang mencuba untuk menghalang kita tidak akan mampu memudaratkan kita jika Allah sentiasa bersama kita dan tidak mengizinkan sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Itulah yang Tia pegang selama kehidupan Tia yang masih setahun jagung ini.

Jika kalian berasa lemah dan lemas dengan kehidupan di tempat kerja, ingatkan diri kalian bahawa niat dan tujuan sebenar kita bekerja adalah demi mencapai redha Allah SWT.
Jika niat kita baik, setiap jalan akan dipermudahkannya. Ramai manusia yang terlupa bahawa tujuan mencari rezeki adalah kerana Allah, malah mereka sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan sesuatu yang nyata hanya sementara. Bulatkan tekad dan ikhlaskan niat pada Allah, pasti akan ada jalan keluarnya. Jika kalian tidak sukakan sesiapa, atau berasa sakit hati..Simpanlah rasa marah itu dengan sabar. Ingat kembali wajah-wajah orang yang baik terhadap kita dan kenang kembali segala kesusahan yang kita hadapi untuk sampai ke tahap ini. Manusia semua sama sahaja, cuma kita perlu tahu bagaimana mengawal diri kita. Kita tidak berkuasa untuk mengawal atur segala benda. Cukuplah kita atur diri sendiri dan fokuskan kepada diri dan keluarga kita sahaja.

Kita tidak dapat lari dari tanggapan manusia terhadap kita. Abaikan sahaja tanggapan orang kerana apa yang penting adalah pandangan Allah terhadap kita. Jika manusia tidak sudi memandang kita, tidak mengapa. Tapi jika Allah sudah tidak memandang kita, maka hancurlah kehidupan kita..jauhlah rahmat dari kehidupan kita. Setiap hambaNya yang mendapat ujian itu bermakna Allah memandang mereka dengan kasih sayangNya yang Maha Agung..dan tidak lain tujuanNya hanyalah untuk mengangkat darjat kita serta menghapus dosa silam kita...Bila tidak diuji, maknanya kita ini sudah terlalu jauh dariNya.. 

Sahabatku,
Jika kita mengadu pada manusia tentang apa jua masalah kita, manusia tidak mampu berbuat apa-apa utk membantu kita..Tapi jika kita mengadu kepada Allah, Dialah pendengar Yang Maha Mengetahui setiap apa yang tidak mampua kita luahkan dengan kata-kata.

Dalam setiap yang berlaku kepada kita, pasti ada sebabnya..Adakalanya, ia bakal menjadi satu turning point untuk kita memulakan kehidupan baru yang lebih baik. Janganlah kita terlalu merasa takut dengan perkara kecil yang belum berlaku, dan terlalu memikirkan perkara yang tidak pasti. Berpijak dibumi nyata dan kawal emosi dengan penuh kematangan. Orang yang hebat ialah orang yang tahu apa yang dia mahu dan melakukan tindakan untuk mengubah kehidupannya. Orang yang hebat juga ialah orang yang mampu bertenang dan berfikir positif dengan melihat setiap perkara dari sudut pandangan yang baik. Tidak perlu bersusah hati sangat dengan kesusahan kita, kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangan dipenghujungnya. Tidak perlu takut yang teramat dengan dunia, tapi takutlah kepada apa yang kita bakal kehilangan sekiranya terus hidup dalam ketakutan.

Sahabatku,
Dalam diri setiap dari kita ini ada sesuatu yang berbeza dan unik yang tidak dimiliki oleh orang lain, iaitu X-Factor yang tersembunyi didalam diri kita. Carilah ‘sesuatu’ itu dengan bersungguh-sungguh, pasti kalian akan menemuinya. Jika kalian sudah menemuinya, gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya dan semaksima mungkin. Allah itu Maha Adil dan jangan menyangka kita ini tidak punya apa-apa yang istimewa.

Usahlah membuang masa mencari-cari cinta dan sanjungan manusia. Mereka tidak akan selamanya mencintaimu kerana mereka juga sama sepertimu. Nikmatilah hidupmu seperti kamu mahukan tetapi sebelum kamu dapat menikmatinya, terimalah segala yang tertulis dalam kehidupanmu dengan hati terbuka dan maafkanlah setiap yang buruk yang berlaku ke atasmu. If you are at peace with yourself, you will live in peace for the rest of your life.
Akhir sekali, selamat maju jaya dan semoga kalian bertemu dengan kebahagiaan didunia dan diakhirat.

P.S: Even the strongest men think they are weak. True strength comes from the belief that you are strong and it’s all in your brain. Everything shall pass. Every time you encounter problems, look at the bright side of them and say to yourself, 
“This shall pass too…” 

and everything will be just fine.

Sunday, December 5, 2010

Menjelang Perpisahan

Tidak sampai sebulan lagi, aku akan mula berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan.
Aku sekarang masih lagi bergelar staf Kolej MARA Kuala Nerang.
Tak sangka pula selepas hampir 3 tahun, aku bakal pulang ke kampung halaman dan berkhidmat di UMK.

Cepat benar masa berlalu.
Aku seperti tidak percaya yang aku bakal meninggalkan tempat ini yang ku diami hampir tiga tahun lamanya.
Aku pernah terfikir sekali sekala, adakah di sini aku akan terus berada?
Tapi Allah mengetahui segalanya.

Aku kenal banyak insan yang baik di sini. Aku kenal sahabat-sahabat baik juga di sini.
Jay, Jaja, Kak Nurul, Musliha dan Manja adalah antara teman-teman rapat yang amatku senangi. Mereka semua sangat istimewa dan berbeza.

Jay adalah teman dan pendengar yang sangat baik. 
Aku rasa aku boleh ceritakan semua perkara kepadanya. Aku akan rasa sangat bahagia dan gembira bila dia ada dekat denganku. Kalau aku sedih, aku pasti akan rasa gembira setelah berbicara dengannya. Jay pasti akan membantuku setiap kali aku blur dan down. Jay pasti buat aku senyum, dan memeluknya adalah sesuatu yang sangat mendamaikan.

Kak Nurul adalah seorang kakak yang ceria dan suka membantu. Pertama kali aku menjejak kaki ke Kuala Nerang, Kak Nurul adalah orang pertama yang membantu aku yang kesempitan. Maklumlah baru berpindah dan memulakan hidup di tempat baru yang sungguh asing bagiku. Kak Nurul banyak membantu menyarankan tempat makan, memberi peta jalan dan dialah orang yang paling happening jika menganjurkan setiap acara. Paling aku tak boleh lupakan, kak Nurul pasti akan menyambut hari ulangtahun kelahiranku dan rakan-rakan yang lain.

Jaja pula adalah teman aku bertukar cerita. Setiap cerita pasti dikongsi bersama. Malam-malam yang ku lalui banyak ditemani Jaja, walaupun di alam siber. Pelbagai kisah lucu, sedih dan menggembirakan yang kami kongsikan bersama. Melihat sifat berdikarinya buat aku sangat kagum, sebab aku rasa aku tidak akan mampu menjadi sepertinya. Dialah juga yang memperkenalkan aku dengan majalah SOLUSI yang kini sangat aku minati. 

Manja orang pertama yang aku hubungi sewaktu mula-mula mendapat tawaran di sini. Tarikh masuk kerja kami pun sama. Bila tiba masa untuk marking, teman sebilikku pasti Manja. Waktu induksi dulu pun, aku bersama Manja selama 2 minggu di bilik hotel yang paling eksklusif di Cherating. Manja yang kreatif dengan idea baru dan pelbagai perkara lucu selalu buat aku kagum. dan, kami juga menikmati saat-saat yang sangat indah bersama tapi agak melucukan, kerana sebuah lagu dan kerinduan, kami sama-sama telah melakukan perkara yang sanagt tak masuk akal. (Manja, kalau baca ni, ingatkan aku selalu ye wahai Sarinya!)

Musliha, atau Mus adalah teman berlawak yang sangat melucukan. Setiap hari pasti ada saja bahan lawak yang akan aku dan dia reka. Cerita rekaan kami pula selalunya melibatkan kisah yang sangat tidak logik. Contohnya kisah skandal Cikgu Zainuddin yang sememangnya tak wujud di alam semesta, kisah Abang Dee dan empat isteri, dan pelbagai kisah skandal yang sememangnya tak pernah ada pun. Tapi, bila saja aku dan Mus bergabung idea, memang semua cerita itu seperti benar-benar terjadi. Memang aku enjoy sangat bila dia ada. 


Owh, sedihnya nak meninggalkan Kuala Nerang, tempat yang banyak meninggalkan kenangan pahit manis. Di tempat inilah aku bertemu banyak insan-insan yang memberi banyak pengajaran kepadaku. Aku bertemu dengan sahabat-sahabat baikku dan pelajar-pelajar yang sedang mencipta nama dalam pelbagai bidang. Aku tak mungkin akan lupakan semua kenangan yang indah di sini, kerana di sinilah tempat aku dan suami menyemai kehidupan tahun-tahun awal perkahwinan kami. Dan, aku juga tidak akan pernah melupakan jatuh bangun aku di sini. Di bumi inilah aku menangis, ketawa, gembira dan bersedih. Di sinilah segalanya bermula. maka di sini jugalah ia akan berakhir.


Sehingga masanya tiba untuk aku pergi dari sini, aku akan menggunakan setiap masa yang ada untuk menikmati udara segar nyaman di bumi Kuala Nerang ini sepuas-puasnya dan menelan kepahitan supaya aku sedikitpun tidak akan merasa pahitnya.


Saturday, December 4, 2010

Tulis Diari

Masa mandi tadi, waktu maghrib..terfikir untuk menulis diari dengan konsisten setiap hari mulai 2011. Menulis diari akan mengingatkan semua peristiwa penting yang kita lalui setiap hari. nanti, bila kita dah tua, kita dapat putar kembali ingatan kita pada hari-hari yang kita lalui dengan mudah kerana kita menulis diari. Insya Allah, aku akan cuba menulis diari setiap hari bermula 1 Januari 2011. Aku tak mahu hari-hari yang aku lalui dilupakan begitu sahaja.

Rayuan Kepada Otak

Aku tak tahu kenapa aku suka sangat menulis.
Mungkinkah aku sudah gila?
Setiap hari kalau aku tak menulis, aku rasa hidupku kehilangan sesuatu.
Dalam fikiranku sering saja ada benda yang aku rasa aku nak tulis, tapi kadang-kadang aku sendiri tidak tahu apa yang hendak di tulis.


Wahai otak, saya merayu kepada awak, boleh tak tolong berhenti berfikir sekejap?
Saya agak penat.



Saya tahu awak takkan berhenti buat saya fikir, tapi tolonglah..kepala saya dah sakit.
Otak..saya dah tak tahu nak fikir idea bagaimana lagi
saya dah betul-betul letih
sebab sekarang ni saya nak fikirkan tentang pindah saja.
Maafkan saya, Otak.

Friday, December 3, 2010

Bersemadilah, Ang Ang!





Hari ini, Jumaat 3 Disember 2010.

Sebaik bangun dari tidur, perkara pertama yang aku lakukan ialah menjenguk Ang Ang yang sakit beberapa hari di dalam sangkar. Ku lihat dari kejauhan seolah-olah dia sedang tidur. Tapi kenapa nafasnya tidak berombak seperti selalu?

Aku menghampiri sangkar dengan lebih dekat, juga tidak nampak ombak nafasnya seperti selalu. Ku sentuh telinganya, sejuk. Ku buka perlahan-lahan pintu sangkar untuk tidak mengejutkannya dari tidur, tapi ia tetap berbunyi agak kuat. Namun Ang Ang tidak terkejut seperti selalunya. Ku sentuh tubuhnya, sejuk dan keras. Ang Ang telah tiada lagi.

Aku terus meluru ke pintu bilikku dan suamiku yang baru terjaga dari tidur memandangku yang sudah mengalir airmata. Ku terus menangis tersedu-sedu dan memberitahu kepada suamiku yang Ang Ang yang paling ku sayang telah tiada lagi. 


Ang Ang telah beberapa lama sakit tidak mampu membuang air kecil. Perutnya bulat kerana pundi kencingnya penuh dengan air kencing. Ang Ang tidak makan dan minum. Malam semalam, Ang Ang tidak mampu berjalan dengan baik. Bila ku beri ubat, Ang Ang memuntahkan semula semuanya. Telah beberapa kali Ang Ang dibawa ke klinik untuk pemeriksaan sepanjang sakit. Dan sememangnya, dialah kucing yang paling aku sayang.


Aku teramat sedih dengan pemergiannya, tapi jika itu lebih baik buatnya, aku redha. Suamiku mengebumikan Ang Ang di kawasan kolej tempat aku tinggal sekarang bersama menteeku, Aziz yang datang bercuti dan membantu kami untuk berpindah. Ang Ang tidak sempat untuk berpindah bersamaku. Jasadnya akan selamanya bersemadi di Kolej MARA Kuala Nerang, disebelah tempat Neng Neng disemadikan. Neng Neng, abangnya juga mati kerana penyakit yang sama.

Seharian ini merupakan hari yang menyedihkan buatku. Mataku bengkak dan badanku lemah. Aku terlalu sayangkan Ang Ang, tetapi dia tetap pergi kerana Allah lebih sayangkannya. Aku redha tetapi aku tidak akan bertemu dengan kucing sepertinya lagi.

 Bersemadilah dengan aman, Ang Ang..

Cemburu vs Sabar


Selalu saja aku dengar orang disekelilingku mengeluh tentang masalah. Banyak kali telah aku menulis tentang perkara ini. Rasanya kali ini aku mahu juga meluahkan masalah yang aku lalui selama ni..tapi akhirnya masalah dan dugaan itu berlalu juga kerana sabar. Cerita kali ini berkisar tentang kesabaran, dan ia benar-benar terjadi kepada diriku sendiri.

Dulu, aku pernah bercinta dengan seorang pemuda yang umurnya jauh lebih tua dariku. Aku namakan sahaja dia sebagai H. Jarak usia kami ialah 11 tahun. Lama juga aku bercinta dengannya.  Waktu itu, aku bukanlah mahu berkahwin pun dengan dia. Maklumlah, masih remaja dan masih mahu berseronok sahaja.  Tapi aku sedih juga kerana menganggap semua orang tidak memahami perasaanku.

Masa bercinta dengan, aku sudah tahu yang keluargaku tidak langsung merestui perhubungan kami memandangkan kami sekampung dan dia tidak berpelajaran tinggi sepertiku. Walaupun aku bercinta, tapi aku belajar dengan rajin dan berjaya ke universiti. Sewaktu di universiti, fikiranku lebih terbuka dan aku memang tidak memikirkan tentang percintaan.
Bila masuk tahun kedua, aku mula sedar yang aku tidak boleh leka dan lalai. Walaupun hubungan dengan H masih ada, tapi sudah semakin pudar. Aku akhirnya memutuskan hubungan dengannya kerana aku mahu menumpukan pada pelajaran. Usiaku pun masih terlalu muda sedangkan dia sudah berumur 30 tahun. Aku agak sedih dengan perpisahan itu, tapi aku tahu kesedihan itu akan pudar bersama masa.

Selepas beberapa bulan, aku mendapat tahu  yang dia telah berkahwin dengan seorang perempuan yang 3 tahun lebih tua darinya. Aku tidak tahu apa perasaanku waktu itu, tapi aku ingat lagi di hari perkahwinannya, aku menangis dan agak sedih. Maklumlah, aku sayang juga kepadanya walaupun aku bersikap gila-gila.

Selepas dia berkahwin, dia masih juga menghubungiku sekali sekala. Aku juga mengenali isterinya itu. Mungkin kerana cemburu, isterinya mengesyaki yang dia masih menyintaiku dan berfikir yang aku masih juga menyintainya, sedangkan pada waktu itu, aku tidak langsung mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya. Malah, aku sememangnya menumpukan perhatian pada pelajaran. Walaupun aku tidak nafikan yang aku agak playgirl masa tu. Padaku, aku boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, dan sememangnya aku mempunyai ramai kenalan. Ada juga yang ingin menjadi teman istimewa, tapi aku tidak serius dengan sesiapa. Aku hanya main-main saja.

Isterinya yang cemburu itu selalu menghubungiku dan menghantar pesanan yang bukan-bukan. Adakalanya, dia bercakap dengan lemah lembut, adakalanya dia akan memaki hamun. Aku sangat malas melayan kegilaannya. Aku anggap dia cemburu dan sepatutnya dia tidak perlu berasa takut kerana aku langsung tidak berperasaan terhadap suaminya.

Pada suatu malam, aku dan adik bongsuku sedang asyik menonton televisyen di rumah. Kebetulan, waktu itu cuti semester, jadi aku berada sepanjang masa di rumah dan menghabiskan masa bersama adik ku. Tiba-tiba pintu rumahku di ketuk. Aku asyik menonton TV dan adikku membuka pintu. Dengan kuatnya dia menghempas pintu dan berlari mendapatku. Katanya, isteri H bersama ibu saudara H dan seorang temannya datang untuk berjumpa denganku. Aku mengarahkan adikku untuk mengunci sahaja pintu rumah. Waktu itu jam menunjukkan pukul 11 malam. Adikku cepat-cepat keluar dan memberitahu mereka yang aku sudah tidur, lantas mengunci pintu. Sebaik pintu dikunci, ketukan bertalu-talu dihayunkan sambil dia menjerit memanggil namaku. Aku mula panas hati tapi aku tahan. Memandangkan pada waktu itu hanya aku dan adikku sahaja yang berada di rumah, aku tidak berani untuk membuka pintu.

Kemudian, perempuan itu menjerit dengan lebih kuat dan mengeluarkan kata-kata kesat.  Aku mula hilang sabar dan mengajak adikku untuk keluar. Pintu ku buka dan aku duduk di tangga tanpa mempelawa mereka masuk. Aku lihat teman perempuan itu bediri agak jauh dan memerhatikan taman bunga ibuku. Ibu saudara H pula bercekak pinggang dan memerhatikanku. Aku bertanya kenapa mereka datang mengganggu kami berdua. Maka, isteri H mula bertanya aku pelbagai soalan tentang H.

Antara yang aku masih ingat ialah pertanyaan tentang makanan kegemaran H, sejak bila kami bercinta dan macam-macam lagi. Yang aku tak dapat lupakan, dia berkata bahawa H selalu termenung sambil menonton TV dan meletakkan tangannya ke dahi kerana asyik memikirkanku. Aku agak terkejut, tapi aku rasa seperti hendak ketawa sekuat-kuatnya.  Aku jawab persoalannya dengan selamba. Untuk soalan yang paling ‘panas’ itu, aku hanya katakan yang aku tiada kena mengena jika H masih memikirkanku, kerana aku sudah ada teman lelaki yang lebih kacak (padahal aku memang tak ada teman lelaki pun).  Dia menyerang aku dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan ibu saudaranya pula tidak habis-habis menengking aku dan adikku. Aku memang tidak sabar lagi dan terus aku menghalau mereka pulang dengan ugutan untuk memanggil polis kerana aku sedar hakikat bahawasanya aku berhak berbuat demikian kerana mereka menyerang di dalam kawasan rumahku. Mereka nyata ketakutan dan berlalu dengan perasaan marah. Teman perempuan itu menghampiiriku dan meminta maaf kerana telah dipaksa mengikut perempuan itu datang menyerangku. Aku diam dan menutup pintu rumah sambil bersiap sedia untuk menceritakan babak dramatik itu kepada  ibuku. Bila ibuku pulang, aku dan adikku terus menceritakan hal yang terjadi dan ibuku sangat marah. Malam itu juga ibuku menelefon H dan memberi  amaran kepadanya supaya perkara ini tidak terjadi lagi.  H yang tidak mengetahui akan kejadian itu meminta maaf berkali-kali kepada ibuku dan mengeluh dengan sikap bodoh isterinya yang telah memalukannya.

Mungkin malam itu, mereka bergaduh besar kerana aku tahu H seorang yang baik tetapi amat tegas. Sepanjang mengenalinya, aku sudah tahu benar akan sikap tegasnya. Aku sangkakan perkara itu berakhir disitu sahaja.

Keesokan harinya, perempuan itu menelefonku dan memarahiku lagi. Aku benar-benar marah dan memaki hamun semula. Aku dahla panas baran juga. Semua nama binatang yang aku kenal aku sebutkan kepadanya di telefon. Dia pula memberitahu yang dia akan ke rumahku sekali lagi untuk bertemu ibu dan abahku dan mengadu kepada mereka. Waktu itu aku sedang memandu dan dalam perjalanan ke Kota Bharu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa marahnya aku, tetapi sejurus kemudian, ibuku menelefon dan memberitahu bahawa H dan perempuan itu, serta ibu H berada di rumahku. Aku panik. Ibu mengarahkan aku untuk terus berada di Kota Bharu dan melarangku untuk pulang kerana bimbang akan keselamatanku. Manalah tahu kalau perempuan itu menyerangku dengan senjata atau asid pula kan. Maklumlah orang tengah menggila. Segala perancanganku untuk enjoy bersama adikku tergendala. Aku hanya menunggu dan terus memandu tanpa arah tuju.

Selepas hampir dua jam, ibuku menelefon dan menyuruhku pulang. Ibu hanya sempat bercerita sedikit sebanyak tentang kejadian itu. Aku mendengar dan dengan sakit hati, mengambil sesenduk nasi kerana sudah kelaparan. Aku duduk di depan TV dan menonton Doraemon sambil makan. Baru sahaja masuk suapan ketiga, arwah abahku pulang dari surau di depan rumahku dan dengan suara yang tegas bertanya,

 “ Kenapa Kak Long nak rosakkan rumahtangga orang?”

Aku terus tersentak dan tidak lalu makan. Aku lihat wajah ibuku yang terkejut dengan pertanyaan arwah abahku. Aku menjawab,

“Abah tak faham cerita. Abah hanya dengar daripada mulut orang…”

Belum sempat aku teruskan ayat, arwah abah melenting dan menengking aku dengan kuat.

Tak payah gangguuuuu rumah tanggaaaaa orannngggggg!!!!!!!!!!!”

Aku terus menangis dan menghempaskan pinggan ke lantai sambil menjawab,

“Abah memang takkan percaya dan faham..dan Abah memang tak pernah sokong Kak Long atau Ma dalam semua benda. Abah tak pernah cuba mendengar. Abah hanya tahu dengar kata orang saja…”

Abahku menjerit lagi,
“Dahhhhhhh…diammmm….”

Ibuku tidak sempat berkata apa-apa untuk menyokongku. Abahku terus masuk ke bilik dan seperti mahu mengamuk. Waktu itu juga kedengaran azan berkumandang dan mungkin dia tidak jadi untuk terus mengamuk. Aku menangis teresak-esak dan ibu juga menangis. Dari dalam bilik, aku lihat adik bongsuku turut menangis. Aku berlari ke bilik dan menangis teresak-esak. Aku rasa sangat marah dan benci dengan perempuan gila yang menyebabkan Abah menyalahkan aku yang tidak berdosa.

Aku yang masih dirasuk perasaan sedih, terus mengambil beg pakaian dan menyumbat sebanyak mana pakaianku ke dalam beg. Tanpa menukar baju, aku terus keluar dan berlari laju. Kebetulan pula, Abah berada di dalam biliknya. Ibuku pula di bilik air dan tidak menyedari yang aku sudah lari meninggalkan rumah. Sambil menangis, aku berlari laju tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu lalang. Suasana senja Maghrib itu menyebabkan tiada sesiapa yang perasan bahawa aku telah lari dari rumah. Aku tidak tahu hendak menuju ke mana pada waktu itu, lalu aku bersembunyi di bawah jambatan konkrit yang baru siap dibina bersekali lebuhraya yang besar. Aku menangis dan berasa sungguh sedih. Yang buat aku amat kecewa ialah arwah abahku tidak langsung cuba mendengar penjelasanku dan hanya mempercayai kata-kata orang yang melihat isteri H datang menyerang ke rumahku petang itu.

Aku duduk dan menangis teresak-esak agak lama di bawah jambatan tersebut.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Panggilan dari rumah.Aku tidak menjawabnya sehingga beberapa kali. Bila ku jawab, aku mendengar suara ibuku yang teresak-esak menangis dan kerisauan mencariku. Dia bertanya di mana aku.Aku hanya mampu tersedu-sedu dan bertambah sayu bila mendengar esak tangis ibuku. Ibu memberitahu yang Abah keluar mencariku di sekitar kampung dan kata ibu, Abah juga menangis kerana risaukan keselamatan anak gadisnya. Ibu juga berkata yang Abah menyuruh ibu memujukku pulang, tapi aku tetap tidak boleh lagi pulang ke rumah. Ibu bertanya ke mana aku hendak pergi, lalu aku memberitahu yang aku akan pergi ke mana sahaja.

Aku terus menghubungi sahabat baikku dan meminta dia datang mengambilku di suatu kawasan. Tapi aku tidak tahu bagaimana mahu pergi ke sana. Tiba-tiba sebuah Proton Wira hijau gelap berhenti dan aku meminta tolong pemandunya menghantar aku ke pekan berhampiran. Pemiliknya sepasang suami isteri yang baik. Aku hanya mampu menangis. Si suami bertanya mengapa aku berada di bawah jambatan dengan beg pakaian, dan bertanya adakah aku ditinggalkan oleh lelaki di situ?Mungkin dia menyangka aku ditinggalkan sang kekasih.

 Aku hanya menjawab yang aku lari dari rumah kerana dimarahi Abah. Soalan lain aku tidak jawab langsung. Pasangan itu menunggu sehingga sahabatku datang mengambilku dan membawa aku pulang ke rumahnya. Bila aku sudah semakin pulih dari tangisan, aku menelefon ke rumah dan aku dengar suara ibuku masih teresak-esak. Ibu kata, Abahku masih menunggu kepulanganku tapi malu untuk bertanya ibuku apa-apa.
Keesokan harinya, ibu datang menjemputku dari rumah sahabatku dan kami sama-sama berpelukan. Ibu membelikan aku tiket ke Shah Alam untuk aku pulang dan menenangkan diri di sana. Ibu nyata amat sedih tetapi aku tidak mampu untuk berhadapan dengan Abahku. Ini semua terjadi kerana cemburu buta isteri H yang menuduh aku perkara yang aku sendiri tidak tahu apa-apa.

Kini, perkara itu telah tujuh tahun berlalu.
Abah ku kini tiada lagi. Abah meninggal dunia setelah 6 bulan aku berkahwin dengan suamiku.

Aku pula telah 4 tahun bertemu jodoh dengan suamiku. Di hari perkahwinanku, perempuan tidak tahu malu itu menghubungi rumahku dan mengucapkan tahniah serta bertanya kenapa dia tidak dijemput ke majlisku dengan tanpa rasa malu sedikitpun. Setelah apa yang dia lakukan terhadapku dan keluargaku sehingga aku dan Abah tidak bercakap hampir 3 bulan lamanya, sungguh tidak malu dia bertanya soalan seperti itu.
Minggu lepas pula, aku mendapat tahu bahawa H sudah menceraikan isterinya itu. Isterinya yang JAHAT.

Aku agak terkejut kerana tidak menyangka H mengambil keputusan besar itu setelah mereka dikurniakan 3 anak. Tapi, aku mendapat tahu bahawa isterinya terlalu banyak menghina ibu H dan tidak mahu tinggal bersama ibu H kerana si tua itu sedang sakit dan sudah nyanyuk. Lebih buruk lagi, dia juga cemburu terhadap layanan H terhadap ibunya dan mengatakan yang H lebih menyayangi ibunya berbanding isteri sendiri. H mengambil keputusan kerana sudah tidak tahan lagi dengan penghinaan dan sikap keterlaluan isterinya itu lalu menceraikannya.

Apa yang ku dengar lagi dari orang-orang kampung yang becerita kepada adik lelakiku, H kini menjaga ibunya yang nyanyuk itu dan sedang sakit di rumah mereka yang terletak selang beberapa buah rumah dari rumahku. Lebih menyedihkan, H hanya bekerja kampung dengan memotong cermin di sebuah kedai cermin di kampungku dan tidak lagi berniaga seperti dulu.
Walaupun terkejut dengan kisah itu, aku rasa H memilih jalan yang baik dengan memilih ibu berbanding isterinya yang jahat itu. Sememangnya itu adalah langkah yang baik kerana walau apapun, tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu lebih besar. Aku tidak terperanjat dengan tindakan H kerana dia sememangnya seorang lelaki baik dan tegas terhadap keputusannya walaupun masa depan anak-anaknya menjadi pertaruhan akibat perceraian ini. Sekurang-kurangnya dia tidak bersikap dayus dengan memilih isteri yang jahat berbanding ibu yang melahirkan dan mendidiknya selama ini.

Segala sikap jahat isterinya kerana membuat hubungan aku dan arwah Abah berantakan, kerana menuduh dan mencerca aku yang tidak bersalah, kerana menghina ibu kepada suaminya dan cuba merosakkan keamanan hidupku telah Tuhan balas dengan kesabaranku. Aku tidak pernah melakukan apa-apa terhadapnya walaupun aku mampu melakukan sesuatu yang buruk terhadap rumahtangganya dahulu.

Berkat kesabaranku, aku tidak perlu menjadi jahat sepertinya untuk membalas segala perbuatannya. Allah itu Maha Adil dan pastinya membalas kesabaran setiap hambaNya. Bukan aku bersyukur dengan perceraian mereka, tetapi Allah telah membuktikan kepadaku bahawa aku tidak bersalah. Akhirnya ternyata, dia tidak layak menjadi isteri H yang baik. Perceraian itu bukan salahku dan bukan terjadi keranaku, tetapi H pasti sudah mengerti segala-galanya kini.

Sabar itu pahit, tetapi hasilnya cukup manis.
Aku hanya mampu berdoa semoga Allah memberikan kebahagiaan kepada H suatu hari nanti dan membalas kebaikan yang dilakukan kerana menjaga ibunya selagi dia masih hidup.