Seorang kawan saya bertanya,
"Kenapa you suka sangat baca buku-buku mat salleh? Baik you baca Al-Quran".
Saya terdiam seketika.
Dalam hati saya tertanya, "Dia ni baca Al-Quran ke tak?"
Saya memang penggemar bahan bacaan ilmiah. Jika dulu, corak bahan bacaan saya hanya berkisar kepada novel cinta, kisah misteri dan tips-tips. Semakin menginjak usia, saya gemar membaca buku-buku yang memberi banyak pengetahuan dalam segala bidang. Sebagai pendidik, saya harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan memandangkan para pelajar kini lebih banyak capaian kepada sumber pengetahuan dan ilmu.
Al-Quran adalah kalimah Allah yang lengkap dengan segala pengetahuan. Di dalam kitab suci tersebut terkandung pelbagai jawapan kepada peraturan hidup, hukum agama malah mencakupi segala bidang. Ia sememangnya sebuah karya agung yang tidak akan hilang malah sentiasa dijaga kesuciannya. Membacanya membuat seseorang tenang. Ia juga sebuah karya terulung yang tidak akan dapat ditandingi dari sudut bahasa serta isi kandungannya.
Banyak kajian yang dilakukan oleh pemikir-pemikir, pengkaji serta penganut agama lain tentang isi kandungan di dalam Al-Quran. Banyak juga buku-buku yang ditulis mengenainya. Malah kebanyakan penulis juga menggunakan Al-Quran untuk menulis tentang pelbagai aspek serta mengkaji sedalam-dalamnya tentang setiap ayat yang terkandung didalamnya. Mereka menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan yang lengkap untuk menghasilakan sesuatu hasil tulisan yang akhirnya mampu melonjakkan hasil jualan karya mereka berdasarkan pengetahuan dan penemuan yang mereka dapati melalui Al-Quran. Malah, saya tidak hairan sekiranya mereka lebih memahami Al-Quran berbanding umat Islam sendiri. Jika tidak, masakan mereka hidup berpandukan apa yang terkandung didalam kitab suci kita sehinggakan mereka mampu menjadi kaum yang hebat, malah lebih berjaya daripada umat Islam sendiri walaupun mereka tidak menganut agama Islam.
Pembacaan buku-buku yang dikatakan bercorak sekular atau 'terlalu mat salleh' adalah sama sekali tidak wajar. Saya membaca buku-buku tersebut untuk menambah pengetahuan tentang pelbagai bidang. Saya juga ingin mengkaji corak pemikiran penulis tersohor yang selalunya berjaya menulis buku bestseller! Membaca buku sedemikian bukan bermakna saya tidak membaca Al-Quran. Melalui pembacaan segala jenis bahan bacaan, saya rasakan semakin besar mukjizat yang terkandung didalam Al-Quran sehingga menjadi sumber rujukan yang paling agung.
Dalam salah satu hadis juga berkata "Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China". Lihat saja pada perkembangan negara China sekarang, sungguh menakjubkan! Banyak sekali judul-judul ditulis tentang kehebatan China. Jadi jika kita sempitkan minda dengan tidak membaca dengan anggapan tidak mahu menjadi terlalu sekular, bagaimana kita boleh maju di abad yang mencabar ini?
Apa yang dapat saya simpulkan boleh diibaratkan seperti perumpamaan yang tiba-tiba tercetus di kepala saya saat menulis entry ini. Jika kita sentiasa hidup di kampung, kita pastinya agak gerun untuk hidup di kota kerana menyangka kehidupan di kota itu penuh tipu daya. Jika kita sudah biasa hidup di kota, pastinya kita tidak mahu berhijrah ke kampung kerana menyangka kehidupan di kampung penuh kekolotan.
Begitulah juga sekiranya jika kita terbiasa hidup didalam kegelapan, pastinya kita akan sentiasa merasa takut untuk keluar ke tempat yang terang kerana menyangka kegelapan itu tidak apa-apa. Padahal, kegelapan itu boleh membuat kita buta dan tidak mengerti apa-apa tentang cahaya. Malahan, jika terlalu lama mata kita tidak melihat cahaya, kilauan cahaya yang sedikit pun sudah tentu menyakitkan mata.
Biarlah hanya mata yang buta tidak nampak cahaya, jangan biarkan hati hitam kerana kegelapan.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?