Thursday, February 17, 2011

Puteri Nurul Atiqah Nazneen


Tanggal 31 Januari 2011, seorang permata telah lahir ke dunia, bersedia untuk menghadapi segala cabaran mendatang  yang bakal mengisi seluruh kehidupannya. 

Ku berikan nama yang indah buat dirinya ~ Puteri Nurul Atiqah Nazneen
Nama yang mempunyai maksud yang indah. 

Ku namakan dia Puteri kerana dia adalah puteri yang menceriakan kehidupanku dan suami yang telah lama menanti kehadiran cahayamata. Puteri merujuk kepada satu gelaran yang istimewa, dan bagiku Puteri ini sememangnya sungguh istimewa dalam kehidupanku. 


Ateeqah bermaksud yang terpuji, yang mulia, yang suci.
Nazneen membawa maksud cantik.
Ku gabungkan semuanya menjadi suatu nama indah yang seindah diri anak yang suci bersih ini, Puteri Nurul Atiqah Nazneen.

Semoga anak ini mempunyai pekerti terpuji dan mulia seperti namanya. Semoga dia cantik bukan sahaja diluar malah dalamannya juga.

Kehidupan aku ternyata lebih indah dengan kehadiran puteri kecil ini. 
Wajahnya adalah wajah yang paling ku rindui setiap kali aku berjauhan dengannya walaupun sebentar.

Inilah wajah Puteri yang telah 4 tahun aku nantikan kemunculannya. Semoga Allah memberkati dan merahmati kelahiran ini dengan sejuta rahmat dan memayungi kami dengan  limpahan kasih sayangNya yang Maha Luas.



Melihat sepasang mata yang bersinar ini, hatiku pasti akan diresapi suatu rasa bahagia sehingga seringkali airmata gugur penuh kesyukuran kerana dikurniakan dirinya sebagai penyeri hidupku

Lihatlah ke dalam matanya, penuh sinar yang mendambakan kasih 

Gambar sewaktu berumur 10 hari. Agak berisi kan?

Pandangan lucu dengan kening berkerut. Si comel buah hati Mama.

Cantiknya anak Mama!!

Sayangggggg baby Mama!

Si Tua Berbaju Hijau

17 Februari 2011, 7.30 pagi

Pagi ini kelas bermula 8 pagi. Mulalah aku terpaksa berkejar-kejar untuk ke tempat kerja. Jalan pula sesak dengan kenderaan. Sebelum ke universiti, aku singgah untuk menghantar adik bongsu di sekolahnya.Nasib baik belum ditahan pengawas bertugas. 

Aku meneruskan perjalanan ke universiti. Pelajar-pelajarku pasti tidak sampai tepat pada masanya juga. Sewaktu berada di traffic light berhampiran dengan universiti, aku teralih pandangan ke arah seorang lelaki tua berbaju hijau. Lelaki tua tersebut sedang duduk di sebuah bangku di hadapan sebuah kedai yang masih tertutup pintunya.

Bajunya telah berubah warnanya dari hijau muda kepada warna hijau tua gelap. Butang bajunya telah tertanggal di bahagian atas dan bawah. Seluarnya ketat dan singkat. Tangannya memegang tongkat dan kepalanya sesekali terhantuk kerana mengantuk. Janggutnya jelas menunjukkan usianya yang telah lanjut. Tangannya yang kotor sempat mengangkat kopiah putih yang sudah keperangan kerana daki dan ditatapnya kopiah itu dengan pandangan lesu sambil mengelus-elus rambut nipis dan penuh uban. 

Semalam yang dingin, entah dimana dia tidur. 
Entah dimana rumahnya.
Entah apa yang dimakannya. 
Entah siapa anak-anaknya.

Lelaki tua berbaju hijau itu mengisi waktu dua minit penantian lampu hijau di lampu trafik pagi ini. Ia membuat aku berfikir sepanjang hari ini tentang nasib kebanyakan orang yang tidak berumah dan nasib orang tua yang tidak dipedulikan anak-anak.

Suatu hari nanti aku juga akan tua sepertinya. 
Malah setiap hari, usia ini bukan semakin remaja..tetapi semakin menginjak usia.
Lelaki tua berbaju hijau lusuh itu membuat aku sedar bahawa aku begitu bernasib baik dapat tidur bertilam dan berbantal empuk, malah tidak perlu memeluk tubuhku sendiri kerana kesejukan, atau berpanas dengan keringat melekit sepanjang malam.
Lelaki tua berbaju hijau itu membuat aku berfikir bahawa tiada sesiapa yang sudi berhenti untuk bertanya tentang untung nasib insan malang sepertinya.



Monday, February 7, 2011

Instinct / Naluri

Salam penuh kebahagiaan buat semua teman yang sudi singgah membaca catatan hati Tia. 

Kesibukan menghalang Tia untuk menulis dengan kerap walaupun pada dasarnya, menulis di blog ini menjadi salah satu azam tahun baru 2011. Begitu banyak sekali catatan yang belum mampu di paparkan di blog ini kerana masih dalam proses untuk memperkemas bahasa tulisan.

Tahun 2011 sememangnya sedang berlalu dengan pantas. Sekarang sudah hampir pertengahan Februari. Bermakna Tia sudah menjalani kehidupan baru di tempat kerja baru sudah lebih sebulan. Amat pantas waktu berlalu.

Sebenarnya, sebelum pulang ke Kelantan, Tia sering dapat merasakan bahawa kehidupan Tia di sini akan benar-benar berubah. Bukan percaya kepada naluri hati, tetapi kebanyakan masanya gerak hati Tia selalunya betul. 

Banyak sekali gerak hati Tia memberi isyarat yang akhirnya menjadi kenyataan. Tahun lalu, satu kejadian yang buruk telah terjadi terhadap seorang kawan sekerja Tia. Sebelum kejadian, Tia telah dapat merasakan sesuatu yang tak kena bakal terjadi. Waktu itu Tia dan suami merancang untuk pulang ke Kelantan. Seorang rakan Tia yang berasal dari Kelantan juga mahu mengikuti kami pulang tetapi dengan memandu keretanya sendiri. Awalnya Tia tidak mengetahui hal tersebut sehinggalah suami pulang dan memberitahu bahawa rakan Tia itu mahu mengikut sama dalam perjalanan tersebut. Mungkin kerana telah merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku, Tia memarahi suami dengan tidak semena-mena. Marah kerana apa pun Tia tidak pasti, tetapi waktu itu Tia benar-benar rasa tidak sedap hati. Tia juga menyatakan kepada suami, sekiranya apa-apa berlaku, Tia tidak mahu bertanggungjawab. Suami hanya mampu menenangkan Tia dan berkata bahawa tiada apa-apa yang buruk bakal terjadi.

Semasa dalam perjalanan, Tia dilanda rasa berdebar-debar yang teramat. Hati memang tidak senang. Perjalanan ke Kelantan melalui hutan dan bukit bukau di Gerik sememangnya amat merbahaya terutama kepada pemandu yang baru pertama kali melalui jalan tersebut. Kebetulan pula, kawan Tia baru pertama kali memandu secara sendirian melalui jalan itu.

Sewaktu hampir Maghrib, hati Tia semakin berdebar. Tiada apa-apa yang buruk berlaku sepanjang perjalanan sehinggalah kami berhenti di kawasan rehat dan rawat di Puncak Titiwangsa. Ada sekelumit perasaan yang menyuruh Tia menemani kawan Tia yang memandu sendirian, tapi sedikit lagi perasaan melarang Tia berbuat demikian. Sejurus selepas itu, kami meneruskan perjalanan pulang. Suami memandu dihadapan meninggalkan kawan Tia di belakang dengan jarak yang tidak begitu jauh. 

Tiba-tiba, telefon bimbit Tia berdering. Panggilan daripada rakan yang sedang memandu di belakang. Tia berasa hairan, bagaimana dia boleh menelefon smabil memandu di kawasan bukit yang memerlukan kawalan rapi. Tia menjawab panggilan dan suara kedengaran putus-putus meminta kami memusing kenderaan kerana dia telah mengalami kemalangan. Tia dan suami terus bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan kenderaannya yang telah berpusing 360 darjah ke atas. Tayar kenderaan berada di atas dan barang kelengkapan perkahwinannya bertaburan di jalan. 

Sebaik sampai, dia terus berlari memeluk Tia. Sungguh terkejut melihat kenderaan yang baru beberapa bulan di beli sudah remuk dan mengalami kerosakan yang sungguh teruk. Sambil menenangkannya, hati Tia berdetik lagi, rupanya amaran kejadian inilah yang telah membuat hati Tia begitu resah sepanjang hari. 

Apa yang berlaku sewaktu kemalangan itu tidak dapat dipastikan. Kenderaannya berpusing ke arah bertentangan dengan keseluruhan bahagian kenderaan berpusing ke atas sebelum melanggar tembok batu penghadang hakisan di tepi bukit. Syukur kawan Tia cepat-cepat keluar dari kenderaan melalui tingkap. Namun, akibat hentakan kuat di kepala, dia terpaksa di bawa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

Malam itu, sepatutnya kami telah selamat sampai sekitar jam 8.30 malam. Kerana kejadian tersebut, kawan Tia telah mengalami hentakan teruk di kepala dan pinggang dan sehingga sekarang sering mengalami kesan akibat hentakan kuat tersebut. 

Sememangnya kita dianugerahkan Tuhan dengan perasaan yang berbeza-beza. Tia dapat merasakan bahawa adakalanya Tia harus menilai gerak hati Tia sebelum melakukan sesuatu. Bukan kejadian itu sahaja yang membuktikan kekuatan naluri, malah sewaktu adik Tia sendiri mengalami kemalangan di Puncak Alam, Selangor pada bulan Ramadhan tahun lalu, Tia turut mengalami perasaan yang tidak enak sebelum kejadian. Syukur adik selamat dan hanya mengalami luka ringan. Tetapi, kesan ketakutan akibat kemalangan benar-benar menghantui Tia.

Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Tia yakin dan percaya bahawa Allah mengurniakan sesuatu perasaan kepada setiap hambaNya supaya kita berfikir tentang kekuasaanNya Yang Maha Agung dan Maha Luas supaya kita akan benar-benar yakin dan beriman kepadaNya.

Wallahualam.