Saturday, January 15, 2011

Menangis :"(

Malam ini airmata tidak berhenti mengalir.
Malam ini suamiku kembali ke Kedah setelah aku berpindah balik ke Kelantan.
2 minggu lamanya Abang bersama disisi sejak pulang ke Kelantan, malam ini Abang terpaksa pulang ke Kuala Nerang untuk kembali bekerja dan menguruskan AF Prints.

Petang tadi Abang ambil aku dari Pusat Tuisyen Al-Amin dan kami terus ke kaunter tiket Transnasional di Jalan Langgar, Kota Bharu. Hatiku dah mula terasa sayu. Tapi aku masih tidak menangis. Tiba di rumah,kami makan keropok lekor, popia sambil tengok kartun Hagemaru. Lepas tu, Abang makan lagi makaroni sup yang aku masak pagi tadi. 

Pukul 6.30 petang, Abang balik ke rumahnya untuk jumpa ibu mertuaku sebelum pulang. Aku tertidur di bilik dan terjaga waktu maghrib. Bila aku mandi, Abang dah siap kemas baju dah. Satu beg besar. Aku solat Isyak dan berdoa semoga perjalanan Abang selamat. Kalaulah ada direct flight ke Kedah dari Kelantan, tak lah aku akan risau sangat. Kenapalah MAS dan AIR ASIA tak sediakan penerbangan terus ke Kedah dari Kota Bharu? Kan senang dan lebih cepat. Paling aku risau tentang naik bas ialah tentang keselamatan sepanjang perjalanan. Aku betul-betul fobia bila Abang terpaksa menaiki bas untuk ke Alor Star. Abang kata taknak bawa kereta sehingga Tahun Baru Cina sebab Abang nak balik raya cina ni.

Pukul 9 malam, aku dan Amy hantar Abang ke stesen bas. Hatiku sangat-sangat sayu dan takut. Tak putus-putus hatiku berdoa semoga perjalanan Abang selamat. Bukan apa, Abang mudah sangat tertidur dalam bas dan kalau tidur, susah nak jaga.Apatah lagi nak dengar bunyi telefon! Bila abang dah hampir bertolak, dan aku lihat Abang melambai tangan, aku dah mula menangis. Tapi aku sembunyikan perasaan sedihku di depan Amy. Aku tak nak dia tengok aku nangis. Bila bas Abang dah bergerak, airmataku mengalir dengan laju :"(
Masa tu jugalah Abang menelefonku, dan aku tak dapat tahan sebak, terus menangis :"(
Abang pujuk dengan suara tersekat-sekat.
Ini kali pertama kami berjauhan. Ini kali pertama aku dan Abang bakal tinggal berasingan. Tak tahu sampai bila. Ini pengorbanan yang paling sukar buatku.
Aku di sini, Abang di sana, di mana kehidupan?

Sekarang baru sejam setengah Abang berjauhan denganku, aku dah menangis tanpa henti. Bilik terasa kosong dan sunyi. Biasanya Abang akan main game sebelahku. Biasanya Abang akan baring di sebelahku. Dan Abang juga yang akan uruskan dua ekor kucingku sebelum tidur. 

Malam ini aku tinggal sendirian..dan malam ini aku menangis kerana sudah terlalu rindukan Abang... 

:"( 



Thursday, January 13, 2011

PERJALANANKU MENUJU KEHIDUPAN BARU

Kehidupan baru di tahun 2011 telah benar-benar bermula bagiku. Kini aku telah kembali menetap di negeri kelahiranku, Kelantan. Setelah 2 tahun 9 bulan aku tinggal di Kuala Nerang dan berkhidmat sebagai pendidik di Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN), aku kini berkhidmat di tempat baru iaitu di Universiti Malaysia Kelantan.

Kehidupan kerjayaku yang pertama bermula pada 3 Mac 2008 apabila aku mula berkhidmat di KMKN. Banyak pengalaman yang ku timba di sana yang menjadikan aku lebih dewasa dan mengerti kehidupan sebagai seorang pendidik, isteri dan juga anak. Di Kuala Nerang aku mendapat pengalaman baru yang amat berguna sebagai landasan untuk aku menghadapi hari-hari mendatang. Memang cabarannya terlalu banyak, tapi aku adalah antara orang yang diberikan kekuatan untuk menghadapi segalanya.

Aku mencari peluang untuk membaiki dan mencabar diri apabila aku mula memohon untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan pada bulan Oktober 2010. Selang beberapa minggu selepas aku memohon, aku mendapat satu panggilan temuduga yang dijadualkan pada 17 Oktober 2010. Namun atas sebab tertentu, sesi temuduga itu terpaksa ditangguhkan walaupun aku telah berada di Kota Bharu bagi tujuan tersebut. Pada 3 November 2010, aku sekali lagi dipanggil untuk menghadiri temuduga tersebut. Aku sangkakan aku tidak berjaya mendapat tempat memandangkan semua calon yang datang untuk temuduga tersebut mempunyai kelayakan serta pengalaman yang lebih baik. Aku hanya berserah dan tidak merasa kecewa sekiranya permohonan aku tidak diterima kerana sekurang-kurangnya aku belajar sesuatu daripada pengalaman tersebut.

Sebelum aku memohon untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Kelantan, cabaran pertama yang aku terpaksa lalui ialah untuk menghasilkan satu ‘resume’ yang baik. Setelah hampir tiga tahun tidak mengemaskinikan ‘resume’, aku rasakan terlalu banyak perkara yang aku perlu lakukan. Aku mula sedar bahawa rasa terlalu selesa membuatkan diriku menjadi lemah dan tidak kisah, malah yang paling menakutkan, aku alpa kerana tidak lagi peru untuk melengkapkan diriku secukupnya untuk cabaran hidup yang lebih besar. Aku merasa tidak perlu untukku mengemaskini segala kemahiran kerana aku telah mempunyai pekerjaan yang baik pada waktu itu. Untuk apa lagi aku perlu keluar mencari pekerjaan lain? Namun, proses menghasilkan resume yang baik merupakan cabaran pertama yang terpaksa aku tempuhi. Terasa diri sangat kekurangan pada waktu itu.

Selepas mengetahui yang aku bakal di temuduga, cabaran keduaku bermula apabila aku menghadapi rasa ketakutan dan keyakinan diri yang rendah. Aku takut untuk berhadapan dengan panel-panel yang bakal menemudugaku. Mereka pastinya orang-orang yang hebat dan berkelayakan tinggi, dan dugaanku tepat kerana aku ditemuduga oleh para pentadbir universiti, dekan serta Naib Canselor sendiri. Aku mempersiapkan diriku dengan mencari bahan bacaan sebagai persiapan menghadiri temuduga. Banyak buku-buku yang aku muat turun daripada internet tentang soalan-soalan yang sering ditanya dalam sesi temuduga. Aku juga merangka jawapan yang bakal ku utarakan sekiranya ditanya soalan-soalan tersebut.

Pada hari temuduga, aku tidak terlepas daripada perasaan takut dan gementar. Semua calon temuduga diarahkan untuk menduduki satu ujian bertulis dan ujian aptitude melalui komputer sebelum melalui proses temuduga bersama para panel. Soalannya berkisar tentang isu semasa di dalam sistem pendidikan dan perjawatan. Syukur aku dapat menjawab soalan yang dikemukakan walaupun aku sendiri tidak pasti dengan jawapanku. Dalam hatiku cuma berharap segalanya akan berakhir dengan cepat.

Sewaktu berada di dalam bilik temuduga, aku dan 3 orang lagi calon di temuduga secara berkumpulan. Aku dipanggil bersama tiga orang calon lain yang sememangnya sangat berkelayakan dan mempunyai pengalaman luas serta sudah memegang jawatan yang baik di institusi masing-masing. Aku merupakan calon yang paling muda diantara mereka. Aku cuba untuk kelihatan tenang walaupun sebenarnya aku terlalu gementar sehingga kaki dan tanganku menggigil dan terasa sejuk.

Soalan dikemukakan secara terbuka dan kami menjawab mengikut giliran masing-masing. Terasa bodoh pula aku pada waktu itu. Kerana terlalu berdebar-debar, aku memulakan kata-kata dengan agak panik dan tergagap-gagap. Setelah beberapa minit, barulah aku dapat meneruskan jawapan dengan tenang. Tapi aku yakin semua panel menyedari kegugupanku. Tidak banyak soalan yang panel ajukan kepadaku. Itu membuatkan aku bertambah yakin bahawa aku telah melakukan kesilapan dan tidak akan diterima untuk berkhidmat. Dalam kotak fikiranku, aku hanya berserah dan tidak terlalu berharap sekiranya aku gagal. Aku teruskan juga sesi temuduga itu walaupun pada satu ketika, aku seperti mahu meminta izin dan keluar dari bilik temuduga dengan segera. Tapi, aku memujuk diri dengan mengatakan bahawa segalanya akan berakhir dengan cepat dan sekiranya aku gagal sekalipun, sekurang-kurangnya aku gagal dengan maruah dan telah berjaya menepis ketakutan dan rasa tidak yakin yang ada pada diriku. Sekiranya aku tidak di terima sekalipun, sekurang-kurang aku tidak gagal sebelum mencuba. Setidak-tidaknya, aku telah berlaku adil terhadap diri sendiri, jujur dan berani untuk gagal.

Sesi temudugaku tamat selepas hampir 45 minit. Aku tidak sedar masa berlalu begitu pantas kerana aku terlalu sibuk merencana jawapan dan berlawan dengan ketakutanku. Keluar saja dari bilik temuduga, aku rasa bagaikan mati hidup semula. Terasa seperti mataku kembali melihat setelah buta, terasa darahku kembali mengalir setelah tersekat dan rasanya juga seperti aku kembali dapat bernafas setelah lemas didalam air. Agaknya, sepanjang 45 minit tadi, aku benar-benar telah mati. Sejuk dan pucat kulitku. Setelah mengambil semua dokumen dan beg, aku keluar dari bangunan itu dengan berjuta perasaan yang berkecamuk. Bagaimana sekiranya semua panel tadi mentertawakanku dan jawapanku yang tidak tersusun? Bagaimana sekiranya permohonanku ditolak? Apa pula akan terjadi sekiranya aku diterima dan bagaimana bakalku hadapi cabaran di sini? Soalan terakhir itulah yang paling ku takuti. Selama dua minggu aku berfikir mengenainya dan kehidupanku sungguh tidak keruan.

Aku kembali ke Kedah dan meneruskan tugasku sebagai pendidik seperti biasa, tapi dengan perasaan yang sungguh berbeza. Selepas temuduga itu, kehidupanku terasa begitu cemas. Banyak aku fikirkan. Adakalanya aku berfikir bahawa sekiranya aku diterima berkhidmat, aku akan menolaknya dan meneruskan sahaja kehidupanku di Kedah. Aku tidak tahu mengapa, tapi aku seperti dapat merasakan yang aku tidak lagi berada di Kedah. Fikiranku mengatakan bahawa aku tidak akan berjaya, tapi hatiku pula mengatakan yang sesuatu bakal berlaku dalam kehidupanku.

Ternyata rasa hatiku begitu kuat dan betul apabila aku menerima satu panggilan menyatakan bahawa aku bakal menerima surat tawaran melalui pengawal pusat (pengarah) dalam tempoh beberapa hari lagi. Aku benar-benar buntu dan ketakutan sekali lagi melanda hidupku. Terlalu banyak yang perlu aku uruskan dalam masa yang singkat. Aku harus menguruskan perpindahanku dan dengan barang yang teramat banyak, aku juga perlu memikirkan tentang bagaimana untuk memindahkan semuanya pulang ke Kelantan. Aku juga perlu memikirkan tentang jawatanku sekarang dan proses yang aku harus lalui untuk meneruskan perkhidmatan di UMK.

Syukur yang teramat, segalanya berjalan lancar. Pertama, aku telah menulis notis berhenti penamatan perkhidmatan di kolej tempat aku berkhidmat. Prosesnya mengambil masa sebulan, dan hanya apabila masaku hampir tamat barulah aku mendapat surat mengatakan yang permohonan perletakan jawatanku diterima. Selama tempoh itu, aku menguruskan perkara lain seperti pemeriksaan kesihatan, melakukan proses mengangkat sumpah di Pesuruhjaya Sumpah untuk berkhidmat di jabatan kerajaan, mengemaskini akaun bank untuk proses bayaran gaji, mengemas pakaian dan semua barang-barangku kedalam kotak, menyewa lori serta membayar segala kos yang perlu aku langsaikan sebelum berhenti kerja, memastikan semua urusan kerjaku tidak terbengkalai dan memudahkan urusan pihak yang bakal mengambilalih tugas serta banyak lagi cabaran lain yang terpaksa aku lalui.

Aku amat bersyukur kerana segalanya berjalan lancar dan mudah. Aku tidak perlu menunggu lama untuk semua urusan terutamanya urusan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan yang biasanya mengambil masa yang lama, tetapi Tuhan ternyata memudahkan segala urusanku. Aku juga bersyukur yang teramat sangat kerana suamiku sentiasa berada bersamaku dan tidak pernah meninggalkanku untuk menguruskan segalanya bersendirian, malah dialah yang paling banyak bersabar disaat-saat aku telah benar-benar lemah dan hampir berputus asa. Tanpa dirinya serta kesabarannya yang amat tinggi, tidak mungkin segalanya akan mudah.

Kini, sudah hampir dua minggu aku meneruskan hidupku di tempat baru. Cabarannya juga sudah ku rasakan. Lebih banyak lagi yang bakal mendatang. Apa yang aku pelajari sepanjang perjalanan ini, tidak mudah untuk mencapai kejayaan. Jalannya terlalu berliku dan menakutkan. Laluannya rumit dan menguji kekuatan. Rasanya pahit dan bisa mematikan jiwa yang lemah. Pengorbanan yang harus dilakukan untuk mencapai cita-cita dan kebahagiaan ini bukan sedikit, tetapi menuntut kerelaan yang tidak ada perkataan mampu menceritakan segala rasa yang terpaksa ditelan.

Ketakutan, kesabaran dan pengorbanan adalah perkara yang perlu dilalui dalam kehidupan. Namun, bukan semua ketakutan itu bersifat negatif. Ketakutan itu adakalanya mempersiapkan diri kita ke arah kebaikan. Ketakutan kepada larangan agama dan takut kepada Yang Maha Kuasa adalah sesuatu yang menghalang kita melakukan kesalahan dan menghalang kita daripada pembalasan atas kesilapan kita. Syukur aku ada rasa takut yang mempersiapkan aku untuk menerima cabaran dan seterusnya mengecap nikmat yang aku dapati kini. Segalanya bertukar menjadi manis selepas berjaya mengharungi kepahitan sekian lama.

Teringat aku dengan kata-kata yang pernahku baca, “Sabar itu pahit tetapi hasilnya cukup manis”. Kerana aku telah sanggup menelan kepahitan yang aku telah lalui selama ini dan bersabar dengannya, aku kini sedang menghirup sedikit kemanisan yang begitu nikmat dan asyik. Jika masih banyak lagi kepahitan yang harus ku telan di hari muka ku, aku rela menelan kesemuanya kerana kemanisan itu pastinya milik sesiapa yang menunaikan kesabaran akibat kepahitan hidupnya. Bukankah sabar itu separuh daripada iman? Doaku semoga Allah juga mengurniakan aku kemanisan iman yang maha hebat dan indah.