Thursday, May 5, 2011

Bosan Bekerja?

Jika anda rasa bosan dan malas untuk pergi ke pejabat setiap pagi, anda bukan keseorangan! Berjuta pekerja di seluruh dunia mengalami perkara ini: Tidak bersemangat dan kurang motivasi. Saya juga adakalanya merasa perkara yang sama. Bila saja bangun pagi, rasa malas sangat untuk pergi kerja. Ada ketikanya, rasa seperti sangat 'down' atau tidak bersemangat. Anda pun pastinya pernah mengalami perkara yang sama. 

Masalah yang biasanya dihadapi oleh setiap pekerja adalah sama. Cuma, cara menghadapinya berbeza-beza. Ada yang merasakan seolah-olah mahu berhenti kerja. Ada juga yang merasakan bekerja sendiri dengan mempunyai perniagaan sendiri adalah perkara yang lebih baik daripada kerja yang mereka lakukan sekarang. Apapun yang kita fikir sebenarnya bergantung kepada pilihan dan pendapat masing-masing.

Pada pandangan saya, masalah-masalah yang biasanya dialami berkaitan dengan kerja yang boleh melemahkan semangat adalah seperti:

1. Bebanan dan agihan kerja yang tidak adil
2. Konflik dan politik di pejabat
3. Waktu bekerja 
4. Perbezaan status dan kedudukan
5. Pendapatan yang tidak memadai
6. Perhubungan dengan rakan sekerja
7. Gosip di tempat kerja
8. Keadaan persekitaran pejabat yang tidak kondusif
9. Peluang memajukan diri 
10.Tekanan dan kekangan lain yang tidak bersesuaian dengan kehendak, minat dan kepuasan diri

Kebanyakan pekerja mengalami tekanan akibat perkara yang disenaraikan di atas. Ini boleh mengurangkan produktiviti dan semangat untuk bekerja semakin lama semakin kurang. Akhirnya, pelbagai perkara negatif yang bakal terjadi sekiranya tiada lagi semangat dan motivasi untuk bekerja. Sebagai contoh, perkara yang paling kerap mengundang masalah kepada kita adalah gosip di tempat kerja serta harapan yang terlalu tinggi dari orang lain. Perkara ini bukan sesuatu yang baru. Kebanyakan pekerja baru juga mengalami masalah kurang motivasi disebabkan masalah ini. 

Apabila seseorang pekerja mula berkhidmat, semangat mereka biasanya luarbiasa hebat. Ini mungkin disebabkan mereka merasa gembira mendapat sesuatu pekerjaan. Namun setelah beberapa ketika, mereka mula mengalami tekanan dari pelbagai aspek. Mereka mula sedar bahawa tanggapan awal mereka tidak tepat dan mengakibatkan mereka merasa kecewa. Lama-kelamaan, mereka tidak lagi berminat untuk bekerja. Hanya kerana keterpaksaan dan desakan hidup, mereka harus mengharungi hari-hari duka sepanjang karier mereka. 

Jika anda mengalami masalah ini, apakah yang perlu anda lakukan?
Cuba lakukan perkara dibawah ini.

1. Ingat kembali kesusahan anda sewaktu cuba mendapatkan pekerjaan anda sekarang.
Berapa ramai orang di luar sana yang tidak bernasib baik mendapat pekerjaan seperti anda. Kehidupan anda jauh lebih baik pada pandangan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Anda juga mengalaminya sewaktu anda mula-mula mencari pekerjaan sehingga anda berjaya mendapat pekerjaan anda sekarang. Jadikan kesusahan itu sebagai satu peringatan bahawa anda cukup bertuah kerana mempunyai sumber pendapatan berbanding mereka yang terpaksa hidup tanpa pendapatan tetap. Sentiasa ingat perkara ini dan anda akan menjadi orang yang sangat bersyukur kerana kehidupan anda tidak sesukar mereka yang masih 
tercari-cari pekerjaan.

2. Fikirkan orang-orang yang memerlukan anda.
Anda mempunyai tanggungjawab terhadap suami, isteri, anak-anak, ibubapa serta keluarga anda. Anda mempunyai komitmen setiap bulan untuk menyediakan segala keperluan keluarga anda. Fikirkan tentang mereka yang penting di dalam hidup anda. Pastinya anda akan sedar bahawa pekerjaan anda adalah satu perkara yang penting untuk anda terus bertahan dalam kehidupan ini. Lagipun, anda tidak akan merasa begitu sedih dengan masalah di tempat kerja jika dibandingkan dengan tidak mempunyai wang untuk menampung kehidupan anda dan keluarga. 

3. Anda bukan bersendirian.
Jika anda berasa sangat tertekan dengan pekerjaan anda sekarang, ingatlah, anda bukan bersendirian. Berjutaan manusia di dunia ini merasa tertekan dengan pekerjaan mereka. Anda bukanlah satu-satunya manusia yang tidak gembira dengan pekerjaan anda. Banyak sekali forum, bahan bacaan serta badan-badan yang boleh membantu anda menghadapi hari-hari suram dalam perjalanan karier anda yang boleh anda sertai. Banyakkan membaca forum motivasi di internet, majalah atau dapatkan nasihat kaunselor sekiranya anda sudah terlalu tertekan. Pastikan anda mempunyai satu saluran untuk berkongsi dan meluahkan perasaan anda.

4. Cari seorang sahabat baik.
Dikalangan rakan sekerja, bukan semua yang memahami anda. Namun, tentu ada seseorang yang rapat dan boleh anda percayai. Seseorang yang anda selesa bersama dan boleh menjadi tempat anda meluahkan perasaan anda. Bina hubungan baik dengan semua orang tetapi sentiasa batasi pergaulan dan perkongsian anda. Cari seorang sahabat baik yang sama-sama memahami untuk berkongsi masalah dan bertukar-tukar pendapat. Anda tidak mampu bersendirian. Maka, seorang sahabat yang baik adalah sesuatu yang paling anda perlukan. sekurang-kurangnya anda mempunyai seorang penyokong yang boleh membantu anda untuk lebih merasa bersemangat untuk bekerja.

5. Tahu membezakan antara profesionalisma dan peribadi.
Walaupun anda mungkin rapat dengan beberapa rakan anda ditempat kerja, anda harus tahu meletakkan batas profesionalisma dan peribadi. Jangan sesekali mencampur adukkan hal peribadi dan profesionalisma. Bila anda d ipejabat, anda adalah seorang pekerja. Cuba bersikap profesional. Tidak perlu berkongsi semua hal peribadi anda dengan setiap rakan sekerja. 

6. Kawal kemarahan dan bersikap tenang.
Apapun masalah yang anda hadapi ditempat kerja, samada peribadi atau melibatkan kerja, anda harus tahu bersikap tenang dan mengawal emosi. Usah burukkan nama anda dengan bersikap keanak-anakan serta terlalu mengikut emosi. Sekiranya anda terlalu marah terhadap rakan sekerja, majikan atau pekerja anda, cari penyelesaian yang terbaik. Tidak salah jika anda menyatakan pendapat terhadap sesuatu perkara serta berterus-terang dengan mereka. Cuma, gunakan pendekatan yang terbaik untuk menyatakan pendapat anda. 

7. Cari hobi dan libatkan diri dengan aktiviti yang menggembirakan anda.
Carilah sesuatu hobi yang anda minati. Kerja bukanlah segala-galanya sehingga anda terpaksa melupakan sesuatu yang anda suka lakukan. Jika anda minat untuk menulis seperti saya, jadikan ia sebagai satu terapi untuk anda terus bersemangat. Jika anda mempunyai hobi seperti menjahit, berkebun serta melukis, siapa tahu ia boleh menjadi sumber pendapatan tambahan selain membuatkan anda gembira. Ada banyak perkara yang boleh menggembirakan anda. Carilah kegembiraan anda dimana-mana. Anda pasti bakal menemuinya!

8. Buat perubahan.
Jika anda tidak suka sesuatu ditempat kerja ada, cubalah buat perubahan. Jika susunan meja anda tidak menarik, ubahkan susun atur persekitaran anda. Jika anda merasa anda seorang yang tidak menarik, cuba ubah penampilan anda. Sekiranya anda tidak begitu berpengetahuan, tambahlah pengetahuan anda dengan pembacaan atau menyambung pengajian secara sambilan untuk meningkatkan kompetensi, kemahiran atau pengetahuan. Mungkin anda akan lebih gembira dan dipandang tinggi. Jika anda masih tidak gembira, buatlah perubahan. Jika suasana dan orang lain tidak berubah, mungkin anda yang perlu berubah. Mungkin sudah tiba masanya untuk anda berubah dan mencari pekerjaan lain sekiranya anda sudah terlalu tepu dengan suasana dan kerja anda sekarang. 'If everything doesn't change, you change!'

9. Pilihan ditangan anda!
Gembira atau bersedih, ia adalah pilihan anda. sekiranya anda memilih untuk gembira, andalah yang mempunyai sepenuh kawalan terhadap kehidupan anda. Anda boleh membuat keputusan untuk menghiburkan hati anda dengan pelbagai perkara. Sekiranya anda memilih untuk bersedih, pastinya anda jua lah yang mempunyai suis kawalannya. Anda pasti akan menjadi seorang yang sentiasa bersedih dan terkurung dalam kesedihan anda selamanya. Buatlah pilihan terbaik untuk hidup anda. Kita adalah apa yang kita fikirkan. Sekiranya anda fikir anda seorang yang hebat, maka anda akan menjadi hebat. Untuk menjadi hebat, anda perlulah mempunyai kekuatan untuk membuat pilihan dan keputusan terhadap hidup anda sendiri!

10. Sentiasa bersedia dan mengemaskini pencapaian anda.
Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali maut. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Anda tidak seharusnya berhenti mencari peluang. Sentiasa lengkapkan diri anda dengan perkara baru dan mengetahui apa kehendak sesuai dengan kebolehan anda akan menjadikan anda seorang yang berani mencuba sesuatu yang baru. Walaupun anda mempunyai pekerjaan sekarang yang cukup baik, jangan lupa untuk selalu menyemak dan mencatat pencapaian anda. Anda hendaklah sentiasa mengemaskinikan resume anda walaupun anda tidak bercadang untuk menukar pekerjaan anda. Pengemaskinian terhadap pencapaian anda adalah sangat penting untuk melihat perkembangan pencapaian anda didalam karier. Peluang untuk sesuatu yang lebih baik kadangkala dtaang tanpa diduga. Siapa tahu anda layak untuk berada ditempat yang lebih baik dengan kedudukan yang lebih baik! Jadi sentiasa kemaskinikan pencapaian anda untuk menghadapi dunia yang penuh kemungkinan ini.

Tips yang saya kongsikan adalah apa yang saya lakukan di dalam perjalanan karier saya selama ini. Walaupun baru bekerja, saya telah mengalami pelbagai cabaran dan pengalaman. Saya percaya anda juga mampu untuk menentukan yang terbaik untuk diri anda. Semoga berjaya dan selamat maju jaya!


1 comments:

ARIF said...

i likeeeeeeeeee

Post a Comment

What do you say?