Wednesday, January 25, 2012

Siapa Kita

Terkadang,
yang dirindu, terlalu kejam pada hati
yang dikasih, sering menyisih diri
yang dilupa, selalu mengingati
yang dibenci, paling menghargai


Seringkali,
yang dikenang, yang bernama
yang disanjung, yang berupa
yang dilupa, yang tak berdaya
yang dicerca, yang tiada segalanya

Siapa kita
untuk melakar tanda
memberi nilai
pada pinjaman yang ada
selama didunia fana?


Sajak Jiwa Lara





Bercinta tiada rasa 

Berkasih tanpa kekasih


Bermimpi tiada cerita


Berkata tanpa suara


Bernyanyi tanpa lagu


Berlagu tiada irama


Hidup tiada makna


Mati tidak rela

Saturday, September 24, 2011

Cerita Perniagaan Kami

Kali terakhir aku menulis di blog kesayanganku ini ialah pada bulan Jun 2011. Dah hampir 4 bulan tak menulis. Tempoh yang agak lama. Nampaknya aku gagal lagi memenuhi resolusi tahun ini untuk menulis secara konsisten. Takpe, tahun depan ada lagi, kalau panjang umur :)

Apa yang buat aku tidak berpeluang menulis?
Ada pelajar yang tanya, "Bila teacher nak tulis blog teacher lagi?"
Nah, sekarang baru berkesempatan sekejap.

Sebenarnya, sejak bulan Jun yang lalu, aku dan suami sememangnya teramat sibuk menguruskan perniagaan kami. Maklumlah, baru nak bertapak di Kelantan selepas aku berhijrah dari Kedah. Alhamdulillah, Allah bukakan sedikit pintu rezeki untuk kami di Kota Bharu ini. Perniagaan yang kami jalankan masih lagi perniagaan percetakan kecil-kecilan. Jadi, target dan perancangan kami mestilah tepat untuk memastikan peluang untuk mendapat keuntungan yang stabil.

Sejak bulan 5, aku dan suami berusaha kuat untuk merealisasikan impian kami. Bermula dengan mencari tapak untuk menjalankan perniagaan, kami selalu bersama. Pada awalnya memang agak sukar, tapi pertolongan Allah sentiasa memudahkan urusan kami.

Bila dah jumpa tempat yang strategik, iaitu bersebelahan UiTM Kampus Kota Bharu, kami membuat keputusan untuk membuka perniagaan kami di situ. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal pula, sememangnya ada satu bangunan untuk disewa betul-betul di sebelah UiTM Kota Bharu itu. Aku dan suami bersama-sama meneliti kesesuaian bangunan tersebut untuk menjalankan perniagaan kami. Pada mulanya, perancangan awal kami hanyalah untuk membuka perniagaan percetakan, tetapi menurut tuan punya bangunan yang merupakan seorang Dato', bangunan milik beliau itu telah dijadikan sebuah hostel untuk pelajar-pelajar UiTM. Jadi, beliau menawarkan untuk kami menambah cabang perniagaan kami. Pada mulanya aku tidak mengambil serius, tetapi hati teringin sangat memandangkan prospek perniagaan yang bagus. Cuma, perlu difikirkan secara mendalam tentang modal yang kami ada. 

Fikir punya fikir, sekali lagi Allah permudahkan urusan kami. RezekiNya sememangnya luas. Kami mengambil keputusan untuk menyewa kedua-dua tingkat bangunan tersebut. Maka bermulalah episod kehidupan kami yang sibuk.

Suamiku bertindak menguruskan segala urusan melibatkan baik pulih hostel daripada proses mengecat keseluruhan bilik. Hostel ini pada asalnya mempunyai 20 bilik, tapi telah diubahsuai menjadi 16 bilik. Selebihnya kami gunakan untuk menjalankan perniagaan percetakan. Ketika proses mengecat, kami juga menempah almari untuk kesemua bilik, dan ia mengambil masa hampir sebulan. Kemudian, untuk menarik pelanggan, kami juga menyediakan kelengkapan seperti katil, tilam, bantal, ASTRO, peti sejuk, mesin basuh, dan wifi dengan kelajuan yang pantas. Semua itu memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Syukur kerana segalanya berjalan tanpa banyak masalah. Maka, tertubuhlah sebuah hostel kecil yang aku namakan 'Nazneen Hostel', sempena nama puteri kecilku.

Awal bulan September, para pelajar UiTM mula mendaftar. Kami menerima banyak permintaan untuk bilik, dan pelajar mula menduduki hostel pada pertengahan September. Bila mereka mula belajar, sudah tentu banyak sekali nota dan buku yang mereka gunakan perlu di fotostat. Jadi, perniagaan kami bermula dengan agak drastik sejak pertengahan September. Suamiku dan seorang bekas pelajarku yang banyak membantu kelancaran perjalanan perniagaan kami ini, iaitu Aziz, tidak menang tangan menyiapkan tempahan buku-buku daripada pelajar. Kadangkala, pukul 4 pagi pun masih belum dapat tidur untuk menyiapkan semua tempahan. 

Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama, kami juga membuka satu lagi cawangan kecil di daerah Bachok. Kedai fotostat ini terletak di Kg. Kandis, Bachok, memandangkan disitu terdapat Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST). Tapi, urusan kedai disini banyak diuruskan oleh adikku. Cuma, sambutannya belum menggalakan memandangkan pelanggan masih belum benar-benar tahu tentang kami.

Walaupun segalanya seolah-olah mudah, cabaran-cabaran yang kami lalui bukan sedikit. Tapi, nantilah aku update dalam tulisan yang lain pula. Untuk berjaya bukannya mudah, ini baru permulaan. Semoga segalanya akan berjalan lancar dimasa hadapan.




Wednesday, August 17, 2011

Takde Mood Nak Beraya :(

Raya tinggal tak sampai dua minggu lagi. Satu apa persiapan pun tak buat lagi..Perasaan ni macam tak nak beraya je..tak tahu lah, takde mood nak beraya..Bosannya..Walaupun tahun ni sepatutnya aku bergembira untuk raya kerana dah ada baby yang sangatlah comel, tapi macam takde mood jugak. Tak happy langsung..

Bila nak raya ni, teringat jer kat arwah Abah yang dah hampir 4 tahun meninggalkan aku sekeluarga..:(
sedih bila ingatkan yang sekarang ni dah tak semeriah dulu. Dulu aku akan gembira sangat bila nak raya....pernah baju raya sampai 8 pasang..sekarang ni sepasang pun takde lagi..Tak pergi tempah macam biasa..beli siap pun belum. Kesian jugak pada hubby yang macam excited nak beraya.

Maafkan aku semuanya...

Saturday, July 16, 2011

Sukarkah untuk bahagia?

Mungkin aku sekarang sudah terlalu tua barangkali, sehinggakan aku begitu susah untuk berkongsi cerita dengan sesiapa.

Kalau dulu, aku pasti ada seseorang untuk aku kongsikan perasaan hatiku..Tapi sekarang, aku lebih senang menyimpan segalanya sendiri.

Kalau dalam 100 rahsia, satu pun belum tentu aku akan ceritakan pada sesiapa..
Tak macam dulu, pasti ada seorang kawan baik yang akan ku kongsikan cerita suka duka.

Seseorang yang begitu rapat denganku dulu pernah berkata,

"Waktu kita masih belum berkahwin ni...hubungan sesama adik beradik pun masih rapat..Bila semuanya sudah berumahtangga, nanti lainlah jadinya..tak sama macam waktu kita kecil-kecil..."

Waktu tu, aku ketawakan saja kata-kata itu. 
Dia hanya tersenyum dengan matang. Aku yang terlalu mentah rupanya. Masih tak kenal dunia sebenarnya.

Dia juga pernah kata suatu hari,
"Bila kita dah punya sesuatu dalam kehidupan, contohnya kerjaya yang baik, rumah, kereta, pasangan hidup...kawan-kawan waktu kecil kita pun pasti datang dan pergi. 
Bila kita senang, ramainya yang akan mendamping. 
Bila kita susah, satu pun tak nampak bayang"

dan sambungnya lagi....

"Kalau kita lebih senang, lebih ramai yang suka kita...tapi dalam ramai-ramai yang suka kita, satupun takde yang tak dengkikan kita...walaupun mereka kata mereka bahagia melihat kejayaan kita, sebenarnya mereka iri.."

Waktu itu, aku hanya dengar saja luahan kekecewaannya. 
Padaku, hidupnya penuh masalah. Aku masih terlalu muda. Baru mencecah awal 20-an. Mestilah hanya tahu berseronok!

Satu ketika dia pernah juga bilang padaku,
"Suami yang tidak nampak dayus ialah suami yang berduit, berkerjaya bagus, ada class...Lelaki, kalau tak punya semua tu walaupun muka handsome, isteri pun akan benci.."

Fikirku, mana mungkin...bukankah kalau berkahwin cinta sama cinta, pasangan itu pasti akan sanggup berkorban apa sahaja...
Bukankah kalau berharta, kita mampu bahagia walaupun takde sesiapa yang mendampingi kita..
Bukankah kalau namanya adik-beradik, dicincang pun takkan putus pertaliannya, seperti air...?

Aku silap, rasanya.
Dia betul, pastinya.

Bila kita berkeluarga, kita berkahwin dengan orang luar. Orang luar ini pasti tak sama cara didikan dengan kita. Bila kita sudah berkahwin, tentunya kita lebih mendengar dan menyokong pasangan berbanding adik-beradik sendiri walaupun dari kecil kita hidup bersama mereka. Kenapa ye jadi macam tu?

Waktu kecil kita berkawan, kita semua sama taraf. Bila masing-masing punya kehidupan, ada yang bernasib baik, ada yang kurang baik. Kita tak lagi sama dalam apa segi sekalipun. Cuma, kalau kita benar-benar kawan sejati, kenapa perlu ada batasan yang seperti itu? Peliknya.

Jika waktu bercinta, kita boleh terima apa jua keadaan pasangan kita, dan selalu berdoa dan berharap masa akan membawa perubahan, kenapa bila berkahwin tak ramai yang sanggup bersama dalam susah dan senang? Hairan sungguh. Maknanya, cinta itu masih ada syarat-syaratnya.

Sama seperti aku yang sudah semakin sukar membuka rahsia apabila melangkah dewasa, begitu juga kehidupan. 
Semakin dewasa, semakin susah untuk kita mengharungi kehidupan.
Kehidupan itu kelihatan begitu sukar, kerana kita tidak pernah belajar bagaimana untuk bahagia didalam kehidupan. 
Tidak ada satu sekolah, atau kolej,atau universiti yang menawarkan subjek 'KEBAHAGIAAN' atau 'KEGEMBIRAAN'.
Cikgu pun belum tentu tahu maknanya, kerana mungkin tidak pernah mengecapinya.
Kita tak pernah belajar tentangnya dimana-mana. 
Tapi bila dewasa, itulah yang paling kita perlukan..kita bekerja berhempas pulas, kita mencari pasangan dan mengejar cinta, kita lakukan segalanya hanya untuk merasa bahagia dan gembira..tapi kenapa sukar untuk kita dapatkannya?

Hidup ini sukar jika kita memandang segalanya sebagai sukar. 
Ia akan menjadi mudah jika kita memudahkannya.
Kegembiraan dan kebahagiaan adalah pilihan kita sendiri..
Cuma katakan, nak atau tak nak? Kemudian, usahalah mengikut pilihan kita.





Aku Redha, Ya Allah!

Sejak dua menjak ni, bukan aku taknak update blog..tapi sibuk sesangat dengan kerja dan baby..
Rindu jugak nak mendapatkan terapi menulis ni..
Bagi aku, menulis ni satu terapi..
Setiap orang mesti ada cara tersediri untuk melepaskan tekanan.
Bagi aku pula, menulis adalah caranya selain shopping...walaupun hanya window shopping...

Sejak sebulan lalu, kesihatan aku sangatlah teruk. Asyik-asyik sakit. Dah banyak jumpa doktor..doktor pakar la, doktor panel lah, doktor klinik biasa dan doktor hatiku jugak..tapi aku tetap tak pulih..
Aku sering sakit belakang dan perut. Nak kerja pun tak senang kalau asyik sakit begini. Ada juga aku cuba rawatan alternatif Perubatan Al-Quran dan As-Sunnah, refleksologi, urutan dan sebagainya.
Ada juga kesan positif, tapi lama-lama sakit itu datang semula.
Bila sakit je, aku tak dapat bangun dan hanya mampu terlantar di katil..

Memang sebulan ni kesakitan yang lama ku tanggung itu menjadi semakin serius. Mungkin juga disebabkan faktor umur. Yelah,tahun ini aku dah berusia 29 tahun. Walaupun aku makan tak terlalu banyak, tapi aku kurang bersenam. Hanya baru-baru ni aku ada join kelas aerobik dan tarian di Kota Bharu dan dah pun menjadi ahli. Mungkin juga aku akan mendapatkan 'personal trainer' macam kawan-kawan ku, Jam dan Kak Ila..bersemangat diorang menjalani rutin kelas dan amalan pemakanan yang sihat..
Aku rasa berminat dan supaya aku dapat lebih berdisiplin, elok juga aku join diorang kan. Kesihatan tu sangat penting. Tapi sejak aku sakit ni, badan pun macam semakin ringan jer...Entahlah...

Bila sakit macam ni, aku teringat bahawa hidup di dunia ni hanya sementara..
Kita hidup sementara menunggu waktu kita kembali dijemput...
Harta, sanak saudara, teman dan taulan dah takkan bersama kita lagi bila kita dah tiada...

Aku akan berjumpa lagi beberapa doktor pakar untuk diagnose penyakit sebenar yang aku tanggung sekarang...
Apapun, setiap penyakit itu pasti ada ubatnya. Cuma, jika Allah dah menentukan waktu aku pergi, aku pasti akan dijemputNya jua...Aku redha...





Saturday, May 28, 2011

Jangan takut jika tidak berpangkat!

Jika kita tidak mempunyai darjat atau memegang jawatan besar, seringkali kita ditindas kerana kita tidak mempunyai kuasa.
Kita juga cenderung merasa takut terutama sekali kepada orang yang lebih berkuasa.
Jangan takut.
Jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, kenapa harus takut?
Kita takut dibuang kerja, takut disingkirkan, takut mendapat akibat buruk kerana penyalahgunaan kuasa oleh orang yang lebih berkuasa, maka kita berdiam diri dan takut untuk bersuara walaupun terang-terangan berlaku ketidakadilan?
Jangan takut.
Jangan takut dibuang kerja, jangan takut tersingkir, jangan takut mendapat akibat buruk, jangan takut menyatakan kebenaran. Rezeki kita bukan ditangan manusia, nasib kita bukan ditentukan manusia, hidup mati kita bukan manusia lain yang mengawalnya. Takutlah hanya kepada Allah.

Jika kita dibuang kerja, dianiaya, diperlakukan seburuk mana sekalipun, selagi nyawa masih ada, jadilah seorang yang berani. Pastinya suatu saat kita akan mampu mendapat kembali apa yang telah kita hilang buat sementara waktu kerana semuanya ditentukan oleh Yang Maha Kuasa. Dan, pastinya Dia jualah yang mampu menarik kuasa seseorang dalam sekelip mata jika mereka bersikap zalim. Kita sentiasa punya Allah bersama-sama kita walaupun tiada seorangpun bersama-sama kita.

Jadi, kenapa harus takut? Beranilah jika anda ingin terus berjaya. Jalannya pasti ada.

Jadilah diri sendiri, tidak perlu meniru orang lain.


"Be yourself, everyone else is taken" - Oscar Wilde

Orang yang bersusah payah menjadi seperti orang lain adalah sebenarnya seorang ‘mangsa’ keadaan.  Mereka tergari dan terperangkap dalam diri mereka sendiri dan tidak mempunyai identity. Mereka cenderung menjadi seperti seseorang yang mereka kagumi.

Dia seorang yang pandai bergaya, jadi saya mesti menjadi sepertinya. Dia seorang yang disukai ramai kerana dia seorang yang pandai berbicara, menyanyi, menulis, dan sebagainya! Dia seorang yang pandai mengenakan mekap, jadi saya juga ingin menirunya!.

Kenapa harus menjadi orang lain? Itu semua adalah sesuatu yang menjatuhkan nilai diri, menipu diri dan tidak mendatangkan apa-apa hasil. Ini semua berkaitrapat dengan sikap kita sendiri. Kita dilihat dan dikenali sebagai diri kita kerana keistimewaan kita yang tersendiri. Jika kita tahu menghormati diri sendiri dan apa yang kita miliki, pastinya orang lain akan lebih menghormati kita. Pendek kata, buanglah topeng yang kita pakai dan tampilkan diri kita yang sebenarnya. Tidak perlulah kita hidup dalam bayangan seseorang yang sama sekali bukan kita. Inilah masanya untuk menempatkan kita dalam dunia sebenar. Ia adalah tentang mengenali siapa diri kita yang sebenarnya. Kita tidak perlu mendapatkan apa yang orang lain ada, sebagai contohnya bermekap tebal untuk cantik, atau berlapar untuk menjadi kurus seperti peragawati gilaan ramai.  Carilah aura anda sendiri, kenali suara dalam diri anda dan mulalah menjadi diri sendiri untuk terus berjaya. Berhenti meniru.

Usah terlalu banyak merasa kecewa dan sedih


Saya menonton satu siri kuliah agama berkala di saluran ASTRO Oasis baru-baru ini tentang topic keikhlasan. Panelnya menyebut, ‘Tiada sesiapa layak mengaku dirinya ikhlas kerana hanya Allah SWT sahaja yang layak menilai keikhlasan dan tahu samada seseorang itu ikhlas’. Beliau juga menyatakan bahawa ikhlas itu paling besar kuasanya dalam keimanan. Ia lebih besar dari api, air, dan angin. Beliau menceritakan kisah seorang sahabat yang bertanya Rasulullah tentang apakah kuasa yang lebih besar.
Apakah yang lebih besar kuasanya dari api? Yang lebih besar kuasanya dari api ialah air.
Apakah yang lebih besar dari air? Yang lebih besar dari air ialah angin.
Apakah yang lebih besar dari angin? Yang lebih besar dari angin ialah IKHLAS.

Serunya lagi, jika kita ikhlas dalam melakukan sesuatu, kita tidak harus terlalu banyak merasa sedih dan kecewa. Beliau menyimpulkan perumpamaan sebegini. Jika seandainya kita terburu-buru ke hospital untuk melawat seseorang yang sedang sakit, tetapi sebaik sampai di hospital, pesakit itu telahberansur sihat dan telah kembali ke rumah. Kita tidak perlu merasa terkilan kerana terlah bersusah payah mengharungi kesesakan lalulintas, kehabisan tenaga, wang serta usaha tetapi tidak dapat menemuinya kerana telah dibawa pulang. Sekiranya kita ikhlas, kita tidak seharusnya kecewa. Sebaliknya mengingatkan diri bahawa kita telah berusaha melawatnya. Jadi, usahlah merasa kecewa sekiranya kita menghulurkan bantuan tetapi tidak dihargai. Atau, sekiranya kita berbuat baik tetapi dipandang jahat. Jika kita ikhlas dalam melakukannya, ternyata balasan pahalanya sungguh besar,tinggal lagi kita tidak perlu kecewa dan bersedih. Betapa besarnya kuasa sifat ikhlas.

Jangan berlagak pandai


Hidup memerlukan kita mengetahui banyak perkara. Dunia serba moden ini memerlukan kita tahu semua perkara. Tapi, kita tidak mampu untuk mengetahui segalanya. Pengetahuan yang kita miliki sebenarnya masih sangat sedikit. Mengetahui semua perkara melambangkan bahawa kita tidak memerlukan pertolongan dari sesiapun. Kita tidak perlu jawapan apa-apa dari mana-mana sumber sekalipun kerana kita sudah tahu segalanya. Begitukah kita? Tak mungkin ada seorang pun di dunia ini yang tahu segala hal tetapi banyak orang yang berpura-pura tahu semua perkara.

Janganlah berlagak pandai. Ia akan memakan diri anda. Anda tidak tahu, siapa dikalangan anda yang lebih pandai dari anda. Mungkin saja anda menyangka anda berjaya dengan sedikit kejayaan anda, tetapi ada orang yang lebih berjaya didunia ini yang sentiasa mencari pengetahuan baru dan berlagak tidak tahu apa-apa sedangkan mereka sedang belajar untuk lebih berjaya. Ia bukanlah sesuatu yang hina untuk mengakui yang anda tidak tahu banyak perkara kerana anda akan mendapat lebih banyak ilmu baru. Tetapi jika anda berlagak pandai, anda tidak akan tahu yang sebenarnya masih banyak yang anda perlu pelajari. Mungkin saja, orang yang boleh memberi jawapan kepada anda pun tidak mahu membantu anda sekiranya anda terlalu berlagak tahu atau berlagak pandai.

Menerima teguran dan nasihat yang berguna

Terdapat dua jenis manusia didunia ini. Orang yang pandai dan bodoh. Masalah orang pandai ialah mereka sukar menerima teguran. Masalah orang yang bodoh pula tidak boleh diajar. Kedua-dua orang ini adalah orang yang malang. Yang pandai tidak boleh ditegur kerana meraka berasa sudah terlalu pandai dan merasa terhina jika ditegur. Yang bodoh pula akan merasa diri mereka terlalu bodoh sekiranya dinasihati atau diajar.
Jika ingin menjadi orang yang pandai dan berjaya, sedialah menerima teguran dan nasihat. Tidak semua perkara didunia ini yang anda ketahui. Mungkin anda bijak dalam bidang anda, tetapi anda masih juga tidak tahu banyak perkara dalam bidang lain. Jika anda masih mahu terus hidup dalam pemikiran ada yang tertutup, jadilah anda orang yang bodoh sombong selamanya.

Jangan bersikap gopoh dan tamak

Ketamakan itu bukan semuanya buruk. Tamak dalam menimba ilmu pastinya sesuatu yang baik dan bermanfaat. Tamak dalam beribadah juga boleh menjadi sesuatu yang baik kerana kita tidak mensia-siakan masa yang ada dan sentiasa merbut peluang untuk menambah pahala. Tapi, berapa ramai orang yang mempunyai sifat tamak yang positif seperti dalam dua keadaan tersebut?
Sikap tamak itu selalunya membawa bencana sekiranya ia berlebihan. Sikap gopoh dan tamak adalah lambang kepada kebodohan. Orang yang bodoh selalunya gopoh dan juga tamak dalam setiap perkara. Mereka mudah merasa marah, selalu cuba tampil hebat dengan cara yang salah, selalu berlagak pandai serta selalu berebut untuk mendapatkan sesuatu. Kebodohan itu bukan saja membuatkan mereka menjadi orang yang gagal malah dibenci orang. Usahlah terlalu tergopoh-gapah dalam setiap perkara kerana ia hanya akan mengundang bahaya dan kerugian besar. Sebagai contohnya, sekiranya anda terlalu gopoh ketika makan, anda bakal tercekik. Malah anda bisa juga mati akibat tercekik. Itu adalah perumpamaan yang paling mudah. Kegopohan tidak membawa anda kemana-mana. Fikirkan pula sekiranya anda gopoh di jalanraya. Anda bukan sahaja boleh ditimpa kemalangan, malah boleh juga menyebabkan orang lain yang tidak berdosa mendapat kesusahan kerana sikap gopoh anda. . Orang yang bijak dan berjaya selalu berhati-hati dan tidak tamak. Sentiasa tenang dan melakukan perkara dengan banyak berfikir tentang akibat dan kesan yang akan anda perolehi. Jika anda selalu gopoh dalam membuat keputusan, barangkali diakhir kehidupan anda, anda akan menyesalinya. Tamak juga sama kesan buruknya seperti gopoh.
Bukankah pepatah mengatakan ‘Orang tamak selalu rugi’? Pasti saja rugi yang besar bukan kepada orang lain tetapi kepada diri anda sendiri. Jika tidak, masakan dari dulu pepatah ini sudah ada? Betapa besarnya kerugian akibat dua sifat bodoh ini.

Jangan bersikap kasar terhadap orang yang sememangnya kita tahu selalu bersikap kasar terhadap orang lain

"A gentle answer turns away wrath, but a harsh word stirs up anger."

Kata-kata di atas sangat benar.

Anda selalu dikasari dan disakiti orang yang sememangnya anda tahu sering menggunakan kata-kata kasar dan pedas untuk melunturkan semangat anda?

Usah membalasnya dengan bersikap kasar seperti mereka. Malah, gunakan bahasa yang lemah lembut walau bagaimana sakit sekalipun anda rasakan, atau betapa terlukanya anda.
Anda juga sering ketakutan untuk berhadapan dengan mereka yang selalu menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka dan sewenang-wenangnya memarahi anda walaupun kesalahan anda terlalu kecil, dengan berkata sangat tajam terhadap anda? Usah takut.

Sentiasa tepis segalanya dengan tenang dan menggunakan bahasa yang jauh lebih baik dari mereka. Orang yang kasar, sering menyindir, sering berkata jahat terhadap terhadap anda akan akhirnya merasa malu dengan anda yang sedikitpun tidak pernah membalas kekasaran mereka. Mereka juga akan merasa sangat malu dengan sikap mereka sendiri walaupun mungkin mereka tidak menunjukkan rasa itu terhadap anda. Mungkin saja mereka juga mampu berubah sikap terhadap anda sekiranya anda selalu berlembut terhadap mereka. 

Bayangkan, jika anda juga bersikap kasar seperti mereka, tentu saja mereka akan berupaya untuk lebih meyakiti dan menyusahkan hidup anda sekiranya mereka adalah orang yang lebih berkuasa terhadap anda. Bukankah api yang marak itu akan kalah akhirnya terhadap kesejukan air?

Jangan dengki atas kejayaan orang lain

Envy robs security and contentment and revenge promises more than it delivers.
Apa gunanya mempunyai sifat dengki terhadap orang lain? Ia hanya akan membuat hati anda menjadi sakit dan kehidupan anda sentiasa diselubungi resah. Percaya kepada rezeki yang dikurniakan kepada kita dari Yang Maha Esa. Dengan berdengki, kita malah lebih banyak merasa tertekan kerana tidak senang melihat kesenangan orang lain. Bukan saja kita tidak mampu mendapat apa yang orang lain telah berjaya dapatkan, malah mungkin juga dengan berdengki, rezeki yang telah tertulis buat kita bakal ditarik balik kerana sifat busuk hati kita. Malah, kita juga boleh jadi bersifat malang selamanya. 

Doakan saja kehidupan kita juga dilimpahi keberkatan dan merasa gembira dengan kejayaan orang lain kerana dengan ini, kita juga akan merasa bahagia. Mungkin juga jika kawan, sahabat atau orang yang kita dengkikan itu yang akan membantu kita untuk lebih berjaya dan sudah pastinya mereka juga tidak akan mengganggu kehidupan kita sekiranya mereka tidak mencapai kejayaan seperti yang mereka kecapi kini. Mungkin juga sekiranya mereka kesusahan, mereka pula akan meminta-minta dari kita. Bukankah itu lebih menyusahkan kita? Jadi, doakan saja supaya mereka terus berjaya dan jangan lupa juga untuk berdoa semoga Tuhan terus mengekalkan nikmat yang telah kita kecapi sekarang dari kehilangan begitu sahaja akibat sikap keji kita itu.

Usah berdusta


Tidak guna sedikitpun bercakap bohong atau memberi alasan kepada setiap perkara yang kita lalui. Ini prinsip yang terbesar yang perlu ada dalam diri. Pembohongan akan menyebabkan lebih banyak pembohongan lain dimasa hadapan. Akibatnya, diri sendiri yang akan menerima kesusahan untuk mengingati setiap pembohongan yang dilakukan. Lebih baik berkata benar dan anda akan bebas dari segala keresahan sekiranya orang mengetahui yang anda telah berbohong dalam sesuatu perkara. Inilah rahsia untuk terus tampil hebat dan dipercayai. Malah, anda akan mendapat lebih banyak kepercayaan orang dalam setiap hal kerana sikap murni anda yang selalu berkata benar. Kepercayaan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk didapatkan, tetapi snagat senang untuk dimusnahkan. Sekali anda menghancurkan kepercayaan orang terhadap anda, anda fikir mereka akan mempercayai anda dimasa hadapan? Tidak sama sekali.

Kini terdapat banyak alat yang mampu mengesan penipuan. Namun jika anda ingin jika tahu seseorang itu berkata dusta, lihat saja ke matanya. Mata tidak mampu menipu sepertimana lidah!

Berani kerana benar


Ketakutan adalah halangan terbesar untuk berjaya. Untuk berjaya, ketakutan harus disingkirkan sama sekali. Ketakutan boleh merompak impian kita. Ia boleh membuatkan kita hidup dalam kegagalan. Ketakutan terhadap kemungkinan untuk gagal adalah sesuatu yang menghalang kita untuk mula melangkah mendaki tangga kejayaan. Paling menakutkan, ketakutan untuk berubah. Ramai orang takut untuk berubah, melakukan perubahan dan menerima perubahan. Ramai juga yang takut kerana berfikir orang lain akan memandang mereka sebagai orang yang salah.

Jika kita dipihak yang benar, dalam apa jua keadaan, kita perlu berani walaupun seluruh alam semesta memandang kita salah. Orang yang berani itu selalunya sangat berjaya. Lihat saja betapa ramai orang yang berani mengambil risiko yang telah berjaya dengan sangat luarbiasa kerana keberanian mereka menghadapi kemungkinan akibat risiko yang diambil. Berapa ramai juga orang yang gagal dan masih ditakuk lama akibat sifat pengecut mereka.

Syukur

Dua hari dalam minggu lepas merupakan hari-hari sibuk yang mendatangkan kepuasan. Namun dalam kesibukan itu,ia juga membawa erti yang besar maknanya dalam kehidupan ini. Ia mengajar makna kerjasama dan semangat berpasukan yang amat penting dalam kejayaan setiap acara. Malah lebih besar dari itu, ia mengeratkan hubungan silaturrahim bukan saja sesama rakan sekerja di organisasi tempatku bekerja, malah hubungan dua hala dua universiti Malaysia-Thailand.

Lawatan Prince of Songkla University (PSU) telah dirancang berbulan lebih awal. Kerja yang perlu disiapkan bukan sedikit. Kedatangan delegasi seramai 36 orang terdiri daripada Dekan Fakulti, Timbalan Dekan, pensyarah serta sejumlah pelajar itu bertujuan untuk membentangkan hasil kajian pensyarah-pensyarah dari kedua-dua universiti yang terlibat. Aku ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis bersama seorang rakan sekerja. Menjadi MC majlis sebegini memerlukan ketelitian dan kerjasama bagi melancarkan perjalanan majlis. Pengalaman yang ditimba cukup berguna sekali. Walaupun penuh debaran sebelum majlis bermula, namun aku berjaya mengharunginya dengan agak baik.

Setiap pensyarah ditugaskan dengan kerja masing-masing. Dalam memastikan segalanya berjalan lancar, masing-masing saling membantu walaupun kerjanya melibatkan sesuatu yang diluar bidang tugas. Selain berperanan sebagai MC, aku juga ditugaskan sebagai penyelaras bahagian jamuan dan makanan. Bantuan rakan seperjuagan membuatkan tugasan rumit itu berjalan lancar dan berjaya memenuhi keperluan sepanjang majlis. 

Hari pertama majlis terisi dengan pembentangan kertas kerja. Bnayak ilmu hasil kajian pensyarah-pensyarah dibentangkan dengan jayanya. Hari kedua pula, satu perbincangan dua hala untuk program bersama diadakan. Perancangan pihak universiti kami untuk mengadakan lawatan balas serta English Camp di Prince of Songkla University dijangkakan akan diadakan pada bulan Oktober 2011. 

Aku berasa sungguh bersyukur kerana segalanya berjalan seperti yang dirancangkan dan tiada masalah yang rumit berlaku sepanjang lawatan mereka. Malah, aku sangat bersyukur kerana aku berada dikalangan rakan-rakan sekerja yang sangat baik dan bekerjasama. Hubungan persahabatan baru ini seperti telah lama terjalin kerana semuanya bersikap profesional dalam pelaksanaan tugasan serta mesra antara satu sama lain. Suasana ceria sangat jelas kelihatan walaupun dalam kesibukan dan tekanan mengendalikan majlis seperti ini. Aku juga bahagia kerana mendapat kepuasan bekerja di sini serta sahabat-sahabat yang bukan sahaja bersedia membantu malah menceriakan hari-hariku saban hari. 

Terima kasih Ya Allah, atas kurniaan nikmat persahabatan ini. Syukur atas kurniaan ketenangan ini. Terima kasih kerana mencampakkan aku ke dunia baru yang sangat indah ini.