Thursday, February 17, 2011

Si Tua Berbaju Hijau

17 Februari 2011, 7.30 pagi

Pagi ini kelas bermula 8 pagi. Mulalah aku terpaksa berkejar-kejar untuk ke tempat kerja. Jalan pula sesak dengan kenderaan. Sebelum ke universiti, aku singgah untuk menghantar adik bongsu di sekolahnya.Nasib baik belum ditahan pengawas bertugas. 

Aku meneruskan perjalanan ke universiti. Pelajar-pelajarku pasti tidak sampai tepat pada masanya juga. Sewaktu berada di traffic light berhampiran dengan universiti, aku teralih pandangan ke arah seorang lelaki tua berbaju hijau. Lelaki tua tersebut sedang duduk di sebuah bangku di hadapan sebuah kedai yang masih tertutup pintunya.

Bajunya telah berubah warnanya dari hijau muda kepada warna hijau tua gelap. Butang bajunya telah tertanggal di bahagian atas dan bawah. Seluarnya ketat dan singkat. Tangannya memegang tongkat dan kepalanya sesekali terhantuk kerana mengantuk. Janggutnya jelas menunjukkan usianya yang telah lanjut. Tangannya yang kotor sempat mengangkat kopiah putih yang sudah keperangan kerana daki dan ditatapnya kopiah itu dengan pandangan lesu sambil mengelus-elus rambut nipis dan penuh uban. 

Semalam yang dingin, entah dimana dia tidur. 
Entah dimana rumahnya.
Entah apa yang dimakannya. 
Entah siapa anak-anaknya.

Lelaki tua berbaju hijau itu mengisi waktu dua minit penantian lampu hijau di lampu trafik pagi ini. Ia membuat aku berfikir sepanjang hari ini tentang nasib kebanyakan orang yang tidak berumah dan nasib orang tua yang tidak dipedulikan anak-anak.

Suatu hari nanti aku juga akan tua sepertinya. 
Malah setiap hari, usia ini bukan semakin remaja..tetapi semakin menginjak usia.
Lelaki tua berbaju hijau lusuh itu membuat aku sedar bahawa aku begitu bernasib baik dapat tidur bertilam dan berbantal empuk, malah tidak perlu memeluk tubuhku sendiri kerana kesejukan, atau berpanas dengan keringat melekit sepanjang malam.
Lelaki tua berbaju hijau itu membuat aku berfikir bahawa tiada sesiapa yang sudi berhenti untuk bertanya tentang untung nasib insan malang sepertinya.



0 comments:

Post a Comment

What do you say?