Monday, February 7, 2011

Instinct / Naluri

Salam penuh kebahagiaan buat semua teman yang sudi singgah membaca catatan hati Tia. 

Kesibukan menghalang Tia untuk menulis dengan kerap walaupun pada dasarnya, menulis di blog ini menjadi salah satu azam tahun baru 2011. Begitu banyak sekali catatan yang belum mampu di paparkan di blog ini kerana masih dalam proses untuk memperkemas bahasa tulisan.

Tahun 2011 sememangnya sedang berlalu dengan pantas. Sekarang sudah hampir pertengahan Februari. Bermakna Tia sudah menjalani kehidupan baru di tempat kerja baru sudah lebih sebulan. Amat pantas waktu berlalu.

Sebenarnya, sebelum pulang ke Kelantan, Tia sering dapat merasakan bahawa kehidupan Tia di sini akan benar-benar berubah. Bukan percaya kepada naluri hati, tetapi kebanyakan masanya gerak hati Tia selalunya betul. 

Banyak sekali gerak hati Tia memberi isyarat yang akhirnya menjadi kenyataan. Tahun lalu, satu kejadian yang buruk telah terjadi terhadap seorang kawan sekerja Tia. Sebelum kejadian, Tia telah dapat merasakan sesuatu yang tak kena bakal terjadi. Waktu itu Tia dan suami merancang untuk pulang ke Kelantan. Seorang rakan Tia yang berasal dari Kelantan juga mahu mengikuti kami pulang tetapi dengan memandu keretanya sendiri. Awalnya Tia tidak mengetahui hal tersebut sehinggalah suami pulang dan memberitahu bahawa rakan Tia itu mahu mengikut sama dalam perjalanan tersebut. Mungkin kerana telah merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku, Tia memarahi suami dengan tidak semena-mena. Marah kerana apa pun Tia tidak pasti, tetapi waktu itu Tia benar-benar rasa tidak sedap hati. Tia juga menyatakan kepada suami, sekiranya apa-apa berlaku, Tia tidak mahu bertanggungjawab. Suami hanya mampu menenangkan Tia dan berkata bahawa tiada apa-apa yang buruk bakal terjadi.

Semasa dalam perjalanan, Tia dilanda rasa berdebar-debar yang teramat. Hati memang tidak senang. Perjalanan ke Kelantan melalui hutan dan bukit bukau di Gerik sememangnya amat merbahaya terutama kepada pemandu yang baru pertama kali melalui jalan tersebut. Kebetulan pula, kawan Tia baru pertama kali memandu secara sendirian melalui jalan itu.

Sewaktu hampir Maghrib, hati Tia semakin berdebar. Tiada apa-apa yang buruk berlaku sepanjang perjalanan sehinggalah kami berhenti di kawasan rehat dan rawat di Puncak Titiwangsa. Ada sekelumit perasaan yang menyuruh Tia menemani kawan Tia yang memandu sendirian, tapi sedikit lagi perasaan melarang Tia berbuat demikian. Sejurus selepas itu, kami meneruskan perjalanan pulang. Suami memandu dihadapan meninggalkan kawan Tia di belakang dengan jarak yang tidak begitu jauh. 

Tiba-tiba, telefon bimbit Tia berdering. Panggilan daripada rakan yang sedang memandu di belakang. Tia berasa hairan, bagaimana dia boleh menelefon smabil memandu di kawasan bukit yang memerlukan kawalan rapi. Tia menjawab panggilan dan suara kedengaran putus-putus meminta kami memusing kenderaan kerana dia telah mengalami kemalangan. Tia dan suami terus bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan kenderaannya yang telah berpusing 360 darjah ke atas. Tayar kenderaan berada di atas dan barang kelengkapan perkahwinannya bertaburan di jalan. 

Sebaik sampai, dia terus berlari memeluk Tia. Sungguh terkejut melihat kenderaan yang baru beberapa bulan di beli sudah remuk dan mengalami kerosakan yang sungguh teruk. Sambil menenangkannya, hati Tia berdetik lagi, rupanya amaran kejadian inilah yang telah membuat hati Tia begitu resah sepanjang hari. 

Apa yang berlaku sewaktu kemalangan itu tidak dapat dipastikan. Kenderaannya berpusing ke arah bertentangan dengan keseluruhan bahagian kenderaan berpusing ke atas sebelum melanggar tembok batu penghadang hakisan di tepi bukit. Syukur kawan Tia cepat-cepat keluar dari kenderaan melalui tingkap. Namun, akibat hentakan kuat di kepala, dia terpaksa di bawa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

Malam itu, sepatutnya kami telah selamat sampai sekitar jam 8.30 malam. Kerana kejadian tersebut, kawan Tia telah mengalami hentakan teruk di kepala dan pinggang dan sehingga sekarang sering mengalami kesan akibat hentakan kuat tersebut. 

Sememangnya kita dianugerahkan Tuhan dengan perasaan yang berbeza-beza. Tia dapat merasakan bahawa adakalanya Tia harus menilai gerak hati Tia sebelum melakukan sesuatu. Bukan kejadian itu sahaja yang membuktikan kekuatan naluri, malah sewaktu adik Tia sendiri mengalami kemalangan di Puncak Alam, Selangor pada bulan Ramadhan tahun lalu, Tia turut mengalami perasaan yang tidak enak sebelum kejadian. Syukur adik selamat dan hanya mengalami luka ringan. Tetapi, kesan ketakutan akibat kemalangan benar-benar menghantui Tia.

Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Tia yakin dan percaya bahawa Allah mengurniakan sesuatu perasaan kepada setiap hambaNya supaya kita berfikir tentang kekuasaanNya Yang Maha Agung dan Maha Luas supaya kita akan benar-benar yakin dan beriman kepadaNya.

Wallahualam.


0 comments:

Post a Comment

What do you say?