Friday, August 13, 2010

Kisah Hari Lahir pada 1 Ramadhan

Tahun ini saya agak bertuah kerana dapat menyambut dua peristiwa penting serentak iaitu hari kelahiran dan hari pertama Ramadhan. 

Sehari sebelum hari lahir saya dan hari pertama Ramadhan, kucing kesayangan saya telah mati akibat penyakit yang telah agak lama ditanggung. Bila pulang dari pejabat, baru saya mendapat tahu dari suami tentang kematiannya. Setelah memandikan badannya dari kotoran, suami saya terus mengambil sehelai baju lama untuk membalut tubuhnya yang sudah kaku dan dikebumikan di hujung kawasan kolej tempat saya tinggal.

Hati saya sangat kesedihan kerana kematian kucing tersayang. Setiap kali saya memiliki kucing berwarna jingga, selalu ada penyakit dan selalunya kucing saya akan mati. Bila difikirkan, melihat kematian membuat saya sedar bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Pukul 11 malam 10 Ogos, sejam sebelum umur saya menginjak setahun lebih tua, pelajar-pelajar saya atau lebih dikenali sebagai gelaran mentee telah mengadakan satu kejutan buat saya. Mereka datang sambil membawa kek coklat yang dinyalakan lilin untuk saya. Terharu rasanya. Ternyata mereka mengingati hari istimewa saya. Saya menyediakan minuman dan kami sama-sama menikmati kek coklat yang sememangnya kegemaran saya. Ingatan yang sebegini hebat dari sesiapa sahaja boleh membuatkan diri rasa sungguh dihargai.

Pada 11 Ogos keesokannya, iaitu pada hari lahir saya, dan hari pertama berpuasa, saya pula telah mengajak mentee saya seramai 8 orang itu untuk berbuka puasa di rumah saya. Menu yang saya masak ialah nasi kerabu dan beberapa lauk pauk lain.Walaupun ringkas, suasana berbuka puasa beramai-ramai sungguh meriah. Terasa seperti berbuka puasa bersama keluarga sendiri walaupun berada jauh di perantauan.


Seharian memasak membuatkan kaki saya merasa sakit akibat lama berdiri. Saya sembahyang sambil menahan sakit kaki yang terasa amat berat. Bila selesai sembahyang, saya terfikir sendiri bahawa umur saya sudah semakin menginjak dan amat benar sekali, sesuai dengan umur yang semakin bertambah, tenaga dan kekuatan pula akan semakin berkurangan. Itulah hakikat kehidupan ini. 

Sambutan hari lahir kali ke 28 ini buat saya banyak berfikir.

Saya terfikir bahawa umur saya sudah setahun lebih dekat dengan kematian.
Saya terfikir bahawa saya sudah tidak sekuat seperti usia saya belasan tahun.
Saya terfikir bahawa saya tidak boleh lagi bersifat seperti anak-anak kecil yang tidak matang
Saya terfikir bahawa saya tidak lagi boleh berpakaian seperti anak remaja
Saya terfikir bahawa saya boleh diambil kembali pada bila-bila masa sahaja
Saya terfikir bahawa kecantikan dan keremajaan tidak akan kekal selama-lamanya

Akan ada sendi-sendi yang sakit apabila sudah berusia
Akan tumbuhlah uban di kepala
Akan kecut dan berkedutlah kulit 
Akan lemahlah anggota
Akan hilanglah usia muda

Sepertimana saya menyaksikan insan-insan tersayang dalam hidup saya meniti hari tua mereka, saya juga pastinya akan tiba disaat itu.
Tapi apakah amalan yang telah saya lakukan?
Apakah dosa-dosa saya yang belum dipohonkan taubat?
Adakah cukup bekalan saya ke negeri abadi sekiranya Tuhan menjemput saya secara tiba-tiba

Saya takut dan gentar. Saya menangis, takut dan bersyukur.
Saya bersyukur kerana Tuhan masih memberikan saya masa dan nyawa sehingga hari ini.
Saya bersyukur hari lahir saya jatuh pada hari pertama Ramadhan.
Saya bersyukur kerana saya masih lagi punya kesempatan untuk bertaubat.
Tapi saya takut
Akan dosa-dosa yang telah saya lakukan
Akan pembalasan yang bakal saya terima jika saya belum sempat bertaubat
dan sekiranya Tuhan menarik nyawa yang dipinjamkan kepada saya.

Namun saya bersyukur kerana Tuhan masih kurniakan saya masa 
dan menyedarkan saya di bulan Ramadhan yang sungguh mulia ini.




0 comments:

Post a Comment

What do you say?