Monday, August 9, 2010

Cermin

Menonton filem yang bagus adalah seperti membaca buku yang baik. Dua perkara ini memang menjadi antara perkara yang paling saya sukai. Adakalanya saya merasakan menonton filem dan buku yang bagus menjadi seperti terapi buat diri saya.

Selain mendapat hiburan, buku dan filem yang baik mempunyai mesej tertentu yang boleh mendidik dan mengajar melalui cara tersendiri. Saya juga amat menggemari bahasa-bahasa indah yang terkandung didalam kedua-duanya. Ia boleh buat hati berbunga-bunga, fikiran melayang dan bibir tersenyum.

Semalam saya menonton sekali lagi salah satu filem Bollywood kegemaran saya berjudul Jodha Akbar. Ada satu petikan ayat yang sangat menarik minat dan memberi kesan kepada saya. Petikan ayat ‘Walaupun memantul, belakang cermin tetap hitam’ membuat saya berfikir sehingga beberapa ketika. Sungguh indah bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej. Walaupun ia disampaikan didalam Bahasa Hindi, saya mendapat maksud kata-kata ini melalui sarikata yang tertera.

Selama ini saya juga berpendapat bahawa Bahasa Hindi adalah bahasa yang sangat indah dan puitis. Jika tidak, mana mungkin filem-filem Bollywood mendapat sambutan yang begitu hebat sehingga ada ketikanya, walaupun tidak memahami maksud dialog, kebanyakan peminat filem bollywood masih boleh merasa keindahan penceritaan melalui keasyikan lagu-lagu melalui kemerduan suara penyanyi, susun atur melodi dan gerak tari yang memikat. Namun yang paling penting, bait bahasa yang digunakan sememangnya indah dan mampu membuat hati begitu larut dalam cinta!

Berbalik kepada kata-kata ‘walaupun memantul, belakang cermin tetap hitam’. Apakah maksud sebenar di sebalik kata-kata ini?

Tafsirannya bergantung kepada individu. Pada saya, ia membawa maksud sebaik mana pun manusia boleh kelihatan, pasti ada sesuatu yang tidak begitu baik tentang mereka. Ia sama seperti ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Kadangkala, manusia hanya berlakon. Jarang yang hidup dengan penuh kejujuran. Kebanyakan hidup dalam kepuraan, samada dengan rela atau terpaksa.

Bukanlah silap manusia untuk hidup dalam kepuraan. Ada masanya, kita terpaksa menutup sikap sebenar demi tugasan, persahabatan dan perhubungan. Sikap yang buruk jika ditutup, akan dapat dikikis sedikit demi sedikit kerana perbuatan yang dilakukan selalunya ada kemungkinan boleh menjadi rutin dan tabiat.

Cuma, janganlah menjadi seperti cermin, jika hitam dibelakang, ia mungkin lumrah tetapi jika pecah, ia bisa melukakan atau lebih parah, bisa juga membunuh!





.




0 comments:

Post a Comment

What do you say?