Ramadhan membawa erti yang cukup hebat bagi yang mahu benar-benar mengambil iktibar darinya.
Ia adalah satu proses latihan yang mampu membentuk disiplin dan kesabaran. Ia juga sebenarnya adalah satu proses untuk kembali menilai kehidupan yang telah dilalui. Puasa boleh membentuk sikap dan rasa kehambaan kepada Allah.
Segala ibadat yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan boleh dijadikan satu titik tolak untuk terus melakukannya pada bulan-bulan yang lain. Dengan bersolat tarawikh, kita sebenarnya akan terlatih untuk kembali membetulkan bacaan al-Quran serta menghafal surah-surah yang lazimnya perlu dibaca. Jika dilakukan secara sendirian, ia malah boleh menyedarkan betapa banyak yang kita telah lupakan terutama sekali berkaitan peringatan-peringatan Allah SWT di dalam Al-Quran.
Bertadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan juga adalah amalan yang amat digalakkan. Ini juga melatih kita untuk kembali mendekati kalam Allah yang mungkin dilupakan dibulan-bulan lain. Ia juga memberi peluang untuk kita memahami dan mengkaji pengertian ayat-ayat suci melalui tafsiran yang sepatutnya juga dibaca.
Ramadhan datang dengan pelbagai kebaikan didalamnya. Rugilah sekiranya kita tidak mengambil peluang untuk beribadah di bulan yang penuh kemuliaan ini. Tidak akan ada rasa kemenangan sekiranya kita tidak berlumba-lumba dan bertungkus lumus untuk merebut segala yang dijanjikan Allah dalam bulan ini.
Marilah kita sama-sama memanfaatkan kemuliaan Ramadhan dan menjadi pemenang menjelang Syawal.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?