Masa amat mencemburui kita.
Masih teringat kata-kata seorang guru saya sewaktu di sekolah rendah dahulu. Waktu itu saya tidak faham apa maksud cemburu.
Memang benar, masa amat mencemburui kita.
Saya rasakan masa begitu cepat berlalu.
Jika tidak tahu menguruskan masa, memang terbengkalai semua kerja.
Masa saya begitu pantas berlalu. Rasanya seperti baru semalam berkahwin dan bergelar seorang isteri.
Rasanya baru sekejap saya memijak kaki ke bumi Kuala Nerang. Rupa-rupanya sudah 2 tahun saya bekerja di sini. Pantas benar masa berlalu.
Dalam sehari, masa yang saya lalui agak padat.
Kadangkala saya ingin menyertai suatu kursus pengurusan masa. Kelam kabut juga mahu menguruskan rumahtangga, kerja dan melayan suami. Itu belum ada anak lagi. Saya kagum dengan rakan-rakan yang punya anak yang mampu menguruskan masa dengan baik. Sedangkan saya yang masih tidak mempunyai anak pun agak kelam kabut untuk memastikan segalanya berjalan lancar, inikan pula mereka yang bergelar ibu dan berkerjaya. Tentu padat jadual seharian mereka.
Kalau boleh diberikan contoh pengurus masa yang amat baik, tentu sekali saya memilih ibu saya.
Ibu saya Puan Hamidah, merupakan seorang guru Sejarah yang mengajar di sekolah swasta dan pusat-pusat tuisyen di sekitar negeri Kelantan. Beliau juga merupakan guru pakar yang kerap dipanggil untuk memberikan ceramah tentang teknik mengajar subjek Sejarah kepada guru-guru di Kelantan kerana pengalaman dan ilmu yang dimiliknya.Kehidupan sehariannya sememangnya tersangat sibuk. Sejak kecil, kami lima beradik memang sudah biasa ditinggalkan kerana ibu saya sangat sibuk dengan tugasan. Tapi, yang amat saya kagumi tentang dia, dia amat cekap menguruskan rumahtangga dan kerjaya.
Memulakan hari seawal jam 5 pagi setiap hari, ibu saya akan memasak sarapan pagi tanpa pernah gagal setiap hari. Kami tidak pernah tidak menjamah sarapan pagi. Jika tidak berkesempatan, ibu saya akan pastikan sarapan yang dibeli tersedia di meja makan sebelum kami semua memulakan persekolahan.
Memulakan hari seawal jam 5 pagi setiap hari, ibu saya akan memasak sarapan pagi tanpa pernah gagal setiap hari. Kami tidak pernah tidak menjamah sarapan pagi. Jika tidak berkesempatan, ibu saya akan pastikan sarapan yang dibeli tersedia di meja makan sebelum kami semua memulakan persekolahan.
Waktu tengahari pula, beliau akan balik sebentar untuk menyediakan makanan tengahari. Selesai waktu persekolahan sekitar pukul 1, beliau akan bergegas pulang dan menyediakan makanan. Jadi, setiap hari makan tengahari kami memang tersedia sesampainya kami ke rumah dari sekolah. Sekitar jam 3 petang, ibu saya akan bergegas ke pusat tuisyen untuk mengajar sehinggalah pukul 6.00 petang.
Setibanya di rumah, beliau akan terus menyediakan makan malam.
Setibanya di rumah, beliau akan terus menyediakan makan malam.
Kemudian. jam 8.00 malam, beliau sudah berada di pusat tuisyen untuk kelas malam pula. Begitulah kehidupan ibu saya yang sememangnya padat setiap hari. Beliau hanya pulang selepas pukul 10.30 malam dari pusat tuisyen. Waktu kami semua sudah mula mengantuk, ibu akan memastikan pula kerja-kerja rumah yang terbengkalai sebelum memasuki kamar tidur. Kemudian, dia akan bangun semula sekitar jam 4.00 pagi untuk menunaikan solat tahajjud dan sebagainya.
Sering juga saya terjaga di tengah malam dan melihat ibu yang sedang menunaikan solat serta mengaji. Apa yang mengagumkan lagi, ibu saya masih sempat ke surau setiap waktu Maghrib dan Subuh. Bagaimana penatnya ibu, saya tidak dapat gambarkan. Namun dalam kepenatan, ibu tidak pernah sekalipun bermasam muka, berleter atau memarahi kami berlima walaupun kami selalu menyelerakkan barang-barang dan bermain. Ibu sememangnya wanita yang sangat kuat fizikal dan mental.
Kini, di usianya 53 tahun, ibu tidak mempunyai sebarang penyakit. Jarang sekali dia jatuh sakit dan badannya juga sentiasa sihat. Ibu juga seorang yang periang dan suka menghiburkan sesiapa sahaja dengan lawak jenakanya. Senyuman dan gelak ketawanya sudah cukup membuat orang tak kering gusi dengan ketawa hilai yang panjang.Jika dibandingkan dengan saya, saya rasa saya mungkin lebih mudah penat dan seringkali sakit. Mungkin kerana kehidupan seharian yang padat dan sentiasa bergerak membuatkan ibu saya begitu sihat. Malah, lebih mengagumkan, ibu saya masih sempat melakukan kerja-kerja rumah dan memastikan taman bunganya terjaga rapi.
Ibu saya sememangnya wanita yang sangat kental, tabah dan pandai serba serba. Mungkin itu sebabnya ibu kelihatan seperti wanita berusia 40 tahun. Kulitnya masih tegang dan wajahnya tidak berkedut. Kesibukan seharian membuatkan dia sentiasa tampil cergas dan bersemangat.
Kagumnya saya terhadap ibu saya. Kepandaiannya mengurus rumahtangga, kerjaya, anak-anak, ibu dan ayah serta hobinya memang tidak ada tolok bandingnya. Tahap kesabarannya yang amat tinggi juga begitu sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Rasanya, saya harus belajar lebih banyak dengan ibu saya tentang pengurusan masa dan menjadi tabah. Mungkin kesenangan hidup hari ini membuatkan saya begitu selesa dan tidak memahami bagaimana mahu menguruskan masa dengan baik. Tapi saya bersyukur, sedikit sebanyak saya mewarisi sifat ibu dan hobi tertentu. Saya berdoa semoga saya bisa menjadi sehebat ibu yang dicintai suami dan anak-anak serta para pelajarnya kerana sikap dan motivasinya yang cukup hebat.
Kerana itu, jika saya bermasalah dan merasa putus asa, ibu akan selalu mengingatkan saya tentang kesusahan dan dugaan yang cukup hebat yang dilaluinya serta sebanyak mana dugaan yang telah saya lalui untuk berada di tempat saya berada sekarang.
Jika masih belum sampai ke tahap nyawa bisa tergadai, bukan masalah namanya!
Malah kata ibu, dugaan yang lebih berat pun mampu saya lalui sepanjang tempoh saya membesar sebagai manusia, jika sekadar masalah biasa yang tidak memerlukan perhatian, buang sahaja dari pemikiran kerana sesusah cabaran di dunia pun telah kami lalui bersama. Setakat perkara kecil dan remeh, tidak perlu risau dan gundah gulana sehingga mahu membuat keputusan yang akan dikesali.
Satu kata-katanya yang sering saya ingat setiap kali mempunyai masalah ialah "kecilkan masalah".
Kata-kata tersebut membuat saya menjadi bertambah kuat setiap kali ditimpa kerisauan atau permasalahan dan seolah-olah kata-kata itu bagaikan penyejuk hati bahawa masalah hanyalah kesempatan untuk melonjakkan diri ke suatu tempat yang lebih baik.
Kata ibu yang akan saya pegang sampai hujung nyawa; untuk menjadi hebat dan berada di puncak bukan mudah, tetapi untuk menjadi lemah dan tersungkur ke bawah cukup senang!
Ma memang terbaik!!



0 comments:
Post a Comment
What do you say?