Wednesday, July 28, 2010

Kan Bagus Kalau...

Kan bagus kalau aku kaya
dapatlah aku beli apa sahaja yang aku mahu
dan melancong kemana sahaja yang aku suka
pasti aku hidup dengan dikelilingi ramai teman
dan dalam kemewahan
semuanya tentu indah

Kan bagus kalau aku cantik
kulit gebu dan bercahaya
punya badan yang ramping serta memikat
punya senyuman semanis madu
tentu sekali ramai yang akan suka padaku
dan ingin dekat selalu

Kan bagus kalau aku ini bijak
seperti orang lain yang mampu menjadi apa sahaja
boleh aku cipta pelbagai benda
yang pasti mengagumkan dunia

Kan bagus kalau aku ini seorang primadona
yang terkenal serata dunia
kemana pergi aku dilayan 
dan dipuja

Kan bagus kalau aku ini bukan aku
Kan bagus kalau dapat jadi dia
Hidupnya begitu sempurna
sedangkan aku tiada apa


Kan bagus kalau aku dapat memutar waktu
dan kembali ke suatu masa lalu
kan ku ubah sejarah hidupku
dan menukar segala apa yang tidak aku mahu
kan ku pilih yang terbaik buat diriku
dan membuat semua insan cemburu


Kan bagus kalau...

Seringkali kita merasa kehidupan kita tidak seindah kehidupan orang lain.
Entah mengapa, tapi pastinya kita punya sekelumit perasaan tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki atau sedang kita jalani.

Bila orang lain kelihatan sangat gembira dengan kehidupan mereka, 
Bila orang lain kelihatan begitu selesa dengan apa yang mereka lalui setiap hari
Bila kita lihat orang lain begitu bahagia
Bila kita lihat orang lain lebih berjaya
Bila kita lihat orang lain cukup sempurna
Kita ingin menjadi seperti mereka

Bila kita lihat di Facebook, Twitter, Friendster 
atau ratusan aplikasi lain yang boleh kita layari
Kita rasakan kita begitu kecil dan tidak punya apa yang mereka punya
Sedangkan kita, begitu biasa
Kita cemburu dan merasa semakin tidak bahagia

Kenapa begitu?

Ramai sekali yang meluahkan kepada saya, betapa tidak bahagianya mereka. 
Mereka menyatakan, alangkah bahagia menjadi seperti rakan-rakan yang punya isteri yang lebih cantik dan suami yang kaya raya. 
Ada juga yang mengeluh, dan berdukacita memikirkan kehidupan masa depan mereka yang entah bagaimana. 
Tidak kurang juga yang takut untuk menghadapinya kerana bimbang dengan sejuta kemungkinan yang belum pasti. 
Rupanya ramai yang tidak bahagia! 
Rupanya masih ramai yang tidak gembira.

Sememangnya bila saya fikirkan, ada benarnya Facebook, Twitter dan pelbagai lagi laman sosial yang boleh menghubungkan jutaan rakan boleh menyebabkan tekanan kepada sesetengah orang. Paling mengejutkan, ia boleh membuat kita merasa tidak bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada.

Apa yang mampu saya katakan terhadap mereka yang meluahkan perasaan cemburu, kesedihan dan kekecewaan mereka kepada saya ialah, tidak semua yang tergambar itu indah. Bukan semua gambaran itu benar. Tidak ada sesiapa yang benar-benar bahagia seperti apa yang terpapar.

Mungkin, mereka yang memaparkan begitu banyak kegembiraan sebenarnya hanya ingin menunjukkan kehidupan mereka yang begitu bahagia dan mahu semua orang menganggap diri mereka bahagia dan sempurna.Sebenarnya, merekalah yang tidak bahagia. Bagaimana kita menilai sebuah kebahagiaan dan menentukan orang sentiasa gembira?Hanya melalui gambar? Tidak.

Kita tidak akan tahu dan tidak akan dapat menentukan samada seseorang itu benar-benar berpuashati dengan kehidupan mereka.Mungkin mereka memaparkan kebahagiaan, tetapi hati mereka menanggung beban kepahitan yang amat pedih. Mereka mungkin memiliki segalanya yang kita mahu, tetapi mereka sebenarnya mahu apa yang kita miliki. Gambar hanyalah sebuah lakonan.Gambar hanyalah gambar. Ia bukan kenyataan.Ia hanyalah lakonan disaat butang kamera di tekan. Gambar juga hanya memaparkan refleksi sedetik sahaja dan ia tidak berkekalan.

Kegembiraan, kebahagiaan, dan ketenangan itu tidak dapat dilihat. Ia hanya dapat dirasai oleh setiap jiwa yang memilikinya. Tidak perlulah kita merasa gusar dengan apa yang kita tidak punya dan apa yang orang lain ada. Sepatutnya kita merasa bersyukur dengan apa yang ada dan menghargainya. Seharusnya kita tidak cemburu dengan mereka yang bahagia dengan kehidupan mereka, bukan merasa hampa kerana mereka lebih gembira. Ia akan membuat kita lebih kecewa dan menderita.

Cubalah bersyukur dengan apa yang ada. Jika ingin merasa benar-benar bahagia, cubalah melihat diluar kebiasaan. Setiap dari kita mempunyai definisi kebahagiaan yang berbeza.Mungkin pada orang lain, mereka ingin menjadi seperti kita, dan kita pula ingin menjadi seperti mereka. Yang sebaiknya, jadilah diri sendiri. 

Usah dikejar apa yang tidak mampu kita miliki, tapi jagalah apa yang telah kita punyai. 
Usah difikirkan masa yang masih jauh, sehingga menggadai masa yang ada dengan berfikir dan bermimpi. 

Bukankah itu hanya membuang masa malah merosakkan lagi masa depan kita?Berapa banyak waktu dihabiskan dengan bermimpi yang indah-indah kemudian berduka kerana tidak dapat menggapainya?

Jika anda mencari kebahagiaan, carilah ia didalam hati anda sendiri.

Itulah kata-kata seorang sahabat saya yang juga merupakan seorang abang yang baik terhadap saya.  

Mengapa kita mengimpikan sebuah bukit, sedangkan kita telah mempunyai sebuah gunung?
Mengapa mendambakan sebuah mahligai, sedangkan kita telah memiliki sebuah istana? 

Apa yang cuba saya katakan ialah, sebenarnya kita telah dikurniakan yang terbaik buat diri kita. Isteri yang memahami walaupun tidak begitu cantik , suami yang setia walaupun tidak begitu berharta, rumah yang indah walaupun tidak begitu besar, kereta yang elok walaupun tidak begitu mewah, rezeki yang berkat walaupun tidak terlalu banyak dan kehidupan yang baik walaupun sederhana. 

Belajarlah bersyukur dan usah bermimpi lagi.
Hiduplah di alam realiti dan ketepikan segala ilusi serta fantasi
Jalanilah hidup dengan menjadi diri sendiri 
dan tidak mempertikai apa yang tidak kita miliki.

1 comments:

Anonymous said...

Nice brief and this mail helped me alot in my college assignement. Say thank you you seeking your information.

Post a Comment

What do you say?