Saturday, July 31, 2010

Berserah pada Ilahi

Beberapa hari ini saya hanya tinggal di rumah walaupun cuti seminggu lamanya. Memang terasa sangat bosan. Sememangnya jika tiada kerja, boleh jadi gila agaknya. Bagaimana rasanya menjadi surirumah sepenuh masa. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya kerjaya yang baik. Tidaklah bosan sahaja di rumah tanpa apa-apa kerja. Tuhan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

Bila tidak bekerja, mulalah fikiran memikirkan pelbagai perkara. Kesunyian mendorong fikiran untuk memikirkan perkara yang jarang sekali saya akan fikirkan bila waktu sibuk dengan tugasan. Akhir-akhir ini saya asyik berfikir tentang anak. Rasanya begitu sunyi bila tiada anak. Rasa ingin sekali mempunyai seorang bayi kecil tanda kasih sayang saya dan suami.

Bila difikirkan, perasaan sedih mula menghantui diri. Melihat rakan-rakan sebaya telah mempunyai anak yang comel dan bijak, saya mula merasa suatu perasaan sayu menyelinap di segenap ruang hati. Bilakah masa saya untuk mempunyai anak? Kenapa sehingga sekarang saya masih belum berjaya mempunyai bayi sendiri?
Pelbagai persoalan bermain di fikiran.

Tetapi jika difikirkan berkali-kali, saya tertanya lagi, mampukah saya dan suami menghadapi kehidupan bersama orang baru didalam hidup kami? Mampukah kami berdua menjaga dan mendidik anak dengan betul dan baik? Bersediakah kami untuk menghadapi waktu-waktu sukar jika dikurniakan seorang cahayamata sekarang?

Sesungguhnya, perancangan Tuhan sentiasa baik dan tepat. Dialah yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Serahkan saja padaNya untuk mengatur apa jua jalan kehidupan ini, dan fikirkan sahaja tentang amal ibadat dan pekerjaan yang mampu dilakukan hari ini. Segalanya tentu ada hikmah yang tersembunyi yang belum dapat dilihat sehingga tiba masanya. Semoga Tuhan menentukan segala yang terbaik buat kita semua.

0 comments:

Post a Comment

What do you say?