Sepanjang tahun ini, saya telah membaca banyak buku dan artikel sama ada melalui media cetak dan media elektronik. Membaca bukan sesuatu yang membosankan pada saya. Salah satu hiburan dan terapi terbaik saya ialah melalui pembacaan.
Saya memang suka membaca sejak dari kecil. Sewaktu usia seawal 7 tahun, saya sudah mula membaca buku cerita kanak-kanak. Saya masih ingat pada sebuah buku yang berkulit biru berjudul Bacalah Sayang yang selalu menemani saya sepanjang hari. Buku itu sebenarnya dihadiahkan seseorang tetapi saya telah lupa siapa.
Di usia remaja, saya gemar membaca novel dan majalah sesuai dengan jiwa remaja yang dipenuhi imaginasi dan bayangan indah terutama sekali tentang alam percintaan. Kadangkala saya begitu leka membaca sehingga tidak sedar akan waktu yang berlalu. Bukan sahaja novel, malah saya juga suka membaca buku-buku ilmiah dan artikel.
Bila usia menginjak dewasa, pilihan bacaan saya berubah. Saya lebih gemar membaca majalah dan buku-buku ilmiah serta dokumentari. Tidak kurang juga rencana akhbar yang menyentuh tentang isu-isu semasa. Kini saya amat menggemari genre ilmiah, keagamaan dan motivasi atau bantuan kendiri (self-help). Sesuai dengan kerjaya saya sebagai pendidik, saya merasakan pembacaan begitu penting untuk menambah pengetahuan tentang pelbagai bidang untuk menjadi bahan tambahan didalam pengajaran saya.
Antara penulis kegemaran saya ialah penulis-penulis yang mencatat penjualan buku yang paling laris di pasaran. Saya menggemari mereka kerana ketelitian penulisan, keindahan bahasa serta idea luar biasa yang mereka miliki. Faktor-faktor inilah yang meletakkan mereka sebagai penulis terkenal. Bukan sahaja mereka menjual hasil tulisan, malah mereka sebenarnya menjual idea yang sangat bernilai. Bila seseorang penulis menjual idea mereka, mereka seterusnya mampu ‘menjual diri’ mereka dan melipatgandakan pendapatan mereka dengan kerjaya penulisan.
Antara nama-nama penulis yang sangat saya minati adalah Dale Carnegie, Dr. Wayne W.Dyer, Mitch Albom, Nicholas Sparks, Tony Buzan dan ramai lagi. Penulis-penulis lama seperti William Shakespeare, George Bernard Shaw, Ernest Hemingway, Jane Austen, Nathaniel Hawthorne, John Steinback, Emily Dickinson, D.H Lawrence dan George Orwell juga antara nama-nama penulis mahsyur yang menjadi lagenda dunia penulisan yang turut saya kagumi.
Saya tidak begitu mengenali penulis tempatan kerana mungkin saya tidak begitu terdedah dengan kesusasteraan Melayu kerana saya menuntut di dalam bidang TESL yang mendedahkan saya kepada kesusasteraan Inggeris. Namun, saya menyimpan cita-cita untuk mendekati bidang kesusasteraan Melayu dengan lebih mendalam. Malah saya amat mengagumi keindahan penulisan Datuk (Dr) A. Samad Said, Prof. Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad dan Datuk (Dr) Usman Awang yang telah dikenali sebagai Sasterawan Negara dan mendapat anugerah dan gelaran tertentu hasil sumbangan mereka dalam bidang kesusateraan Melayu.
Ternyata, membaca dan menulis mempunyai perkaitan yang amat rapat. Keindahan penulisan akan membentuk penceritaan dan boleh menjadi sesuatu yang sangat mengasyikkan untuk dibaca.
Saya berpendapat, seharusnya anak-anak muda dipupuk untuk mencintai kedua-dua tabiat suka membaca dan menulis kerana kedua-duanya adalah elemen yang sangat penting untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Tanpa ilmu, tiada kemajuan yang akan dapat dicapai. Ilmu hanya akan dapat diperolehi melalui pendidikan dan pembacaan. Sekiranya generasi muda tidak gemar membaca,atau tidak mampu menulis dengan baik, entah bagaimana kelak masa depan negara yang bakal diterajui golongan muda hari ini. Kebanyakan mereka begitu leka dengan hiburan dan begitu cetek pengetahuan. Tidak mustahil, negara dan bangsa akan pupus jua suatu hari jika mereka tidak mempunyai ilmu yang cukup.
Membaca haruslah dijadikan amalan kerana membaca itu sememangnya jambatan ilmu. Mulakan membaca sesuatu yang menarik minat anda jika anda paling tidak suka membaca, kerana lama-kelamaan anda mungkin boleh jatuh cinta dengan buku dan boleh melakukan apa saja dengan pengetahuan yang luas.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?