Saya memberi tugasan pembentangan kepada para pelajar bertemakan cinta.
Topik yang mudah, tapi boleh ditafsirkan mengikut pemikiran tersendiri setiap orang.
Saya mendapat pelbagai gambaran mengenai tafsiran cinta bagi mereka.
Ada yang bercakap tentang cinta terhadap ibu bapa. Ada pula yang membentangkan tentang subjek yang mereka minati. Sukar betul mencari pendapat yang boleh saya banggakan dan boleh dikategorikan sebagai matang. Kebanyakan mereka hanya mampu membentangkan tentang cinta yang sudah biasa saya dengari. Itu bermakna, para pelajar masih belum dapat berfikir secara kritikal dan matang.
Saya mengharapkan akan ada pelajar yang mampu memberikan pembentangan yang lebih menarik dan mengupas isu ini mengikut pandangan yang lebih bernas dan berasas. Namun, masih belum ada yang memuaskan hati saya. Saya memilih tema cinta kerana ianya satu tema yang paling mudah untuk dibincangkan dan berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Jika topik semudah ini pun mereka sukar untuk memberikan ulasan yang menarik dan tersendiri, apatah lagi jika saya mahu membicarakan tentang isu-isu semasa di dalam dan luar negara yang memerlukan pengetahuan yang luas.
Jika mampu saya katakan dan bentangkan pendapat saya berkenaaan cinta, saya akan mulakan dengan persoalan yang mampu membuatkan audiens berfikir. Mungkin saya akan tanyakan mereka tentang akibat cinta terlarang atau obsesi cinta yang bisa membuat seseorang sasau. Saya juga mungkin akan berbicara tentang perbezaan cinta orang-orang tua dizaman dahulu dan sekarang. Saya juga mampu mengusulkan perbincangan tentang cinta suci dan cinta berlandaskan maksud tertentu seperti nafsu serta harta. Banyak lagi yang mampu diperkatakan tentang cinta bergantung kepada sejauh mana seseorang itu faham tentangnya.
Kemungkinan yang saya fikirkan ini akhirnya berjaya disimpulkan dalam satu ayat yang mudah. Nampaknya para pelajar sebenarnya tidak betul-betul berusaha untuk mencari idea berkenaan topik ini dan tidak berkemahiran untuk menjadikannya sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Mereka tidak mahu membuat kajian dan melakukan tugasan sekecil ini dengan sebaik mungkin.
Mungkinkah para pelajar ini berfikir bahawa mereka tidak perlu menyusahkan diri mereka untuk mencari maklumat dan menambah pengetahuan?
Jika inilah halnya, maka bagaimana mereka mahu mengecap kesenangan kerana tiada kesenangan yang tidak bermula dengan kesusahan.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?