Saya suka membawa pelajar saya untuk belajar di Pusat Sumber Pembelajaran, atau perpustakaan. Di sana, terdapat banyak buku, majalah dan bahan bacaan yang baik untuk memupuk minat belajar. Kadangkala, pelajar mahu semuanya diberikan, atau dalam bahasa Inggeris, 'spoon-feed', walaupun mereka sudah belajar di peringkat kolej. Sikap malas membaca memang amat ketara. Akibatnya, ramai pelajar yang tidak berpengetahuan dan menyukarkan mereka apabila ingin mendapatkan pekerjaan. Walaupun mungkin pencapaian mereka bagus, tapi disebabkan kekurangan pengetahuan yang akhirnya membuatkan mereka sukar berkomunikasi, mereka gagal mendapat pekerjaan yang baik.
Tujuan saya membawa pelajar ke perpustakaan bukan semata-mata ingin merubah suasana bosan didalam kelas, tapi saya dapat memperkenalkan mereka kepada buku-buku dan bahan bacaan lain yang sebenarnya amat menarik yang mereka tidak ketahui. Kebanyakan pelajar hanya tahu membaca majalah hiburan dan melayari laman web yang tidak mendatangkan apa-apa kepada mereka. Jarang sekali mereka mahu membelek surat khabar seperti The Star, The News Straits Times atau The Sun. Amat sukar melihat pelajar yang membelek majalah seperti The Reader's Digest, Just English atau Times yang mengandungi banyak maklumat berguna. Di perpustakaan, saya suka perkenalkan mereka dengan bahan bacaan ilmiah seperti ini supaya mereka akan cuba membacanya dan seterusnya meminati bahan-bahan ilmiah yang boleh mengembangkan idea dan pengetahuan.
Di satu sesi kelas saya minggu lepas, saya membaca satu buku motivasi yang amat menarik. Ia berkenaan Daily Victory Log yang amat menarik dan memberi satu idea baru kepada saya. Ia adalah sebuah catatan kejayaan seseorang yang berjaya dilakukan setiap hari. Berbentuk seperti sebuah jurnal atau diari harian, ia adalah satu diari yang amat berbeza dan unik.Saya kongsikan maklumat yang terkandung di dalam buku tersebut dengan pelajar-pelajar saya. Dengan perkongsian ini, saya harap saya dapat membantu bukan saja pelajar saya, tetapi semua pembaca yang membaca blog ini.
Apa itu Daily Victory Log?
Daily Victory Log ialah suatu catatan kejayaan harian yang anda boleh lakukan untuk mencatatkan apa kejayaan kecil dan besar yang berjaya anda lakukan setiap hari.
Bagaimana Daily Victory Log berfungsi?
Ia sangat berkesan untuk meningkatkan motivasi diri anda dan mengingatkan anda untuk terus-terusan mencipta kejayaan, dari sekecil-kecil kejayaan, sehingga kejayaan yang lebih besar. Akhirnya, anda mampu menyimpan dan mengekalkan kejayaan anda sedikit demi sedikit.
Bagaimana melakukannya?
Setiap hari, anda harus melakukan catatan tentang kejayaan anda di penghujung hari. Sebagai contoh:
1. Hari ini, saya berjaya mengawal kemarahan saya terhadap anak lelaki saya walaupun dia tidak membuat kerja sekolah.
2. Saya berjaya berpuasa satu hari penuh walaupun cuaca hari ini sangat panas.
3. Saya bangga kerana hari ini saya berjaya melakukan senaman selama 1 jam.
Banyak lagi kejayaan-kejayaan yang anda boleh catatkan di dalam Daily Victory Log anda. Mungkin anda begitu sukar melakukan sesuatu, tetapi dengan adanya catatan kejayaan ini, anda mungkin berjaya melakukannya sedikit demi sedikit.
Tips yang perlu ada untuk Daily Victory Log anda:
1. Hanya catatkan kejayaan anda, tidak kira kecil atau besar kejayaan anda pada hari tersebut.
2. Gunakan perkataan BERJAYA di dalam setiap catatan kejayaan anda.
3. Tulis mengikut gaya bahasa anda sendiri dan menggunakan bahasa yang anda mudah fahami. Jika anda lebih menggemari Bahasa Inggeris, tuliskan Daily Victory Log anda didalam Bahasa Inggeris.
4. Anda boleh meletakkan gambar yang ada yang merakamkan kejayaan anda sekiranya ada. Contohnya, jika anda menerima anugerah atau kenaikan pangkat, anda boleh meletakkan gambar anda sewaktu menerima anugerah tersebut.
Di sini, saya catatkan Daily Victory Log saya untuk hari ini, 6 Jun 2010.
Saya memilih untuk menulis di dalam Bahasa Inggeris.
TIA'S DAILY VICTORY LOG
June 6, 2010
1. I managed to write a new entry about Daily Victory Log in my blog.
2. I managed to teach Listening (Unit 1) to 3 classes today and they understood the lesson thoroughly.
3. I managed to meet a very important person today to deal about something important in my life.
4. I managed to make my husband feel less stress today.
5. I managed to finish my work on time.
6. I managed to check my students' essays and write some comments on how they can improve their essays.
Ini adalah antara kejayaan-kejayaan kecil yang berjaya saya lakukan untuk hari ini.
Anda boleh mencubanya dan diharap anda akan lebih bersemangat dengan adanya catatan kejayaan anda sendiri.
Orang yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal.
Perubahan yang kekal itu selalunya bermula dengan perubahan yang kecil.
Anda sendirilah yang mampu menentukan hidup anda, bukan orang lain.






0 comments:
Post a Comment
What do you say?