Selalu saja aku dengar orang disekelilingku mengeluh tentang masalah. Banyak kali telah aku menulis tentang perkara ini. Rasanya kali ini aku mahu juga meluahkan masalah yang aku lalui selama ni..tapi akhirnya masalah dan dugaan itu berlalu juga kerana sabar. Cerita kali ini berkisar tentang kesabaran, dan ia benar-benar terjadi kepada diriku sendiri.
Dulu, aku pernah bercinta dengan seorang pemuda yang umurnya jauh lebih tua dariku. Aku namakan sahaja dia sebagai H. Jarak usia kami ialah 11 tahun. Lama juga aku bercinta dengannya. Waktu itu, aku bukanlah mahu berkahwin pun dengan dia. Maklumlah, masih remaja dan masih mahu berseronok sahaja. Tapi aku sedih juga kerana menganggap semua orang tidak memahami perasaanku.
Masa bercinta dengan, aku sudah tahu yang keluargaku tidak langsung merestui perhubungan kami memandangkan kami sekampung dan dia tidak berpelajaran tinggi sepertiku. Walaupun aku bercinta, tapi aku belajar dengan rajin dan berjaya ke universiti. Sewaktu di universiti, fikiranku lebih terbuka dan aku memang tidak memikirkan tentang percintaan.
Bila masuk tahun kedua, aku mula sedar yang aku tidak boleh leka dan lalai. Walaupun hubungan dengan H masih ada, tapi sudah semakin pudar. Aku akhirnya memutuskan hubungan dengannya kerana aku mahu menumpukan pada pelajaran. Usiaku pun masih terlalu muda sedangkan dia sudah berumur 30 tahun. Aku agak sedih dengan perpisahan itu, tapi aku tahu kesedihan itu akan pudar bersama masa.
Selepas beberapa bulan, aku mendapat tahu yang dia telah berkahwin dengan seorang perempuan yang 3 tahun lebih tua darinya. Aku tidak tahu apa perasaanku waktu itu, tapi aku ingat lagi di hari perkahwinannya, aku menangis dan agak sedih. Maklumlah, aku sayang juga kepadanya walaupun aku bersikap gila-gila.
Selepas dia berkahwin, dia masih juga menghubungiku sekali sekala. Aku juga mengenali isterinya itu. Mungkin kerana cemburu, isterinya mengesyaki yang dia masih menyintaiku dan berfikir yang aku masih juga menyintainya, sedangkan pada waktu itu, aku tidak langsung mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya. Malah, aku sememangnya menumpukan perhatian pada pelajaran. Walaupun aku tidak nafikan yang aku agak playgirl masa tu. Padaku, aku boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, dan sememangnya aku mempunyai ramai kenalan. Ada juga yang ingin menjadi teman istimewa, tapi aku tidak serius dengan sesiapa. Aku hanya main-main saja.
Isterinya yang cemburu itu selalu menghubungiku dan menghantar pesanan yang bukan-bukan. Adakalanya, dia bercakap dengan lemah lembut, adakalanya dia akan memaki hamun. Aku sangat malas melayan kegilaannya. Aku anggap dia cemburu dan sepatutnya dia tidak perlu berasa takut kerana aku langsung tidak berperasaan terhadap suaminya.
Pada suatu malam, aku dan adik bongsuku sedang asyik menonton televisyen di rumah. Kebetulan, waktu itu cuti semester, jadi aku berada sepanjang masa di rumah dan menghabiskan masa bersama adik ku. Tiba-tiba pintu rumahku di ketuk. Aku asyik menonton TV dan adikku membuka pintu. Dengan kuatnya dia menghempas pintu dan berlari mendapatku. Katanya, isteri H bersama ibu saudara H dan seorang temannya datang untuk berjumpa denganku. Aku mengarahkan adikku untuk mengunci sahaja pintu rumah. Waktu itu jam menunjukkan pukul 11 malam. Adikku cepat-cepat keluar dan memberitahu mereka yang aku sudah tidur, lantas mengunci pintu. Sebaik pintu dikunci, ketukan bertalu-talu dihayunkan sambil dia menjerit memanggil namaku. Aku mula panas hati tapi aku tahan. Memandangkan pada waktu itu hanya aku dan adikku sahaja yang berada di rumah, aku tidak berani untuk membuka pintu.
Kemudian, perempuan itu menjerit dengan lebih kuat dan mengeluarkan kata-kata kesat. Aku mula hilang sabar dan mengajak adikku untuk keluar. Pintu ku buka dan aku duduk di tangga tanpa mempelawa mereka masuk. Aku lihat teman perempuan itu bediri agak jauh dan memerhatikan taman bunga ibuku. Ibu saudara H pula bercekak pinggang dan memerhatikanku. Aku bertanya kenapa mereka datang mengganggu kami berdua. Maka, isteri H mula bertanya aku pelbagai soalan tentang H.
Antara yang aku masih ingat ialah pertanyaan tentang makanan kegemaran H, sejak bila kami bercinta dan macam-macam lagi. Yang aku tak dapat lupakan, dia berkata bahawa H selalu termenung sambil menonton TV dan meletakkan tangannya ke dahi kerana asyik memikirkanku. Aku agak terkejut, tapi aku rasa seperti hendak ketawa sekuat-kuatnya. Aku jawab persoalannya dengan selamba. Untuk soalan yang paling ‘panas’ itu, aku hanya katakan yang aku tiada kena mengena jika H masih memikirkanku, kerana aku sudah ada teman lelaki yang lebih kacak (padahal aku memang tak ada teman lelaki pun). Dia menyerang aku dengan pelbagai tuduhan yang menghina dan ibu saudaranya pula tidak habis-habis menengking aku dan adikku. Aku memang tidak sabar lagi dan terus aku menghalau mereka pulang dengan ugutan untuk memanggil polis kerana aku sedar hakikat bahawasanya aku berhak berbuat demikian kerana mereka menyerang di dalam kawasan rumahku. Mereka nyata ketakutan dan berlalu dengan perasaan marah. Teman perempuan itu menghampiiriku dan meminta maaf kerana telah dipaksa mengikut perempuan itu datang menyerangku. Aku diam dan menutup pintu rumah sambil bersiap sedia untuk menceritakan babak dramatik itu kepada ibuku. Bila ibuku pulang, aku dan adikku terus menceritakan hal yang terjadi dan ibuku sangat marah. Malam itu juga ibuku menelefon H dan memberi amaran kepadanya supaya perkara ini tidak terjadi lagi. H yang tidak mengetahui akan kejadian itu meminta maaf berkali-kali kepada ibuku dan mengeluh dengan sikap bodoh isterinya yang telah memalukannya.
Mungkin malam itu, mereka bergaduh besar kerana aku tahu H seorang yang baik tetapi amat tegas. Sepanjang mengenalinya, aku sudah tahu benar akan sikap tegasnya. Aku sangkakan perkara itu berakhir disitu sahaja.
Keesokan harinya, perempuan itu menelefonku dan memarahiku lagi. Aku benar-benar marah dan memaki hamun semula. Aku dahla panas baran juga. Semua nama binatang yang aku kenal aku sebutkan kepadanya di telefon. Dia pula memberitahu yang dia akan ke rumahku sekali lagi untuk bertemu ibu dan abahku dan mengadu kepada mereka. Waktu itu aku sedang memandu dan dalam perjalanan ke Kota Bharu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa marahnya aku, tetapi sejurus kemudian, ibuku menelefon dan memberitahu bahawa H dan perempuan itu, serta ibu H berada di rumahku. Aku panik. Ibu mengarahkan aku untuk terus berada di Kota Bharu dan melarangku untuk pulang kerana bimbang akan keselamatanku. Manalah tahu kalau perempuan itu menyerangku dengan senjata atau asid pula kan. Maklumlah orang tengah menggila. Segala perancanganku untuk enjoy bersama adikku tergendala. Aku hanya menunggu dan terus memandu tanpa arah tuju.
Selepas hampir dua jam, ibuku menelefon dan menyuruhku pulang. Ibu hanya sempat bercerita sedikit sebanyak tentang kejadian itu. Aku mendengar dan dengan sakit hati, mengambil sesenduk nasi kerana sudah kelaparan. Aku duduk di depan TV dan menonton Doraemon sambil makan. Baru sahaja masuk suapan ketiga, arwah abahku pulang dari surau di depan rumahku dan dengan suara yang tegas bertanya,
“ Kenapa Kak Long nak rosakkan rumahtangga orang?”
Aku terus tersentak dan tidak lalu makan. Aku lihat wajah ibuku yang terkejut dengan pertanyaan arwah abahku. Aku menjawab,
“Abah tak faham cerita. Abah hanya dengar daripada mulut orang…”
Belum sempat aku teruskan ayat, arwah abah melenting dan menengking aku dengan kuat.
“Tak payah gangguuuuu rumah tanggaaaaa orannngggggg!!!!!!!!!!!”
Aku terus menangis dan menghempaskan pinggan ke lantai sambil menjawab,
“Abah memang takkan percaya dan faham..dan Abah memang tak pernah sokong Kak Long atau Ma dalam semua benda. Abah tak pernah cuba mendengar. Abah hanya tahu dengar kata orang saja…”
Abahku menjerit lagi,
“Dahhhhhhh…diammmm….”
Ibuku tidak sempat berkata apa-apa untuk menyokongku. Abahku terus masuk ke bilik dan seperti mahu mengamuk. Waktu itu juga kedengaran azan berkumandang dan mungkin dia tidak jadi untuk terus mengamuk. Aku menangis teresak-esak dan ibu juga menangis. Dari dalam bilik, aku lihat adik bongsuku turut menangis. Aku berlari ke bilik dan menangis teresak-esak. Aku rasa sangat marah dan benci dengan perempuan gila yang menyebabkan Abah menyalahkan aku yang tidak berdosa.
Aku yang masih dirasuk perasaan sedih, terus mengambil beg pakaian dan menyumbat sebanyak mana pakaianku ke dalam beg. Tanpa menukar baju, aku terus keluar dan berlari laju. Kebetulan pula, Abah berada di dalam biliknya. Ibuku pula di bilik air dan tidak menyedari yang aku sudah lari meninggalkan rumah. Sambil menangis, aku berlari laju tanpa mempedulikan kenderaan yang lalu lalang. Suasana senja Maghrib itu menyebabkan tiada sesiapa yang perasan bahawa aku telah lari dari rumah. Aku tidak tahu hendak menuju ke mana pada waktu itu, lalu aku bersembunyi di bawah jambatan konkrit yang baru siap dibina bersekali lebuhraya yang besar. Aku menangis dan berasa sungguh sedih. Yang buat aku amat kecewa ialah arwah abahku tidak langsung cuba mendengar penjelasanku dan hanya mempercayai kata-kata orang yang melihat isteri H datang menyerang ke rumahku petang itu.
Aku duduk dan menangis teresak-esak agak lama di bawah jambatan tersebut.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Panggilan dari rumah.Aku tidak menjawabnya sehingga beberapa kali. Bila ku jawab, aku mendengar suara ibuku yang teresak-esak menangis dan kerisauan mencariku. Dia bertanya di mana aku.Aku hanya mampu tersedu-sedu dan bertambah sayu bila mendengar esak tangis ibuku. Ibu memberitahu yang Abah keluar mencariku di sekitar kampung dan kata ibu, Abah juga menangis kerana risaukan keselamatan anak gadisnya. Ibu juga berkata yang Abah menyuruh ibu memujukku pulang, tapi aku tetap tidak boleh lagi pulang ke rumah. Ibu bertanya ke mana aku hendak pergi, lalu aku memberitahu yang aku akan pergi ke mana sahaja.
Aku terus menghubungi sahabat baikku dan meminta dia datang mengambilku di suatu kawasan. Tapi aku tidak tahu bagaimana mahu pergi ke sana. Tiba-tiba sebuah Proton Wira hijau gelap berhenti dan aku meminta tolong pemandunya menghantar aku ke pekan berhampiran. Pemiliknya sepasang suami isteri yang baik. Aku hanya mampu menangis. Si suami bertanya mengapa aku berada di bawah jambatan dengan beg pakaian, dan bertanya adakah aku ditinggalkan oleh lelaki di situ?Mungkin dia menyangka aku ditinggalkan sang kekasih.
Aku hanya menjawab yang aku lari dari rumah kerana dimarahi Abah. Soalan lain aku tidak jawab langsung. Pasangan itu menunggu sehingga sahabatku datang mengambilku dan membawa aku pulang ke rumahnya. Bila aku sudah semakin pulih dari tangisan, aku menelefon ke rumah dan aku dengar suara ibuku masih teresak-esak. Ibu kata, Abahku masih menunggu kepulanganku tapi malu untuk bertanya ibuku apa-apa.
Keesokan harinya, ibu datang menjemputku dari rumah sahabatku dan kami sama-sama berpelukan. Ibu membelikan aku tiket ke Shah Alam untuk aku pulang dan menenangkan diri di sana. Ibu nyata amat sedih tetapi aku tidak mampu untuk berhadapan dengan Abahku. Ini semua terjadi kerana cemburu buta isteri H yang menuduh aku perkara yang aku sendiri tidak tahu apa-apa.
Kini, perkara itu telah tujuh tahun berlalu.
Abah ku kini tiada lagi. Abah meninggal dunia setelah 6 bulan aku berkahwin dengan suamiku.
Aku pula telah 4 tahun bertemu jodoh dengan suamiku. Di hari perkahwinanku, perempuan tidak tahu malu itu menghubungi rumahku dan mengucapkan tahniah serta bertanya kenapa dia tidak dijemput ke majlisku dengan tanpa rasa malu sedikitpun. Setelah apa yang dia lakukan terhadapku dan keluargaku sehingga aku dan Abah tidak bercakap hampir 3 bulan lamanya, sungguh tidak malu dia bertanya soalan seperti itu.
Minggu lepas pula, aku mendapat tahu bahawa H sudah menceraikan isterinya itu. Isterinya yang JAHAT.
Aku agak terkejut kerana tidak menyangka H mengambil keputusan besar itu setelah mereka dikurniakan 3 anak. Tapi, aku mendapat tahu bahawa isterinya terlalu banyak menghina ibu H dan tidak mahu tinggal bersama ibu H kerana si tua itu sedang sakit dan sudah nyanyuk. Lebih buruk lagi, dia juga cemburu terhadap layanan H terhadap ibunya dan mengatakan yang H lebih menyayangi ibunya berbanding isteri sendiri. H mengambil keputusan kerana sudah tidak tahan lagi dengan penghinaan dan sikap keterlaluan isterinya itu lalu menceraikannya.
Apa yang ku dengar lagi dari orang-orang kampung yang becerita kepada adik lelakiku, H kini menjaga ibunya yang nyanyuk itu dan sedang sakit di rumah mereka yang terletak selang beberapa buah rumah dari rumahku. Lebih menyedihkan, H hanya bekerja kampung dengan memotong cermin di sebuah kedai cermin di kampungku dan tidak lagi berniaga seperti dulu.
Walaupun terkejut dengan kisah itu, aku rasa H memilih jalan yang baik dengan memilih ibu berbanding isterinya yang jahat itu. Sememangnya itu adalah langkah yang baik kerana walau apapun, tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu lebih besar. Aku tidak terperanjat dengan tindakan H kerana dia sememangnya seorang lelaki baik dan tegas terhadap keputusannya walaupun masa depan anak-anaknya menjadi pertaruhan akibat perceraian ini. Sekurang-kurangnya dia tidak bersikap dayus dengan memilih isteri yang jahat berbanding ibu yang melahirkan dan mendidiknya selama ini.
Segala sikap jahat isterinya kerana membuat hubungan aku dan arwah Abah berantakan, kerana menuduh dan mencerca aku yang tidak bersalah, kerana menghina ibu kepada suaminya dan cuba merosakkan keamanan hidupku telah Tuhan balas dengan kesabaranku. Aku tidak pernah melakukan apa-apa terhadapnya walaupun aku mampu melakukan sesuatu yang buruk terhadap rumahtangganya dahulu.
Berkat kesabaranku, aku tidak perlu menjadi jahat sepertinya untuk membalas segala perbuatannya. Allah itu Maha Adil dan pastinya membalas kesabaran setiap hambaNya. Bukan aku bersyukur dengan perceraian mereka, tetapi Allah telah membuktikan kepadaku bahawa aku tidak bersalah. Akhirnya ternyata, dia tidak layak menjadi isteri H yang baik. Perceraian itu bukan salahku dan bukan terjadi keranaku, tetapi H pasti sudah mengerti segala-galanya kini.
Sabar itu pahit, tetapi hasilnya cukup manis.
Aku hanya mampu berdoa semoga Allah memberikan kebahagiaan kepada H suatu hari nanti dan membalas kebaikan yang dilakukan kerana menjaga ibunya selagi dia masih hidup.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?