Abubu, kucing saya adalah seekor kucing yang sangat manja.
Pada awal kelahirannya, ia merupakan kucing yang sempurna seperti kucing lain.
Tetapi, sejak September 2010, Abubu diserang penyakit yang membuatkan ia menjadi lumpuh. Pada mulanya, saya dan suami menyangka Abubu hanya mengalami masalah penglihatan. Bila diamati, rupa-rupanya Abubu tidak mampu berjalan lagi.
Saya membawa Abubu ke klinik haiwan kerajaan. Veterinar di klinik itu memberitahu bahawa usia Abubu tidak panjang. Ia mungkin akan mati. Bila pulang ke rumah, saya cuba melatih Abubu berjalan perlahan-lahan., Nyata, Abubu amat tertekan dengan keadaan yang dialaminya. Matanya juga selalu mengeluarkan cecair yang banyak. Saya terpaksa menyapu airmatanya dan menitikkan ubat mata untuk membantu dia melihat dengan jelas. Perhatian yang lebih saya berikan terhadapnya. Jika dulu, saya tidak begitu suka bermain dengannya, tetapi sejak dia ditimpa penyakit, saya rasa sangat kasihan melihat keadaannya.
Setiap hari selepas pulang dari kerja, saya akan melatih Abubu berjalan. Memang dia tidak mampu untuk menggerakkan kaki belakangnya. Kedua-duanya keras dan tidak mampu dibengkokkan. Saya mengunakan bangku kecil untuk memberi kekuatan kepada kakinya. Kadangkala, saya dapat lihat Abubu seperti kepenatan, tetapi semangatnya kuat.
Selepas dua minggu berlatih, akhirnya Abubu dapat berjalan walaupun perlahan sungguh gerakannya. Saya rasa sangat gembira melihat perubahan positif itu. Malangnya, setiap dua hari, Abubu akan sakit dan mulutnya akan berbuih-buih. Saya melakukan banyak kajian melalui Internet tentang simptom yang ia alami. Akhirnya, saya dapat mengenalpasti bahawa Abubu bukan sekadar lumpuh, malah kelumpuhannya disebabkan oleh penyakit tetanus, iaitu penyakit kancing gigi.
Bila mengetahui keadaan tersebut, saya meletakkan Abubu di dalam sangkar dan menutup sangkar itu dari sebarang cahaya. Saya juga memberikan antibiotik yang biasanya digunakan ketika demam. Antibiotik tersebut bukanlah antibiotik khas untuk binatang, tetapi untuk manusia! Pada ketika itu, saya hanya melakukan semampu-mampunya untuk menyelamatkan Abubu. Usaha saya berkesan kerana setiap kali saya melakukan dua perkara itu, Abubu akan pulih seperti sediakala.
Selepas beberapa bulan, Abubu kelihatan ceria..sehinggalah ketika saya bercuti semester. Badannya sejuk sekali dan ia asyik tidur tanpa makan dan minum. Saya mengagak, Abubu tidak akan hidup lama lagi. Walaupun sedih, saya redha. Jika kematian lebih baik buatnya, saya terpaksa terima. Tapi, saya tidak hanya berserah, malah saya membawanya sekali lagi ke klinik haiwan tersebut. Doktor memeriksa tekanan darah dan suhu badan Abubu. Seperti dulu, dia memberitahu bahawa Abubu tidak akan hidup lama lagi.
Saya bawa Abubu pulang ke Kelantan kerana pada hari tersebut, saya dan suami dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Kami menyangka dapat meninggalkan Abubu di tempat perlindungan sementara haiwan di klinik tersebut, tetapi kucing yang sakit tidak diterima oleh pihak klinik. Jadi, saya terpaksa membawa ia pulang bersama. Empat hari berada di kampung, Abubu semakin lemah. Tetapi dia tetap bernyawa.
Selepas itu, kami kembali ke Kedah. Abubu ditempatkan di tempat yang berasingan dari 6 ekor kucing saya yang lain. Setiap hari, Abubu kelihatan ceria dan mampu berjalan seperti biasa, namun penglihatannya sudah hilang sepenuhnya. Abubu telah menjadi buta. Tapi, ia kucing yang cepat belajar. Setiap laluan dan bilik di rumah sudah dikenalpastinya, malah ia dapat mengesan pergerakan dengan hanya mendengar bunyi. Jika saya memanggil namanya, kepalanya akan berpusing mencari arah suara saya. Jika saya melintas dihadapannya, ia akan mengiau dan minta diangkat.
Sehingga kini, selepas 3 bulan, dan selepas beberapa pemeriksaan dan jangkaan doktor bahawa ia akan mati, Abubu masih bernafas dan semakin ceria. Doktor bukan Tuhan, dapat menentukan ajal, mereka hanya mampu menduga.
Ketentuan Ilahi adalah sesuatu yang pasti. Abubu, kucingku yang kuat semangat ternyata masih hidup sehingga hari ini..dan entah sampai bila. Melihat kekuatan semangatnya meyakinkan saya, tiada kuasa yang mampu menentukan hidup mati dan takdir setiap yang bernyawa kecuali Dia Yang Maha Berkuasa.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?