Saturday, July 24, 2010

Tentang Maruah dan Harga Diri

Jika mencari serbuk pencuci handalan yang mampu membersihkan kekotoran degil, pergi sahaja ke mana-mana kedai.Pastinya ratusan jenama serbuk pencuci yang boleh dipilih. 
Jika mencari pewangi yang mampu menghilangkan bau busuk, banyak pilihan yang mampu kita buat dan pelbagai pilihan pewangi yang sesuai dengan selera dan personaliti kita.

Tapi apakah ada satu bahan pencuci yang bisa menghapuskan dosa, serta mencuci maruah kita?
Apakah ada bahan peluntur yang mampu melunturkan kekotoran dosa dan noda yang kita palitkan sepanjang kehidupan kita?
Apakah ada satu wangian yang mampu mengharumkan nama kita yang telah busuk?
Paling penting, apakah ada satu cara yang boleh membetulkan kesilapan dan kembalikan maruah yang telah hilang?

Masih saya ingat suatu waktu dulu, sewaktu saya masih menuntut di Universiti Teknologi MARA, UiTM Shah Alam, saya mengalami sakit 'misteri' dan menjalani proses rawatan secara tradisional. Penyakit itu ialah penyakit gangguan jin dan syaitan. Tidak pernah saya sangka saya akan mengalaminya. Malah sebelum terkena, saya agak tidak percaya adanya penyakit seperti itu. Bila sekali terkena, barulah saya faham bagaimana rasanya. Malah, perkara ini disebutkan dengan terang dan jelas di dalam al-Quran dan setiap Muslim harus melindungi diri dari gangguan jin dan syitan yang suka mengganggu. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang harus sentiasa diamalkan untuk melindungi diri dari makhluk halus ini. 

Orang yang merawat saya pada masa itu ialah seorang ustaz dan seorang wanita. Cukuplah saya namakan dia sebagai Pak Cik W. Dia seorang yang sangat baik. Selama setahun saya menjalani proses rawatan, kerana ia berterusan dan sentiasa mengganggu saya. Kerana selalu terkena dan menjalani rawatan bersamanya, hubungan kekeluargaan kami terjalin. Dia sendiri telah mengambil saya sebagai anak angkat. Waktu itu, saya masih belum berkahwin. 

Pak Cik W pernah berpesan kepada saya, katanya : 
'Maruah itu sesuatu yang tiada harga. Apa harga yang boleh dibayar untuk maruah? Tiada harga. Maruah lah satu perkara yang bila hilang, wang tidak mampu mengembalikannya'. 

Kata-kata itu buat saya tersentak dan berfikir sehingga ke hari ini. Pengalaman hidupnya yang terlalu banyak disampaikan kepada saya dengan beberapa ayat yang cukup bermakna. Kerana pesanan itu, saya sedar akan tentang banyak perkara. Saya sedar, nama baik itu cukup besar nilainya. Maruah diri itu terlalu mahal harganya. Pegangan diri itu cukup kuat untuk kita berpaut kepadanya. Agama itu cukup penting untuk memimpin kita.

Maruah diri seakan tidak bernilai pada pandangan kebanyakan orang masa kini.
Ramai yang sudah tidak tahu menjaganya, terutama generasi muda. Semakin hari semakin banyak kisah menyayat hati yang terjadi. Semakin banyak kes pembuangan bayi yang dilaporkan oleh media massa. Itu yang dilaporkan. Yang tidak dilaporkan mungkin lebih banyak lagi. Saban hari, semakin meningkat kes rogol dan bunuh yang kita dengar dan baca di akhbar. Dimanakah maruah mereka yang melakukan semua ini?

Tapi jika orang muda yang melakukan perkara yang tidak bermaruah, mungkin logiknya kerana usia yang muda dan ceteknya pengetahuan. Mereka masih boleh mengubah diri. Tapi jika orang tua yang sepatutnya sudah banyak melalui ranjau hidup dan pengalaman, masih tidak tahu menjaga maruah diri dengan melakukan pelbagai dosa dan kemaksiatan, itu malah lebih memalukan. 

Namun, masih ramai yang tidak sedar yang mereka sebenarnya sudah tua. Masih ramai yang merasakan tidak akan mati. Masih ramai yang hatinya masih gelap tanpa cahaya. Masih ramai yang hidupnya begitu sebati dengan maksiat dan dosa. 
Mereka tidak kisah hidup dengan nama yang buruk dan tiada maruah diri. 
Maknanya mereka memang tiada harga diri. 
Maka, mereka yang begini tiada nilai. 
Jika di dunia sudah tidak tahu nilai menjadi seorang manusia dan tiada rasa kehambaan, diakhirat sana sudah tentu Allah pun tidak sudi memandang atau mengingati mereka lantaran didunia pun mereka tidak pernah mengingati Allah.

Jika hidup dengan dosa menjadi pilihan, 
dan jika hidup dengan rasa bersalah saja yang tertinggal, mati pun bukan jalan terbaik. 
Begitulah dengan hakikat hidup dengan nama yang busuk dan maruah yang hilang.

Rupanya, untuk mencuci dosa hanyalah semudah memohon taubat selagi pintu taubat masih terbuka dan tidak mengulanginya kembali sampai bila-bila. Allah itu Maha Pengasih, membuka pintu taubat dan Maha Pengampun, kerana sedia mengampunkan hambaNya yang dosanya sebanyak buih dilautan. 
Tapi siapa yang mahu merebut peluang sebaik itu?

Betapa malunya hidup menumpang di rumah orang, tapi tidak berterima kasih.
Betapa hinanya hidup dengan kudrat dan nikmat kurniaan Allah di bumi milikNya, tapi tidak pernah sujud dan menghamba padaNya.





1 comments:

Ken Wooi said...

yeah.. dignity is important.. nice story.. =)

Post a Comment

What do you say?