Petang tadi sekitar pukul 5.00 petang, telefon bimbit saya berdering beberapa kali. Panggilan daripada Aiman, salah seorang mentee saya. Mentee adalah perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada kumpulan pelajar dibawah bimbingan pensyarah yang terlibat dalam Program Mentor Mentee yang merupakan satu program yang sangat bermakna dan dijalankan di Kolej MARA serta MRSM. Ia lebih mudah ditakrifkan sebagai kumpulan anak-anak angkat sementara kepada para pensyarah, selama mereka belajar di kolej ini.
Panggilan Aiman tidak saya jawab.
Menjelang Maghrib, saya menghantar satu SMS bertanyakan sebab dia menghubungi saya lewat petang tadi.
Rupa-rupanya, malam ini Aiman akan berangkat ke Bangi untuk mendaftar sebagai pelajar di maktab perguruan. Hati saya tersentak kerana tidak menyangka Aiman yang amat saya sayangi akan pergi meninggalkan kami. Perasaan saya bercampur baur. Keputusan yang dibuat agak mendadak, walaupun selama beberapa hari ini, dia telah memberitahu dan bertanya pendapat tentang tawaran yang diterimanya itu. Resah dan buntu juga dibuatnya apabila tiba-tiba dia memberitahu bahawa malam ini dia akan berangkat ke sana dengan menaiki bas MARALINER di hadapan pintu masuk ke Kolej MARA Kuala Nerang ini.
Aiman sebetulnya tidak mahu meninggalkan kolej ini kerana sudah serasi dan gembira belajar di sini.Tapi, memandangkan ibunya sangat mengharapkan dia untuk menyambung pelajaran di maktab, dia terpaksa membuat keputusan dengan hati yang berat. Antara cita-cita dan ibu, sudah pasti ibu yang menjadi pilihan. Persiapan dilakukan dengan segera dan pantas memandangkan bas akan tiba pada pukul 10 malam.
Beberapa mentee saya yang lain pula sibuk menghubungi saya dan mengharapkan saya akan hadir untuk menghantar Aiman sebelum dia berangkat ke Bangi. Saya bersetuju dan tiba awal di tempat yang dijanjikan. Sejurus sampai, sekumpulan pelajar lelaki Matrikulasi seramai lebih kurang 30 orang telah siap berkumpul dan menanti kedatangannya. Ternyata, Aiman amat disenangi dan disayangi teman-temannya. Terperanjat juga melihatkan keakraban mereka.Mungkin kerana bilangan mereka yang sedikit menyebabkan mereka sangat bersatu dan menjalin perhubungan yang sangat rapat antara satu sama lain. Beberapa mentee perempuan saya juga turut hadir kecuali seorang teman rapat Aiman yang tidak sanggup melihat kepergiannya. Yang hadir pun sudah menangis dan tidak sanggup melepaskannya. Sebagai seorang mentor dan dewasa, saya menahan sebak supaya tidak menambahkan kesedihan mereka.
Sebelum Aiman pergi, saya menghadiahkannya dua buah buku kesayangan, 'Teach to Reach' hasil tulisan Craig Mitchell, 'Amalan Surah-surah Pilihan' yang kecil serta rama-rama kecil yang cantik berwarna merah jambu yang dibuat untuk hantaran perkahwinan saya dahulu. Hanya itu yang mampu saya berikan kerana saya sememangnya tidak sempat menyediakan apa-apa kerana keputusan yang dibuat terlalu cepat. Memandangkan Aiman berkemungkinan menjadi seorang guru apabila tamat pengajian nanti, buku Teach to Reach saya hadiahkan supaya dia dapat menjadikan panduan apabila bergelar seorang guru nanti. Buku kecil amalan surah-surah pilihan daripada Al-Quran pula saya berikan supaya dapat diamalkan untuk membenteng diri dan sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup. Aiman menerima dengan senyuman yang berbaur kesedihan yang nyata dibendung.
Kami semua berkumpul di hadapan pondok pengawal sambil menanti kedatangan bas yang akan membawanya ke Kuala Lumpur sebelum dia meneruskan perjalanan ke Bangi.
Kesemuanya memeluk Aiman sebelum bas bertolak. Aiman melangkah dengan langkah yang agak lemah sambil melambai tangan dan melaungkan "Bye, teacher!".
Seterusnya, bas meluncur laju membawa Aiman ke destinasinya dan meninggalkan kami di sini.
Saya mengarahkan para pelajar untuk segera masuk ke kawasan kolej dan menyambung ulangkaji mereka.
Sesi mentor mentee minggu lepas merupakan sesi terakhir kumpulan A10 bersama Aiman. Waktu itu, kolej menganjurkan Pesta Durian, dan kami sangat gembira dapat menikmati durian percuma dan nasi pulut serta nasi himpit bersama kuah sate. Itulah memori terakhir kami bersama dan kenangan itu sangat indah.
Kesemuanya memeluk Aiman sebelum bas bertolak. Aiman melangkah dengan langkah yang agak lemah sambil melambai tangan dan melaungkan "Bye, teacher!".
Seterusnya, bas meluncur laju membawa Aiman ke destinasinya dan meninggalkan kami di sini.
Saya mengarahkan para pelajar untuk segera masuk ke kawasan kolej dan menyambung ulangkaji mereka.
Sesi mentor mentee minggu lepas merupakan sesi terakhir kumpulan A10 bersama Aiman. Waktu itu, kolej menganjurkan Pesta Durian, dan kami sangat gembira dapat menikmati durian percuma dan nasi pulut serta nasi himpit bersama kuah sate. Itulah memori terakhir kami bersama dan kenangan itu sangat indah.
Walau dimana Aiman berada, kami sentiasa ada bersamamu.
Walau jauh, kami selalu dekat di hati.
Buktikanlah kejayaanmu dan semoga Tuhan pertemukan kita lagi di kemudian hari.











1 comments:
salam..
agak terkejut saya aiman keluar dari kmkn...
xsgke :(
aiman memang baek! sonok kenal dia di kmkn.. ;)
Post a Comment
What do you say?