Esok pagi, sekitar jam 10 pagi, peserta kontinjen Kolej MARA akan berangkat ke Kolej Matrikulasi Johor untuk menyertai pertandingan tarian kebudayaan. Seramai 16 peserta akan mempersembahkan tarian sewang sewaktu pertandingan itu nanti.
Pada awalnya, pelbagai masalah yang berlaku ketika proses pencarian peserta. Ramai yang tampil pada mulanya menarik diri di saat-saat genting. Agak pening berdepan dengan karenah mereka. Maklum saja, mereka mahu pulang bercuti dan terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk sesi latihan yang dijalankan hampir setiap hari. Sebagai salah seorang penasihat, saya merasa agak terkilan kerana para pelajar tidak memberi sokongan untuk menaikkan nama kolej, sedangkan inilah waktunya untuk mereka mempelajari sesuatu dan menimba pengalaman.Tambahan pula, pihak kolej mengeluarkan belanja yang cukup besar iaitu hampir RM10K hanya untuk memberi peluang kepada pelajar matrikulasi yang hanya berjumlah kurang dari 300 orang ini.
Setelah menghadapi pelbagai masalah yang bertimpa-timpa, akhirnya sekumpulan 16 orang pelajar ini akhirnya berjaya digilap bakat mereka. Menjalani latihan saban hari dengan jadual pembelajaran yang padat amat memenatkan. Sepanjang sesi latihan, mereka juga begitu sabar menghadapi segala rintangan dan cabaran. Antara pelajaran dan komitmen yang tinggi, sekumpulan pelajar ini tampil dengan semangat yang begitu tinggi. Peperiksaan yang tiba juga salah satu cabaran terbesar. Kadangkala, mereka terpaksa berlatih di perpustakaan kerana masalah tempat yang digunakan untuk pelbagai aktiviti lain. Adakalanya, mereka mengulangkaji di selang waktu yang ada semasa sesi latihan. Sungguh kental hati remaja-remaja ini. Dikala teman-teman lain begitu sibuk mengulangkaji pelajaran, mereka berkali ganda sibuk dengan latihan, kelas dan ulangkaji.
Antara peserta lelaki yang sedang menjalani latihan di perpustakaan kolej
Beberapa hari sebelum peperiksaan pertengahan semester, lebih kurang seminggu sebelum pertandingan, satu berita yang mengejutkan pula menimpa salah seorang peserta. Bapanya telah mengalami kemalangan dan keadaannya kritikal sehingga perlukan pemindahan organ. Kerana itu, beliau terpaksa menarik diri dari pertandingan ini. Ya Tuhan, apakah ujian ini? Begitu banyak yang berlaku dan berita itu nyata amat menyedihkan buat dirinya. Dygaan ini terlalu hebat buat anak semuda itu.
Esok hari, perjalanan yang lama bakal di tempuh oleh 16 pelajar ini demi mengharumkan nama kolej.
Bukanlah kemenangan atau kekalahan yang menjadi persoalan. Menang atau kalah bukan soalnya. Apa yang penting, mereka pulang dengan penuh bermaruah. Mereka pulang dengan sebuah kemenangan. Kemenangan menghadapi dugaan demi dugaan, kemenangan atas pengorbanan dan kesabaran. Sesungguhnya, mereka telah menang lebih awal berbanding mereka yang kecundang dan berputus asa sebelum mencuba. Mereka telah menang kerana mampu menjadi kuat, berdisiplin dan mampu berkorban dan bekerja di dalam tekanan yang amat hebat. Pastinya pelajar yang dulunya menarik diri kerana lemah merasa benar-benar cemburu dengan mereka.
Tahniah kepada kontinjen kolej.
Pergi dan pulang dengan semangat, kerana kemenangan sebenar adalah apabila anda semua adalah manusia yang terpilih. Kerana anda semua adalah insan-insan cekal.
Pulangmu, pastinya dengan penuh maruah dan pulangmu nanti sebagai bintang yang tidak akan malap.
Selamat berangkat adik-adikku. Semoga berjaya!!
Kamu semua adalah sebenar-benar pemenang di hati semua!





2 comments:
selamat maju jaya, team tarian KMKN!!
selepas tgk latihan diorang semalam,sy yakin diorang boleh berjaya...sgt hebat mereka itu!~
Post a Comment
What do you say?