Kerana Hachiko.
Siapa Hachiko?
Hachiko, satu watak dalam sebuah filem hebat berjudul HACHIKO. Ia adalah seekor anjing yang sangat setia kepada tuannya, sehingga apabila tuannya meninggal dunia, ia masih tetap setia menunggu kemunculan tuannya.
Kisahnya bermula apabila seekor anjing yang telah dihantar oleh seseorang dari Jepun, terlepas dari sangkar di sebuah stesen keretapi dan melilau sendirian tiada arah. Tidak lama kemudia, seorang lelaki yang bernama Parker, seorang profesor muzik lakonan Richard Gere dan ditayangkan pada August 2009. Dengan hati yang penuh simpati, Parker membawa pulang anjing jenis Akita ini sementara menunggu jikalau tuannya kembali menuntut anjing ini. Namun, tiada sesiapa yang menuntut dan Parker terus membelanya sehingga besar dan dinamakan Hachi, sempena karekter tulisan Jepun yang terdapat di kolar leher anjing tersebut.
Setiap hari, Parker akan melalui rutin yang sama untuk ke tempat kerja, dan dia sentiasa menaiki keretapi. Di stesen keretapi itulah Parker menjumpai Hachi. Bermula satu hari, Hachi mengikuti Parker sehingga ke stesen tersebut sewaktu dia menuju ke tempat kerja, sehinggakan Parker terpaksa pulang dan terlepas keretapi. Selepas hari itu, Hachi akan selalu menghantar Parker ke stesen keretapi di waktu pagi dan menunggu kepulangan Parker tepat jam 5 petang setiap hari.
Tidak seperti anjing lain, Hachi tidak tahu bagaimana untuk menangkap bola yang dilontar. Parker cuba mengajar, namun dia tetap tidak mahu menangkap bola tersebut. Sehinggalah hari terakhir kehidupan Parker, Hachi bagaikan dapat merasai sesuatu yang aneh. Hachi berkelakuan pelik dan saat Parker ingin ke universiti tempat dia mengajar muzik, Hachi tidak mahu mengikutinya. Parker pergi sendirian sehinggalah apabila sampai di stesen keretapi tersebut, tiba-tiba Hachi muncul dengan mengonggong sebiji bola. Rupanya, dia berkelakuan aneh kerana mahu Parker tahu bahawa dia sudah tahu menangkap bola. Parker sempat bermain dengan Hachi di stesen tersebut sebelum melangkah untuk menaiki keretapi.Namun, Hachi seolah-olah tidak mahu Parker pergi. Pada hari itu, Parker tidak pulang dari kerja kerana pada hari itulah dia meninggal dunia di hadapan para pelajar di dalam kuliahnya. Hachi yang menunggu kepulangan Parker di stesen itu seperti selalu mendapati Parker tidak pulang pada hari itu.
Kesetiaan Hachi sememangnya sangat hebat. Walaupun Parker telah tiada, dia tetap setia menanti kepulangan Parker.Selepas kematian Parker, anak perempuannya membawa Hachi tinggal bersama dan isteri Parker juga telah berpindah. Namun, walaupun telah berpindah, Hachi akhirnya dilepaskan anak perempuan Parker kerana Hachi benar-benar rindukan Parker. Setiap hari, Hachi akan duduk di hadapan pintu masuk stesen keretapi tersebut dan menanti kepulangan Parker yang tidak pernah kunjung tiba. Setiap kali keretapi melepasi stesen, Hachi akan melilau dan mengharap kepulangan Parker dan memeluknya.
Hachi menunggu kepulangan Parker sehingga ke akhir hayatnya setiap hari.
Kisah ini adalah sebuah kisah benar tentang anjing seorang profesor di Odate, Jepun pada tahun 1923. Kisah ini ternyata benar-benar wujud. Hachiko, anjing yang setia, menunggu kepulangan tuannya Hidesaburo Ueno, seorang profesor di Tokyo University selama 9 tahun dan akhirnya mati pada tahun 1935.
Hari ini, sebagai tanda peringatan, terdapat sebuah tugu peringatan Hachiko yang menanti di luar stesen keretapi Shibuya.
Malam ini aku menonton sebuah lagi filem hebat yang benar-benar membuat aku sangat terharu. Bagaimana seekor binatang yang tidak berakal punya sebegitu banyak cinta dan kesetiaan.
Teringat kata-kata seorang pensyarahku dulu yang mengatakan anjing adalah sahabat baik seorang manusia. Kalau begitu, lebih baik bersahabat dengan binatang dari cuba mencari teman di kalangan manusia.
Kesetiaan dan kasih sayang inilah yang membuat aku menangis.
Dan, aku sememangnya seorang yang cintakan binatang.







0 comments:
Post a Comment
What do you say?