Friday, June 4, 2010

Kecuaian atau Kemalangan?

Berpijak kembali ke negeri kelahiran dan tempat aku membesar, iaitu di tanah Serendah Sekebun Bunga, negeri Cik Siti wan Kembang sememangnya saat yang paling ditunggu-tunggu. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 6 jam jika keadaan jalan tidak sibuk, tidak membuat aku penat sedikitpun. Mungkin kegembiraan melenyapkan rasa penat.

Musim cuti sekolah selalunya ramai yang akan berkunjung ke Kelantan. 
Perjalanan aku dan suami sedikit terganggu kerana ada juga pemandu yang ingin menunjukkan kehebatan mereka melakukan aksi dan kehebatan pemanduan mereka. Malah, pada hemat saya, mereka mungkin ingin mempamerkan kehebatan kuasa kenderaan mereka. Jika mereka memandu kereta mewah, saya tidak berasa hairan atau risau, tapi yang kenderaan kecil dan ringan pula yang lebih-lebih. Betullah kata Dr. Mahathir suatu waktu dulu, pemandu di Malaysia tidak tahu malu dan tiada disiplin. Saya dan suami hanya mampu melihat kereta yang memotong kami seolah-seolah terapung dari permukaan jalan. Kadangkala, ada juga terkeluar perkataan yang kurang elok kerana terlalu terkejut dengan kelajuan pemanduan mereka.

Saya sampai di lorong menghala ke Rantau Panjang lebih kurang pukul 10 malam. Setelah menikmati makan malam di Bukit Bunga, tempat perhentian wajib kami. Di kawasan ini, terdapat banyak barangan yang dijual dan kedai-kedainya bersusun-susun. Meriah sungguh! Bila saja memasuki lorong yang akan membawa kami ke Rantau Panjang, satu kemalangan yang agak tragis kami saksikan telah berlaku beberapa minit sebelum kami sampai. Jelas sekali ia berlaku kerana suasana gelap dan pemanduan yang terlalu laju sehingga pemandu tidak dapat mengawal kenderaan dari melanggar seekor lembu jantan. 

Saya pasti nyawa pemandu tersebut terselamat, tapi lembu jantan tersebut telah terbaring lesu di tepi jalan. Lidahnya ternganga dan terjelir. Matanya pula kelihatan layu. Saya pasti ada manik-manik jernih dan berkaca dimata lembu tersebut. Tapi keadaan cahaya yang tidak terang tidak memungkinkan saya untuk melihat itu semua. Hati saya tiba-tiba menjadi sangat sedih. Jika difikirkan, memang tidak boleh disalahkan pemandu sepenuhnya kerana dia bukanlah penyebab utama. Lembu itu mungkin berkeliaran dan tidak dikurung di dalam kandang oleh tuannya. Tapi, lembu juga tidak boleh dipersalahkan kerana binatang tidak mempunyai akal. Hati saya amat sayu. Tambahan pula, saya memang sangat sayangkan binatang. Sehingga entri ini ditulis, saya masih berasa sedih.

Selesai menulis entri ini, suami saya dan rakan sekerja yang mengikuti kami pulang ke Kelantan, Mior, pulang dari menghantar adik saya ke rumah kawan sekolahnya. Mior membacakan berita terkini dari surat khabar yang dibelinya berkenaan seorang wanita yang meraung sebelum hangus terbakar akibat kemalangan ngeri yang bukan salahnya. 

Kita tidak akan tahu bila malang akan menimpa. Jika ditakdirkan ia berlaku keatas diri dan keluarga kita, itu ketentuan yang Maha Kuasa. Namun, kita mampu merubahnya dengan lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kenderaan kita berkeadaan baik sebelum memulakan perjalanan. 

Jika bukan kita penyebab kemalangan, kita berkemungkinan menjadi mangsa kecuaian orang lain.  
Semoga kita dijauhkan dari malapetaka dan kemalangan yang mematikan jiwa.




0 comments:

Post a Comment

What do you say?