Tuesday, April 20, 2010

Rumah Bonda

Hari ini sudah genap seminggu aku bercuti. Tinggal lebih kurang 2 minggu lagi sebelum kembali bekerja. Bosan betul rupanya tidak buat apa-apa. Mungkin hujung minggu ini aku dan suami akan pulang ke kampung melawat bonda tercinta.

Kembali ke kampung memang saat-saat yang sangat di tunggu-tunggu. Rindu sehebat mana sekalipun, tidak sama dengan kerinduan terhadap bonda. Apa jua masalah, atau sebesar bukit sekalipun masalah, pasti akan selesai saat menatap wajah bonda dan memijak kaki di rumah dimana aku membesar. Rumah bonda. Rumah yang menyimpan pelbagai kisah selama hampir 25 tahun.

Bila berada di rumah ini, hatiku aman sekali. Di rumah ini aku belajar segala erti hidup. Erti hidup yang paling bermakna. Aku meniti usia kanak-kanak dan usia remaja di rumah ini. Ketawa dan menangis, semuanya di rumah ini. Rumah peninggalan arwah abah yang tidak ada harga untuk diletakkan. Pernah sekali, selepas arwah Abah meninggal, ada orang bertanya bonda, adakah dia mahu menjual rumah ini? Soalan yang tidak perlukan jawapan. Sudah semestinya kami akan menjaga rumah ini sampai ke akhir hayat. Walaupun arwah Abah tidak sempat melihat rumah ini di akhir hayatnya, tapi aku tahu dia telah melakukan segalanya untuk melengkapi rumah ini sebelum dia menghembus nafas terakhir. Pagar disiapkan, tandas di tambah, pintu besi disiapkan. Katanya, "Lepas ini, kalau tinggal jauh dan lama pun, tak perlu risau lagi". Rupanya, memang dia mahu meninggalkan kami dan tidak kembali lagi.

Inilah rumah bonda, rumah tanda Abah dan Ma.
Bila balik nanti, aku akan menempah tanda dan memahat nama untuk rumah ini. Tanda yang akan tertulis "Teratak Bonda".Pasti akan ku laksanakan.

0 comments:

Post a Comment

What do you say?