Saturday, April 17, 2010

Jalan

Kata orang, hidup ini umpama roda? Sekejap di atas, sekejap di bawah.
Bagi aku, hidup umpama jalanraya. Bukan roda. Jika hidup umpama roda, hidup ini sentiasa berputar. Tetapi ada juga hidup sesetengah orang yang tidak berputar langsung. Sebagai contohnya, hidup sesetengah orang miskin. Hidup mereka boleh diibaratkan sentiasa berada dibawah. Mereka selalu merasa susah. Jarang-jarang sekali merasa kehidupan di atas. Selalunya mereka fikir mereka di bawah. Begitu juga mereka yang sentiasa hidup didalam kesenangan. Hidup mereka selalunya diatas, dan jarang sekali mereka memandang ke bawah.

Kenapa saya katakan hidup ini ibarat jalanraya pula?
Mungkin anda tidak bersetuju. Tapi, penilaian setiap orang berbeza, bukan? Mungkin selama ini kita hanya mengetahui perumpamaan tersebut sahaja, iaitu 'hidup ini umpama roda'. Tapi kali ini, saya ingin mengatakan mengikut perspektif saya sendiri. Maka, sebab itulah bagi saya hidup ini umpama jalanraya.

Jika diperhatikan, sistem jalanraya adalah berbeza-beza. Jika dilihat di negara kita, terdapat pelbagai struktur jalanraya. Ada yang lurus, ada yang berbukit, dan berliku. Keadaan permukaan jalanraya itu juga selalunya berbeza. Ada yang licin dan mudah dilalui, ada juga yang berlubang dan sukar untuk dilalui. Bila kita lihat di kawasan bandar dan kampung juga, pasti sistem jalannya juga berbeza. Jalanraya di bandaraya besar selalunya sentiasa sibuk dan dipenuhi kenderaan sehingga ke lewat malam. Namun, di desa, keadaannya aman dan bila sahaja senja menjengah tiba, pasti jalan-jalan sunyi dan gelap. Jadi, hidup ini ibarat jalanraya pada pengamatan saya.

Jalan hidup kita juga berbeza. Ada yang berliku dan sentiasa gundah gulana. Ada yang sentiasa lurus dan ceria menjalani kehidupan. Bagai tiada masalah. Ada yang dilahirkan untuk terus mengecapi kesenangan, namun ada juga yang dilahirkan sentiasa dalam kesusahan. Maknanya, sentiasa ada ujian dan cubaan hidup buat mereka.

Saya juga pernah merasakan bahawa hidup saya lebih sukar berbanding rakan-rakan. Untuk mendapatkan sesuatu, selalunya jalan yang saya terpaksa lalui adalah lebih sukar. Saya perhatikan, rakan-rakan saya begitu mudah menghadapi jalan hidup mereka sewaktu belajar dahulu. Tapi saya rasakan terlalu banyak dugaan yang saya telah hadapi untuk berjaya seperti sekarang. Kadangkala saya terfikir, kenapa susah sangat jalan yang terpaksa saya lalui?

Sekarang cuba anda imbas kembali jalan hidup anda, dan cuba fikirkan apakah sukar atau mudah jalan yang anda lalui.

Mengapa saya katakan hidup ini ibarat jalanraya dan bukannya roda?
Sebetulnya, saya cuba berfikir dengan cara saya sendiri dan lari daripada kebiasaan. Kebiasaan selalu membuat hidup kita hambar. Kebiasaan selalu menjadikan hidup kita bosan. Kita takut untuk mempunyai identiti kita sendiri.Kita takut untuk mengatakan sesuatu mengikut persepsi kita sendiri. Kita takut untuk bersuara menyatakan buah fikiran kita sendiri. Kita TAKUT untuk BERUBAH sebenarnya!!
Kenapa begitu?

Bila saya katakan hidup ibarat jalanraya, anda semua pasti akan mempunyai pendapat anda sendiri, bukan? Pasti anda tertanya-tanya, mengapa dan kenapa? Pasti ada yang bersetuju, dan pasti ada yang membangkang. Tapi, itulah hakikat perubahan. Bukan senang untuk berubah, dan menjadi arus perubahan.
Ibarat kata Dr. Danial Zainal Abidin, seorang ahli motivasi yang sedang menginjak nama didalam salah satu buku motivasinya yang saya terima sewaktu mendapat anugerah kecil dalam Anugerah Cemerlang Bulanan untuk bulan Februari yang lalu, katanya, "Jadilah arus yang mengubah suasana". Maksudnya, berubah itu sangat penting. Berubah itu adalah satu hijrah. Hijrah amat digalakkan dalam Islam kerana hijrah itu amat besar manfaatnya. Namun, harus diingat, jalan-jalan yang kita akan tempuhi untuk berhijrah amat berliku. 

Hari ini, saya berhijrah dan ingin membuat perubahan mengikut cara saya sendiri dengan mengatakan pendapat saya bahawa hidup ini ibarat jalanraya. Sekurang-kurangnya, pada pendapat saya, hidup itu sebuah jalanraya ~ berliku atau lurus, bersuluh atau gelap, gempita atau sunyi sepi, licin atau berlubang-lubang, berbukit atau landai. Begitulah kehidupan pada kaca mata saya. 

Salah siapakah bila kita melihat jalanraya yang berliku,gelap, berlubang-lubang dan berbukit? Kenapa tidak boleh diluruskan, diturap sehingga licin, ditarah sehingga landai dan diletakkan lampu-lampu untuk meneranginya supaya senang kita melaluinya? Salah siapakah?

Fikirkan sendiri, dan cubalah mengubahnya. Cubalah untuk menjadi arus yang bisa mengubah suasana.

0 comments:

Post a Comment

What do you say?