Wednesday, April 7, 2010

Harga Ketenangan

Rupa-rupanya, sunyi itu indah juga. 
Kenapa begitu?

Setiap hari, hidup dikelilingi pelbagai perkara.Ada yang menyerabutkan, ada yang membosankan.Selalu kita berfikir bagaimana rasanya hidup tanpa masalah.Pasti bahagia, bukan? Tapi, tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka akan mengatakan mereka semua mempunyai masalah. Namun, dapatkah kita hidup tanpa masalah?

Setiap hari kita hidup dengan tertanya-tanya, sampai bila kita akan hidup dalam keadaan sedih, murung, berserabut dengan tugasan dan tekanan di tempat kerja, universiti dan benci dengan sesetengah orang. Seringkali kita mengeluh untuk lari dari segala tekanan yang menghimpit, tapi kemana harus kita lari?

Cubalah lari mengejar apa yang telah kita tinggalkan sekian lama. Mungkin kita telah lama meninggalkan tikar sejadah dan al-Quran yang dulunya sering menjadi pendamping kita sewaktu kecil. Mungkin juga kita telah lama lari dari ketenangan berzikir dan panggilan Ilahi untuk mengerjakan solat. Mungkin kita sudah lama tidak bersunyi-sunyi dengan beribadat kerana asyik mencari ketenangan di pulau-pulau indah. Apa kata kita cuba bersunyi-sunyi dengan mencari redha Ilahi. harganya tidak semahal harga pengangkutan dan hotel yang kita bayar untuk sebuah ketenangan yang pastinya akan berakhir sejurus sebelum kita memulakan kembali rutin biasa kita di tempat kerja atau dimana-mana sahaja.

Rupanya, kita tidak perlu membayar apa-apa untuk sebuah ketenangan. Yang perlu, hanya kesabaran mendapatkannya. Mari kita cuba memberi makan kepada roh kita yang lapar, dahaga dan kurus kering kerana tidak pernah kita suapi dan sirami dengan pengabdian kepadaNya serta zikrullah yang menenangkan. Jangan biarkan jasad kita sahaja sihat berisi, disogok makanan yang enak berkhasiat, tapi roh kita kesakitan kerana tiada makanan.


0 comments:

Post a Comment

What do you say?