Friday, October 29, 2010

Jangan Takut

Kita sering berdepan dengan ketakutan. 
Tentu ada sebabnya kenapa kita takut.
Tapi ada ketikanya, kita sendiri tidak tahu kenapa kita takut, dan apa yang kita takuti. Mungkin kita hanya takut dengan bayang-bayang sendiri dan bisikan hati yang bukan-bukan yang sudah pastinya datang dari syaitan yang berjanji akan selamanya menyesatkan anak Adam.

Minggu lepas, seorang rakan sejawatan saya yang bertaraf seorang kakak meluahkan rasa hatinya kepada saya. Pada hemat saya, dia menjalani satu proses ketakutan yang dialami sekian lama di tempat kerja. Jika diperhatikan dari luaran, semuanya nampak sempurna dan tidak ada apa-apa masalah atau bebanan yang ditanggung. Tapi, dilubuk hati setiap manusia, pastinya tersimpan sejuta rahsia.

Bila beliau meluahkan perasaan tertekan yang dialaminya, terlintas dibenak saya bahawa ramai lagi selain saya yang mengalami tekanan perasaan dan kebimbangan. Kebanyakannya lebih senang berdiam diri dan menyimpan segala ketakutan dan tidak berani tampil untuk mencurahkan perasaan.  Ada juga yang sangat selesa mencurahkan segala masalah kecil yang langsung tidak layak dipanggil masalah sehingga membuat orang lain jemu. Itulah perbezaan antara orang yang kuat emosi dan orang yang terlalu lemah mengawal perasaan. 

Bila saya memberikan kata-kata semangat pada rakan sekerja saya itu, tiba-tiba sahaja beliau menitiskan airmata akibat bendungan perasaan yang amat berat ditanggung. Tak sangka, seorang yang lebih muda seperti saya boleh memberi sedikit kata-kata semangat kepadanya.

Sebenarnya, ketakutan itu biasa. Setiap manusia mempunyai perasaan takut. Tapi, perlu diingat, selagi hidup kita tidak harus takut kepada segala cabaran yang mendatang, atau takut kepada perkara yang belum terjadi.Malah, kita juga tidak perlu takut kepada manusia lain yang mengancam kedudukan kita dengan ugutan-ugutan yang tidak munasabah. Teringat saya kepada satu kata-kata perangsang, "The thing that won't kill you, will make you stronger" dan "Selagi sesuatu itu tidak mengancam nyawa, ia bukanlah satu masalah yang perlu dirisaukan".

Berpegang kepada dua kata-kata inilah, saya bangkit melawan ketakutan dan menjadi lebih kuat setiap kali ditimpa masalah. Masalah itu hanya ada bila kita fikirkan. Jadi, usahlah takut menghadapi segala cabaran. Usahlah takut dengan masa hadapan. Usahlah takut dan berfikir sangat tentang perkara yang belum terjadi. Jika Allah telah menetapkan sesuatu buat kita, kita pasti akan mengalaminya. Jika Allah telah menetapkan rezeki kita, kita pasti mendapatnya.

Apa yang membuat saya lebih kuat ialah kata-kata nasihat ibu saya yang merupakan doa seharian yang diamalkan beliau  iaitu "Tiada kuasa dan daya upaya melainkan kuasa dan daya upayaMu, Ya Allah. Bersama-samaMu aku menghadapi musuh-musuhku."

InsyaAllah, sama-samalah kita amalkan dan semoga kita menjadi lebih kuat, berani serta tabah menghadapi dugaan serta melawan ketakutan.







0 comments:

Post a Comment

What do you say?