Kita takkan pernah tahu tentang kisah kehidupan ini. Kita mungkin telah melupakan insan-insan yang pernah hadir mengisi hidup kita, sewaktu kita di bangku sekolah atau di zaman kanak-kanak. Sepanjang meniti usia, kita bertemu dengan pelbagai lorong-lorong kehidupan yang barangkali membuat kita lupa akan setiap insan yang pernah menjengah dalam kehidupan kita.
Telah sekian lama aku meninggalkan bangku sekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Mulong 1 mencatat pelbagai episod suka duka dalam kehidupan kanak-kanak ku. Aku membina persabahatan dengan sahabat yang pernah sama-sama menangis dan ketawa, malah antara mereka, menjadi sahabat sejati yang mungkin kekal hingga aku di jemput kembali. Namun, barangkali aku juga telah terlupa akan wujudnya teman-teman yang mengenaliku dek usia perpisahan yang begitu panjang. Aku telah lupa akan teman-teman yang wajahnya pernah mengisi ruang kehidupanku walau sekejap waktu.
Hari ini, aku kembali dipertemukan secara maya dengan salah seorang rakanku sewaktu di bangku sekolah rendah. Pertemuan ini sememangnya tidak ku duga sama sekali. Melalui Facebook pula. Aku agak kebuntuan bila menerima satu permintaan untuk menjadi rakan di laman ini. Gentar juga untuk menerima saja pelawaan tersebut memandangkan pelbagai perkara yang bisa terjadi jika aku menerima tanpa usul periksa. Namun setelah bertukar-tukar sedikit maklumat, tahulah aku bahawa rakanku ini dahulunya bersekolah di sekolah yang sama. Jadi aku terima salam persahabatan buat Dhani Ahmad.
Belum begitu banyak yang aku ketahui tentang Dhani Ahmad, tetapi orangnya cukup baik, sehingga masih ingat di kelas mana aku berada dulu. Katanya aku dari kelas Kuning. Begitu lama aku tinggalkan bangku sekolah rendah sehinggakan nama kelas yang berasaskan warna pun sudah aku lupa. Katanya lagi, dia pula belajar di kelas Biru dan masih mengingati seorang kawan yang bernama Fatihah. Begitu kuat ingatannya, sehingga mengingati semua perkara sekecil dan terperinci seperti itu.
Hari ini, Dhani Ahmad yang kini menetap di Kota Bharu dan bekerja di salah sebuah universiti di Malaysia telah membantuku menyelesaikan masalah yang sekian lama aku hadapi. Masalahnya sungguh kecil, cuma bagi aku yang buta IT ini, masalah itu ku rasakan begitu besar. Tapi dalam beberapa minit sahaja, dia mampu menyelesaikan masalah yang aku hadapi. Maklumlah, kepakaran pun dalam bidang IT. Jika hendak dibandingkan dengan aku, jauh sekali dapat aku selesaikan masalah itu.
Itulah pentingnya kawan.
Kawan tidak semestinya sentiasa diingati, tetapi dia selalu dihati. Tidak semestinya dekat dimata, tapi ingatan tidak pernah terhenti. Kawan tidak semestinya selalu berada disisi, dia boleh berada dimana saja untuk menemani.
Dhani, terima kasih atas pertolongan yang awak rasakan kecil, tapi besar maknanya bagi saya.
Walau dia Dhani Ahmad, atau Ahmad Dhani penyanyi Indonesia pujaan ramai, dia adalah rakan yang bakal saya simpan dihati, sampai mati.



0 comments:
Post a Comment
What do you say?