Wednesday, April 21, 2010

Selamat Hari Lahir, Amy!

Hari ini, 21 April 2010. 20 tahun yang lalu, pada tahun 1990, pada tarikh ini, bondaku telah melahirkan seorang lagi bayi lelaki yang dinamakan Muhamad Khairul Azmi bin Sulaiman. Anak keempat dalam keluargaku. Ringkasnya, kami menggelarkan dia sebagai Amy. 

Amy merupakan adik lelaki ku yang bongsu. 

Aku masih ingat saat-saat melihat wajahnya semasa dibawa pulang dari hospital. Seingat aku, jika tidak salah, arwah abahku membawa pulang bondaku yang ku panggil Ma dan bayi kecil dengan menaiki teksi.Maklumlah, waktu itu arwah belum memiliki kereta. Aku ingat dengan jelas, sebuah teksi berhenti di hadapan rumahku. Masa itu, aku dan dua lagi adik lelakiku yang masih kecil, Amer dan Ajim, tinggal bersama arwah nenek yang kami panggil Wo sahaja. 

Melihat Ma turun dari teksi dengan langkah yang berjaga-jaga dan perlahan sambil mengendong seorang bayi kecil membuat hati kami melonjak riang. Arwah Abah pada masa itu tersenyum dan berjalan memapah Ma ke pintu rumah. Aku, Amer dan Ajim begitu tidak sabar untuk melihat adik kecilku, walaupun pada mulanya Ajim tidak mahu punya adik. Bila saja menatap wajah bayi kecil itu, semuanya berubah. Ajimlah orang yang paling gembira.


Wo sudah siap membentangkan tilam dan bantal kecil berwarna putih beropol pink yang dijahit oleh Ma. Sepanjang tempoh mengandung, Ma begitu tekun menjahit sarung bantal kecil dan sarung tilam untuk menyambut kelahiran bayi ini. Aku masih ingat gambarannya dengan jelas. Aku menemani Ma menjahit sampai lewat malam, sambil tangan tidak henti-henti membelek-belek kain yang penuh diatas meja. Waktu itu aku berumur 8 tahun.Tapi aku masih ingat putaran peristiwa itu dengan jelas.Dalam sesetengah perkara, fikiranku masih agak kuat untuk memutar kenangan yang berlaku walaupun ia telah lama berlaku.

Setelah habis pantang, Ma kembali bekerja. Pada tahun itu jugalah arwah Abah dan Ma mampu memiliki sebuah van kecil keluaran Daihatsu berwarna putih. Mungkin rezeki anak-anak. Kehidupan kami sekeluarga bertambah ceria bila dapat berjalan-jalan ke rumah nenek di Wakaf Bharu dengan menggunakan kenderaan sendiri. Sebelum ini, kami terpaksa menaiki dua buah bas untuk ke sana, dan aku juga masih ingat kenangan menaiki bas bersama arwah Abah dan Ma.Semuanya masih jelas. Terima kasih Allah atas kurniaan ingatan yang kuat.  

Pada tahun itu juga, arwah Abah mula mengambilku dari sekolah dengan van kecil itu. Waktu itu aku masih di bangku sekolah rendah dalam Tahun 2. Bila saja dia datang mengambilku, Amy pasti dibawa bersama. Aku pasti melonjak gembira bila melihat arwah datang mengambilku di sekolah. Biasanya pada waktu tengahari pula, beliau akan menyuruh kami tidur dahulu kerana pada sebelah petang, kami akan dibawa bersiar-siar sekitar kampung halamanku dengan menaiki van. Bagai masih terasa jari arwah mengelus rambutku, menyelitkannya di belakang cuping telinga, sambil menepuk badanku dan memberikan sebuah bantal kecil untuk ku peluk dan sebuah lagi bantal untuk mengampu kakiku. Arwah pasti akan mendodoikan kami berempat sehingga terlena.

Aku masih ingat juga, saat-saat aku menjaga 3 adikku yang masih kecil, terutama Amy, bila arwah Abah dan Ma tiada di rumah kerana bekerja. Akulah yang diharapkan untuk menjaga adik-adik. Maklumlah aku anak sulong. Walaupun aku juga masih kecil, tapi aku agak berdikari. Sekarang, aku tidak pasti jika kanak-kanak seusiaku pada waktu itu mampu untuk melakukan itu semua. Tapi mungkin kerana keadaan sudah banyak berubah jika dibandingkan 20 tahun yang lalu. Pada waktu itu, semuanya selamat. Belum kedengaran cerita penculikan kanak-kanak.Jika ada sekalipun, ia tidak berlaku di kampungku. 

Amy membesar di depan mataku. Dia merupakan anak yang pintar. Dia juga tidak terlalu nakal seperti kanak-kanak lain dan agak manja. Bila di bangku sekolah, Amy merupakan anak yang cerdas dan aktif sehingga mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan. Dia juga memiliki suara yang bagus sehingga menjadi solo nasyid dan dikir barat, serta menjadi Ketua Pengawas di sekolah. Sewaktu UPSR, Amy telah berjaya mendapat keputusan 5A dan menyambung pengajian di MRSM Gerik, Perak dari Tingkatan 1-3. Pencapaian 8A didalam PMR pula melayakkan Amy untuk menyambung pelajarannya di MRSM Kuala Terengganu sehingga Tingkatan 5. Sepanjang tempoh dia berada di kedua-dua MRSM tersebut, Amy sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti sukan sehingga dia telah banyak melawat ke tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia. Arwah Abah memang sangat menyayangi Amy. Sewaktu belajar di MRSM Gerik dan Kuala Terengganu, arwah selalu menanti panggilan telefon darinya dan saban malam beliau hanya menunggu di meja telefon kalau-kalau Amy menelefon ke rumah. Itu hakikat yang tidak dapat dinafikan, kerana Amy sememangnya anak kesayangan semua. 

Arwah Abah meninggal sewaktu Amy hampir menduduki peperiksaan SPM. Selama arwah berada di hospital, Amy banyak kali juga terpaksa pulang dari Kuala Terengganu semata-mata untuk menjaga arwah Abah. Pelajarannya sedikit terganggu kerana kepenatan berulang alik. Arwah Abah dijemput Ilahi untuk kembali menemuiNya genap 40 hari beliau di tempatkan di wad biasa dan Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab (dahulunya dikenali sebagai Hospital Besar Kota Bharu).

Kini, Amy sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA dalam jurusan Radiografi. Bila tamat pengajian nanti, Amy akan bekerja di hospital, sama seperti arwah Abah. Seperti diaturkan, dua anak arwah Abah bakal bekerja di hospital, sama sepertinya. Pastinya jika arwah dapat melihat kejayaan anak-anaknya kini, dia akan tersenyum puas.


Amy dan sepupu kecil kami, Amalin




Amy bergambar sewaktu pameran kereta mewah



Adik kesayangan Kak Long



Amy bersama rakan-rakannya

Amy, hari ini hari lahirmu yang ke 20. Selamat Hari Lahir. Semoga kau mendapat segala yang terbaik dalam hidupmu. Kak Long sangat sayangkan Mie. 

0 comments:

Post a Comment

What do you say?