Saturday, August 1, 2009

Pen dari Abah


Arwah abahku, Sulaiman bin Mahmood merupakan insan yang paling aku rindui saban hari. Kejayaan yang aku kecapi hari ini merupakan kejayaannya, namun sayangnya arwah tidak sempat melihat semua ini kerana Allah lebih menyayanginya.

Arwah meninggal dunia akibat penyakit kencing manis yang mengakibatkan kegagalan fungsi buah pinggang. Dia menghembuskan nafas terakhir tanpa aku sempat berada disisinya pada 9 Julai 2007, enam bulan selepas perkahwinanku. Sepanjang tempoh itu, arwah tidak begitu berpeluang mengenali menantu lelaki pertamanya iaitu suamiku. Tapi sekurang-kurangnya aku berpuas hati kerana sempat menjaganya sepanjang dia di rawat di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Arwah abah merupakan insan yang sangat aku rindui saban hari aku menempuh kehidupanku. Setiap malam, ingatanku akan berlegar mengingati segala detik pahit manis yang kami tempuhi sebagai satu keluarga.

Arwah merupakan antara orang yang paling gembira bila aku diterima menyambung pengajianku di UiTM dalam bidang TESL. Aku masih dapat memutar kembali segala detik indah tersebut. Abah adalah seorang yang baik walaupun beliau seorang yang amat tegas dan berprinsip.

Aku masih ingat, Abah mempunyai sebatang pen Parker yang terukir namanya. Dia amat menyayangi pen tersebut dan akan sentiasa membawanya ke mana saja beliau pergi. Aku amat pasti dengan hakikat itu kerana dia seorang yang amat teliti dan menjaga barang-barangnya dengan begitu rapi.

Tapi apabila hampir hari aku mendaftar ke UiTM, waktu aku begitu sibuk mengemas barang untuk dibawa ke UiTM, Abah telah menghulur pen kesayangannya kepadaku. Aku masih ingat saat itu dengan begitu jelas. Abah dan aku berada di ruang tamu berdekatan pintu biliknya dan dengan tanpa diduga dia menyebut namaku.Aku agak terkejut dan dengan tidak semena-mena, beliau mengeluarkan pen tersebut dari kocek bajunya dan memberinya kepadaku.

'Kak Long, ambillah pen ni..'

Sudah tentu aku tergamam kerana aku tidak pernah mengharapkan apa-apa darinya. Bagiku, segala pengorbanannya sudah terlalu besar.

'Tapi..ni pen Abah..'

'Takpe, Kak Long simpan..Guna untuk belajar'.

Abah terus berlalu. Aku tercegat dan terpaku. Aku pegang pen tersebut dengan kemas. Airmata ku bagai mahu menitis, tapi aku tahan. Lantas aku masuk kebilik dan duduk di katil memikirkan hal yang baru terjadi.

Abah telah memberi pen kesayangannya kepada aku?

Aku merebahkan badan dan muka ke tilam, dan terus menangis. Begitu sayangnya Abah kepadaku, sehingga pen kesayangannya diberikan kepada aku.Walaupun aku tahu harganya tidaklah begitu mahal, tapi mengenangkan Abah amat menjaganya dengan rapi, aku jadi begitu terharu. Dan saat itu juga, aku sedar harapan Abah melangit tingginya untuk melihat aku berjaya, begitu juga keyakinannya terhadap aku.

Disaat aku hilang kepercayaan tentang kemampuanku sendiri, Abah lah yang meyakinkan aku. Walaupun bukan secara terus, Abah sentiasa ada caranya untuk meyakinkan aku.Hal ini sukar untuk aku terangkan, tapi aku memang tahu cara Abah.

Aku menyimpan pen tersebut bertahun-tahun lamanya. Aku menyimpannya di kotak penselku dan membawanya setiap kali peperiksaan. Entah mengapa, bila aku membawa pen tersebut, hatiku berasa begitu ringan..bagai tiada beban dalam hatiku. Seolah-olah keyakinan yang abah ada terhadap diriku membuat aku yakin bahawa segalanya akan berhasil. Pen tersebut seolah-olah satu 'semangat' yang menemaniku dan memberi aku kekuatan.
Tapi ia hanyalah satu rahsia yang hanya aku dan abah yang tahu.
Sehingga saat ini, diwaktu aku menulis catatan ini, rahsia ini masih lagi aku simpan rapi.
Serapi abah menguruskan dirinya dan segala hal.

Namun, aku amat kesal kerana pen itu kini telah tiada dalam simpananku. Ia hilang sewaktu aku meninggalkan barang-barangku di kolej kediaman sewaktu cuti semester. Bukan hanya pen tersebut, malah banyak lagi barang yang hilang. Tapi, aku terlalu kesal atas kehilangan pen itu. Aku yakin yang abah pasti tidak kisah aku kehilangan pen tersebut, dan dia pastinya boleh membelikan aku pen sama yang lebih baik, tapi bagiku, yang pertama tidak akan pernah sama dan ada gantinya. Begitu juga Abah.

Aku masih ingin mendapatkan pen itu.

Kini, saat aku mengecap kejayaan, aku akan selalu terkenangkan hal ini. Aku telah kehilangan pen itu, dan juga Abah. Tapi kehilangan Abah pastinya paling perit untuk ditanggung.

Aku berjanji, aku akan cuba menempah pen yang betul-betul sama dengan pen itu dan melakarkan nama Sulaiman bin Mahmood, sepertimana pen yang pernah abah beri dulu, sebagai tanda aku amat menghargai pemberian kecil yang begitu bermakna dalam hidupku.

Andainya aku dapat memutar waktu, pasti sekali aku ingin kembali ke zaman pengajianku dan mencari kembali pen dari abah yang menyimpan pelbagai nilai sentimental bersamanya, dan yang paling penting, penguat semangat yang menyebabkan aku berada di tempat dimana aku berada sekarang.

Pen dari Abah merupakan anugerah paling besar bagiku yang tiada apa dapat menandingi nilainya dalam hidupku kerana ia adalah anugerah dari abah yang amat aku cintai

Abah, walaupun dimana Abah berada sekarang, ketahuilah, anakmu ini amat merinduimu dan semoga rohmu ditempatkan dikalangan para mukmin yang dikasihiNya di syurga Firdausi. Amin.



0 comments:

Post a Comment

What do you say?